Saturday, 15 June 2013

Kelas Kreatif Anak-anak

Hujung minggu adalah masa bersama anak-anak. Dalam mencari idea sebagai aktiviti anak-anak kami berkunjung ke Jaya Jusco, Taman Equine. Antara tujuannya adalah membeli barang keperluan yang secara kebetulan ada aktiviti mengecat barangan cenderamata khususnya kepada pelanggan Jusco. Ia digunakan sepenuhnya dengan memberi ruang kepada Amira dan Ameer berkarya. Kebetulannya Nina tidak ikut bersama kerana tidur semasa kami keluar rumah.


Bermain dengan warna adalah impian anak-anak. Keterujaan mereka melihat pelbagai warna yang ada sedikit sebanyak akan menyumbang kepada daya kreatif mereka dalam melaksanakan lakaran. Amira sudah mampu melaksanakan pelbagai lakaran sendiri sementara Ameer perlukan bimbingan dan seakan kurang yakin apabila mahu membuat keputusan. Gemar bertanya itu ini, kenapa, bagaimana dan untuk apa. Sifat ingin tahu adalah sebahagian daripada daya kreatif anak-anak yang sedang berkembang. Hanya satu jawapan masih gagal untuk memberikan kepuasan. Soalan bertalu-talu pada jawapan yang diberi menuntut penerangan yang lebih. Idea kreatif anak-anak akan berkembang dengan keseronokan dalam adunan lakaran warna yang pelbagai. Ada yang berkata bahawa pemilihan warna yang digunakan oleh anak-anak adalah cerminan perasaan dan sikap mereka yang sebenar. Amira gemar menggunakan satu-satu warna sahaja dan ini berbeza dengan Ameer yang seringkali mencampurkan pelbagai warna dalam satu-satu masa. Aku anggap ini juga adalah tahap kematangan dalam pemikiran yang berbeza. Sebagaimana usia antara Amira dan Ameer sendiri.

Pakar kanak-kanak memberitahu bahawa aktiviti belajar sambil bermain ini mampu meransang saraf tangan dan tubuh anak supaya lebih terlatih dan secara tidak langsung ia turut memberi latihan secara santai kepada anak-anak dalam pembinaan otak yang lebih cerdas. Insya-Allah, Ameer dan Amira kelihatan amat seronok dengan lakaran warna yang ada biarpun ada juga campurtangan aku yang sama-sama ghairah bermain warna.

Sebelum itu, Amira turut pernah meluangkan masa dalam aktiviti mewarna lakaran batik yang dibuatnya sendiri, selain turut berminat dalam kretiviti membuat 'bintang' sebagaimana yang pernah aku lakukan ketika usia remajaku malah masih ada disimpan hingga kini.













1 comment:

nuhaz said...

seronoknyee..xsabar tggu giliran aisy lak nnti ;)