Sunday 28 December 2014

Cuti Hujung Tahun

Baki cuti tahunan masih berbelas hari maka aku ambil 10 hari untuk dihabiskan di penghujung tahun ini. Rancangan asal untuk mengemas rumah dan menulis apa-apa yang aku tertinggal namun lain pula yang aku lakukan. Rumah memang telah dikemas sejak sebelum aku bercuti lagi, jika ada pun hanya sentuhan serba sedikit sahaja. Kemudian masa yang berbaki banyak dihabiskan secara santai bersama anak-anak dan anak-anak saudara yang ada di rumah.
Aku uruskan keperluan persekolahan anak-anak untuk sesi akan datang. Bersama Mr Hubby membeli baju kelengkapan Ameer sehinggalah kepada kasutnya, Amira juga. Cari juga alat tulis anak-anak berdasarkan kepada permintaan Amira yang semakin memilih. Kemudian, aku beli buku sekolah mereka, tulis nama dan balutnya dengan sempurna. Beg sekolah anak-anak aku siapkan, lencana di jahit pada baju dan kasut dikapurkan. 

Pendaftaran sekolah Kafa Amira dan Ameer pun aku lakukan dengan mereka bakal bersekolah di Al-Itqan selain pengangkutan mereka untuk bersekolah. Semuanya perlu diselesaikan lebih awal agar tidak berlaku sebarang kesulitan. 

Masa masih banyak berbaki dengan perkara yang wajib dibuat telah selesai. Waktu terluang juga aku habiskan masa dengan anak-anak. Keluar 'window shopping' di Alamanda, kemudian ke Jusco Equin Park, juga ke Giant BK. 

Namun saban petang yang menjadi acara bersama kami adalah berkunjung ke Taman Bukit Jalil. Kami beriadah bersama anak-anak. Berlarian sekeliling taman atau berbasikal bersama-sama mereka. Santai dan bersahaja dalam cuaca yang redup dan mendung. Memang, keadaan kini cuaca seringkali hujan namun ia tidak menghalang setiap aktiviti untuk dilakukan. 

Cuti hujung tahun ini memang berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya malahan kami lebih banyak menghabiskan masa di rumah dengan aktiviti bersama. Tiada tekanan sebaliknya rasa berseronok dan ceria. Azam untuk tahun hadapan ingin mengumpulkan cuti lagi agar dapat dihabiskan dengansantai bersama keluarga. 



 

  


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers