Monday, 16 June 2014

Ilmu dan Kemewahan

Kebaikan tidak pernah bernoktah... mudah dilakukan walau dimana-mana malahan peluang bersama mereka yang sememangnya telah terserlah hebat amat menyenangkan. Perwatakan tenang, kata-kata yang lembut dan tutur yang penuh santun seakan memujuk jiwa untuk turut sama menyemai rasa sedemikian. Tiada keangkuhan dan rasa riak sebaliknya lahir rasa luhur dengan wajah mulus mengatur kata-kata. Luluh rasanya hati dapat berbicara dengan para ilmuwan sedemikian. Sememangnya kekayaan ilmu di dada menjadikan mereka lebih zuhud dan amat menghormati masyarakat sekelilingnya.

Andai mahu dijadikan ukuran, antara aku dan mereka ini terlalu jauh perbandingannya namun dengan ilmu dan ketakwaan yang ada, mereka tidak memencilkan diri malah bersifat ramah dan mudah sekali berkongsi ilmu serta kemusykilan yang aku persoalkan.

Lebih menyentuh hati, kekayaan mereka bukan hanya dengan ilmu dan jiwa yang murni tetapi lengkap dengan nilai wang ringgit yang tidak terkira bagiku. Melihat perbelanjaan mereka, aku rasa bersyukur kerana sememangnya ramai juga bangsa Melayu yang kaya raya dan hidup mewah, mampu berbelanja dan mengatur kewangan untuk pelbagai keperluan dan memenuhi kehendak sendiri. Dalam aku melihat dan menilai, aku rasa berbangga kerana mereka ini ilmuwan yang amat pemurah. Kebanyakan barangan yang dibelinya bukanlah untuk dirinya sendiri tetapi khusus kepada mereka yang disayanginya, ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Aku mempelajari ilmu baru, dengan penilaian dan perkongsian bicara antara kami membuahkan rasa yang amat memilukan. Seboleh-bolehnya buangkanlah rasa berjauh hati sebaliknya teruskanlah usaha untuk meningkatkan keyakinan diri sama ada dengan melalui ilmu dan amal. Jangan berhenti belajar, jangan berhenti berbuat kebaikan, jangan berhenti berfikiran positif. Buangkan rasa negatif dan kemungkaran yang tentunya hanya akan membawa bencana dalam kehidupan.

Biarlah sedikit bercakap asalkan lebih dalam beramal dan jika mahu bercakap lebih pun, lontarkanlah kata-kata yang manis yang akan membawa kebahagiaan kepada orang yang bakal mendengarnya. Bersihkan hati dan ucapkanlah rasa kesukuran atas apa yang berlaku saban hari. Ungkapkan rasa bertuah dalam melalui kehidupan saban hari.

Antara pesannya, senyumlah dari hati kerana senyuman yang ikhlas akan memancarkan kemurnian wajah tanpa rasa berselindung atau dibuat-buat. Untuk menjadi orang yang sentiasa disenangi dan disayangi maka jadikanlah orang-oarang sekeliling sebagai mereka yang sangat istimewa. Insya-Allah!!!



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers