Wednesday 24 December 2014

Tengkujuh, Banjir dan Kenangan Lalu

Musim tengkujuh datang lagi. Banjir kembali terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur. Kali ini memang luar biasa musibah yang berlaku apabila bah yang datang berlaku lebih teruk dari tahun-tahun yang sebelumnya malah sebahagian besar Kelantan lumpuh kerana ditenggelami air. Allahuakhbar, sesungguhnya hanya Allah SWT yang mengetahui rahsia disebalik tragedi ini. Jika dipertengahan tahun lalu, kemarau melanda sehinggakan banyak negeri-negeri yang terpaksa berdepan catuan air namun sekarang ini air dimana-mana dengan jumlahnya tidak tertanggung sehinggakan menenggelamkan kediaman dan penempatan orang ramai.

Mangsa banjir berjumlah ratusan ribu orang, penempatan untuk mereka pula amat terhad. Banyak kampung terputus hubungan. Hospital juga dinaiki air, laluan darat terputus kerana arus deras sehinggakan bot penyelamat pun terbalik dan pasangan suami isteri menjadi korban. Untuk laluan udara, tiada tempat mendarat, cuaca yang buruk menyukarkan bantuan maka anggota tentera menjadi wira apabila mereka menyalurkan bantuan dengan bergadai nyawa. Kesungguhan dalam melaksanakan tugasan untuk mereka bukanlah semata-mata di medan perang kerana usaha melindungi orang ramai tidak terbatas kepada suasana peperangan sahaja tetapi juga membawa kepada fenomena banjir juga. 

Saban tahun memang banjir berlaku di negeri-negeri Pantai Timur ini, malah persediaan untuk berdepan musibah tersebut telah dilakukan namun kali ini banjir yang datang amat hebat sehinggakan tidak terjangkau dalam anganan mana-mana pihak sebelum ini. 

Dalam keadaan tersebut, tentunya amat memilukan apabila ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab bermain pelbagai kata yang berbaur fitnah dan tohmah, menggunakan media sosial untuk memburukkan pihak bertanggungjawab, menyalahkan kerajaan dan menuding jari semata-mata tanpa tahu menghulur bantuan apatah lagi untuk menghargai usaha yang dibuat. Ceteknya akal mereka, dangkalnya pemikiran insan sebegini yang hanya membuta tuli menyalahkan pemimpin tertinggi sedangkan langkah mereka sumbang tanpa tahu membantu. Sudahlah tidak menghulur tangan, tapi hanya tahu menyalahkan sedangkan usaha yang dibuat bukannya boleh berlaku dengan sekelip mata sekiranya tidak ada perancangan dan keupayaan. 

Memang payah untuk memberi kepuasan kepada semua pihak dalam masa yang sama, maka hargailah insan yang membantu tanpa mengharapkan sesuatu yang sempurna sebaliknya apa yang dimahu usahakanlah berdasarkan kepada keadaan dan persekitaran yang ada tanpa melihat kepada idealogi politik atau mengambil untung atas penat lelah orang lain. 

Secara zahirnya aku memang tidak pernah berdepan dengan suasana banjir sebenar sebagaimana yang berlaku sekarang ini namun di alam kanak-kanakku, rumah kami juga pernah dimasuki air. Aku masih terlalu anak-anak ketika itu, air yang melimpah pula hanya memasuki ruang dapur sementara rumah atas yang menempatkan ruang tamu tidak terjejas. Biasanya, kampung yang kami diami akan banjir jika air sungai yang berdekatan melimpah. Namun acapkali juga keluarga aku bersedia apatah lagi abang-abangku yang lain akan bermain hujan dan mengkhabarkan setiap masa keadaan air sungai. Pernah satu ketika air sungai melimpah sehinggakan jambatan di situ pun dihanyutkan air deras namun rumah kami masih terselamat sedangkan ada rumah-rumah jiran lain yang telah dilimpahi air. Tambahan pula, abang-abangku semuanya pandai bertukang dan tahu bagaimana cara terbaik untuk kami. Untuk aku, jangankan bermimpi nak bermain hujan, untuk menyentuh takungan air depan rumah pun mak tak izinkan.  

Kemudian dalam alam remajaku, aku pernah kandas untuk pulang ke rumah kerana laluan semuanya dinaiki air. Aku yang bermotor telah dihubungi oleh abang Hakim untuk mengelakkan Jalan Ipoh dan Jalan Pekeliling yang banjir maka aku ke Jalan Tunku Abdul Rahman namun nampaknya jalan itu juga dinaiki air. Sebagaimana penunggang yang lain aku menongkat motorku di atas laluan pejalan kaki sambil berteleku menunggu air surut. Hampir tiga jam aku berada di hadapan bangunan DBKL menanti air surut dengan gundah lantaran cuaca yang lembap dan malam yang makin larut namun kemudiannya aku dapat juga sampai ke rumah. Namun tidak aku ceritakan kepada mak kesukaran dan kegelisahan yang aku rasai lantaran bimbang emak tidak akan memberi izin lagi untuk aku bermotosikal kemana-mana. 

Dengan suasana banjir yang amat teruk ketika ini, aku dapat merasai kesedihan dan kesakitan yang mereka alami. Betapa sayunya hati namun pasrah berdepan realiti. Sewajarnya, dalam keadaan begini marilah kita sama-sama berdoa agar kita semua kekal sejahtera dan terpelihara dari sebagai kesakitan lagi. Sesungguhnya pada Allah SWT kita berserah!







Sumber gambar: FriendsofBN, MediaSosial

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers