Aku kunjungi pusara mak... Bersendirian di pagi hari di pusara mak terasa keindahan dan ketenangan yang amat mendamaikan. Persekitaran pusara mak disirami dengan bebunga menguning kembang semarak yang bertaburan. Dari kejauhan telah kelihatan kuning keemasan di sekelilingnya. Di atas pusaranya juga penuh bebunga menguning. Sambil bacaan surah Yassin aku alunkan, bebunga menguning berguguran lagi dari pohon berdekatan. Angin terasa sepoi-sepoi mendamaikan. Hati dipagut pilu, redha dengan ketentuan-Nya dan akur dengan kebesaran-Nya. Terlalu indah suasana yang aku alami. Allahuakhbar!!!

Aku mengenang segala kebaikan arwah mak... tak banyak bicara tetapi sentiasa menyokong apa sahaja yang aku lakukan, biarpun hari ini jika aku fikirkan banyak tingkahku yang diluar dari kewarasan. Arwah mak memberikan aku sepenuh kepercayaan, sentiasa yakin dengan apa jua pilihan aku... Apabila aku membuat keputusan untuk belajar di tingakatan enam sedangkan ada beberapa saudaraku yang tidak yakin dengan aku tetapi emak menyokong usaha aku. Kemudian aku memutuskan untuk tidak menyambung pengajian sebaliknya untuk bekerja selesai STPM biarpun keputusan aku amat memuaskan, mak tetap memberi kata-kata positif. Setahun kemudian aku mengembil jalan untuk memasuki universiti apabila merasakan alam pekerjaan tanpa pelajaran yang tinggi tidak menjamin pendapatan yang memuaskan, mak juga bersikap terbuka. Begitu juga apablia aku memilih untuk mendirikan rumahtangga dengan pilihan hati, insan yang berasal jauh dari Ibu Kota dan tidak pernah pula emak ketahui latar belakangnya namun emak tidak pernah menunjukkan sikap negatif sebaliknya menerima Mr Hubby dengan berlapang dada, juga menyayanginya.
Mak sentiasa bersama, mak sentiasa ada walaupun jasadnya telah lama bersemadi tetapi setiap pesannya semakin segar menghuni. Mak bertegas soal tuntutan agama, mak pesan harta kekayaan tak boleh di bawa mati, mak kata tak kesenangan bukan dinilai dengan wang ringgit dan aku semakin memahaminya. Aku menghargai setiap ruang yang ada, terlalu besar nilainya.
Damailah arwah ibuku, Hajah Karimah Mashur dan semoga Allah menempatkan mak bersama-sama orang-orang yang beriman di sisi-Nya. Aku akan menyusul kelak dan semoga dipertemukan dengan mak di syurga-Mu Ya Allah. Al-fatihah
No comments:
Post a Comment