Saturday, 7 June 2014

China I: Mencicip Ilmu Di Shanghai

Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China... kata-kata ini tersemat di minda sejak aku tahu membaca dan kemudian apabila aku dapat menjejakinya, ternyata terlalu banyak ilmu yang terhampar di bumi bertuah ini. Dapat juga aku menjejakkan kaki ke tanah kuasa besar dunia ini setelah beberapa kali asyik terbatal walaupun perancangan yang rapi dibuat. Aku akur, jika belum sampai jodoh dan rezeki dari-Nya maka merancanglah bagaimanapun tentunya tidak akan menjadi realiti.

Kesempatan ini aku sambut penuh dengan kesyukuran, disulami kesyahduan kerana tiada pernah termimpi untuk mencapai impian menjejaki negara tersebut. Betapa mewahnya Negara China dengan pelbagai ilmu yang amat jauh berbeza dari tanah air sendiri. Jauh perjalanan luaslah pemandangan dan bertambahlah pengalaman.

Alhamdulillah, kesempatan ini diguna dengan sepenuhnya, untuk menimba ilmu dalam ruang yang singkat amatlah sukar makanya aku hanya mampu mencicip sahaja dengan kemanisan pengalaman yang terlalu tinggi nilainya.

Negara Republik Rakyat China menjadikan sejarah sebagai sandaran dalam mencerna masa hadapan. Masa lalu yang suram akibat penjajahan sehinggakan warganya tertindas dan diperhambakan dengan penggunaan dadah, kecanduan dan akhirnya keuntungan negara dibawa ke bumi lain sememangnya amat pahit. Masa lalu yang suram menjadi pengalaman kepada mereka untuk tidak mempercayai negara lain khususnya Barat. Mereka lebih mengutamakan kebolehan warganya sendiri malah menganggap sistem Barat adalah acuan yang tidak sesuai dengan budaya dan masyarakat mereka. Mereka percaya bahawa demokrasi yang diagungkan adalah manipulasi dunia barat untuk menakluk pemikiran masyarakat Timur dan menghapuskan kepercayaan tradisi dan budaya asli yang sebelum ini menjadi nilai turun temurun warga China. Secara jelas, mereka menolak kekuasaan Barat, menafikan agenda Barat, memperlekeh idealogi Barat dan lebih membanggakan mereka amat teguh dengan budaya tradisi sendiri.

Lebih hebat apabila, setiap warga yang ada diberikan peluang yang sama rata, bersekolah dan menuntut ilmu
malah amat digalakkan menimba pengajian dari dunia luar termasuk di Barat sendiri sehinggakan ramai dikalangan mereka memperoleh ijazah, Master dan PhD namun apabila kembali ke China tetap dikerah menjadi petani untuk merasai kesusahan dan kemelaratan dalam masyarakat. Tidak terkecuali Presiden China sendiri yang sebelum ini turut bertani selama lebih dua tahun. Bagi mereka jika pemimpin tidak merasai sendiri keperitan bagaimana mungkin mahu memahami kesusahan dan membantu rakyatnya....

Kota Shanghai... kota metropolitan yang maju dan indah. Bandaraya yang cantik dan bersih dengan pembangunan yang amat mengagumkan. Bangunan pencakar langit tinggi menjulang, malamnya dilimpahi lampu pelbagai warna. Namun semaju mana pun mereka, bahasa utama adalah mandarin sedangkan kami yang bertandang amat sukar mencari mereka yang memahami bahasa Inggeris. Begitu dalam sekali jati diri warga China.

Kedatangan kami ibarat orang asing, dilihat, diteliti dan diperhati namun tiada teguran yang dibuat. Tanpa gagal, kami mencerna ilmu yang disaji, mencicip setiap kemanisan dalam kerinduan kepada tanah air sendiri. Rindu tetap bertamu, syahdu terasa di hati mengenang keluarga, suami dan anak-anak... dengan rasa syukur pada-Mu Ilahi... inilah kurnian-Mu.







 









 



 

 



 

























2 comments:

nuhaz said...

seronoknyaa k.ika..

airikamalek said...

memang sronok Zills...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers