Saturday, 28 March 2009

Belajar Dari Kesilapan


Sesungguhnya, dalam memenuhi tuntutan seharian, antara tanggungjawab yang tergalas pastinya kesempurnaan diimpikan tetapi sebagai insan biasa, gagal juga mengawal keadaan lantas kesilapan berlaku.

Lebih malang lagi apabila kesalahan sendiri turut mengundang kepayahan kepada individu lain dan amat menyedihkan apabila kesilapan yang tidak disengajakan tersebut mengundang aib kepada apa yang tidak sepatutnya.

Aduhai..., bagaimana mungkin untuk ditebus kesalahan yang telah pun berlaku ini?

Sunday, 15 March 2009

Tuntutan Wanita Berkerjaya


Meniti hari-hari dalam kesibukan tanggungjawab harian di pejabat sedang cahaya mata memerlukan perhatian yang bukan sedikit malahan serba-serbi inginkan penglibatan seorang ibu amat mencabar. Bukanlah menidakkan tanggungjawab seorang bapa tetapi mungkin ada benarnya bahawa sememangnya wanita lebih prihatin hinggakan kepada hal-hal yang terlalu kecil dalam urusan anak-anak dan rumahtangga.

Dengan dikelilingi rakan-rakan wanita yang juga turut telah berumahtangga, sememangnya tuntutan bagi wanita berkerjaya memerlukan bukan sedikit pengorbanan malah adakalanya keperluan diri terpaksa dikorbankan. Tidak usah bercakap soal tekanan, kerana seringkali diketepikan agar tuntutan amanah yang dipikul dapat dilunaskan sesempurna mungkin biarpun adakalanya terasa amat lelah.

Tuesday, 3 March 2009

Sekadar mencoret



Coretan harian dalam melaksanakan tugas tidak pernah padam malah semakin hari semakin pelbagai yang mahu dirungkaikan.... Permasalahan manusia hilang harga diri ekoran pangkat dan kuasa sedikit sebanyak menjadi pengajaran kepadaku agar bersyukur atas limpah dan kurnia-Nya.
Betapa.... Entah semalam, hari ini atau mungkin juga esok tidak pasti sebenarnya apa yang telah berlaku. Memang peristiwa semalam telah berlalu tetapi berapa ramai individu yang menjadikan masalah semalam sebagai tauladan lantas mengenali diri untuk bersifat lebih positif.

Sunday, 1 March 2009

Jalan-jalan

Berhujung minggu, membawa anak-anak berjalan-jalan tanpa terperap di rumah. Sekadar ke Jusco sahaja tetapi anak-anak tetap teruja berada di taman permainan. Bawa sekali Lia dan Puteri bersama Achik. Keceriaan kanak-kanak menjadi keutamaan. Seronok melihat tingkah mereka yang gelak ketawa dan berlarian riang ke sana ke sini.

Thursday, 19 February 2009

Belasungkawa – Memori Terpahat Bersama Dato’ Ib


Pagi tadi, aku dikejutkan dengan panggilan telefon bahawa tokoh Melayu Terbilang UMNO 2007, Dato’ Ibrahim Hussein kembali ke rahmatullah akibat diserang sakit jantung seawal jam 4.30 pagi.

Sepantas itu juga, kenangan selama tiga hari melaksanakan tugasan bersama rakan-rakan pertengahan tahun lalu di Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein, Langkawi terimbas di kenangan. Betapa keramahan beliau dengan sikap rendah dirinya amat berbeza dengan kedudukan yang dimiliki.

Sememangnya, siapa orang seni yang tidak mengenali tokoh yang terulung ini, seorang anak kampung dari Kg. Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah yang akhirnya tersohor dalam bidang seni hinggakan pemimpin-pemimpin dari negara asing mengagumi kehalusan seni beliau lantas ada antara mereka yang menawarkan kerakyatan kepada beliau.

Tuesday, 17 February 2009

Syukur Atas Anugerah...

Jika anda memohon anugerah dari Tuhan
Berbahagialah jika yang dikirimkan
Bukan emas, harta dan kekayaan tetapi
Pengorbanan, kasih dan sayang sesama insan...

Saturday, 7 February 2009

Antara Amanah Dan Tanggungjawab

Pengorbanan
Sungguh mulia jiwamu
Hancur dan luluh
Dimanakah kepahitan
Kerana insan lain
Pengorbanan yang agung
Bukan diminta juga bukan dipaksa
Tapi suatu kesedaran
Erti tanggungjawab.


Puisi tersebut hasil nukilan Cikgu Mazlina Abd Majid dalam diariku ketika aku meniti darjah empat di Sekolah Kebangsaan Ampang. Ketika itu, tidak aku fahami butir bait yang tertulis... aku sekadar membacanya lalu menyimpannya hingga akhirnya aku tidak tahu entah dimana terkuburnya diari tersebut.

Namun begitu, puisi tersebut tidak aku lupakan malah kekal terpahat dalam hatiku dengan baitnya aku mengerti bahawa kehidupan tidak semudah disangka. Apatah lagi meniti perjalanan atas hubungan sesama insan. Ada atau tidak jalinan perhubungan, itu tidak penting kerana keikhlasan lebih diutamakan.

Thursday, 22 January 2009

Impian Tersirat II

Alhamdulillah, syukur atas kurnia dan rezeki yang dilimpahkan. Impian yang telah lebih sepuluh tahun bersemadi di minda akhirnya termakbul juga. Sesuatu yang memang menuntut kesabaran atas segala onak dan rintangan yang telah dilalui. Sepanjang waktu itu, memang pelbagai cabaran dilalui... bukan sekadar kerahan tenaga dan titis keringat malah air mata juga tertumpah lantaran memendam rasa atas impian tersebut.

Kepayahan yang dilalui sebelum ini sememangnya menjadi pengajaran paling berharga dalam hidup, menyingkap getir waktu tersebut - melemaskan - dengan penilaian dan pandangan pelbagai pihak melalui sudut berbeza. Apa yang pasti negatif melebihi dari kewajaran hinggakan sesekali keyakinan diri turut robek kerananya. Aduh, pedih!!!

Thursday, 15 January 2009

Impian tersirat

Membaca coretan Lin tentang impiannya di tahun baru seakan mahu berkongsi impian sendiri. Impian yang sememangnya telah lama tersimpan, sejak dari zaman anak dara hinggalah ke jinjang pelamin, impian tetap tersemat biarpun telah beranak pinak. Dan insya-Allah, tahun ini juga impian tersebut akan menjadi realiti.

Sememangnya keazaman yang kukuh ditambah dengan kesungguhan akan membawa kepada kejayaan. Berkat dorongan dan sokongan dari suami dan keluarga, impian ini akan tetap dilaksanakan. Semoga Allah memberi kekuatan mental dan fizikal kepada diriku untuk merialisasikannya....

Thursday, 8 January 2009

Birthday Girl - Amira

Tarikh 7 Januari kekal dalam minda. Usia Amira genap 4 tahun. Ceria keletahnya melihat kek yang dibeli abahnya....

Tuesday, 30 December 2008

Maal Hijrah dan Tahun Baru

Tahun Baru Hijrah 1430H dan Tahun Baru 2009... sesungguhnya kedatangan tahun baru adalah sesuatu yang mendebarkan. Penuh dengan semangat, inspirasi dan komitmen untuk sesuatu yang baru, perancangan pada satu perjalanan hidup yang menuntut pelbagai cabaran... Apa yang pasti kesabaran menjadi taruhan....
Apabila tiba tahun baru, pastinya usia juga meningkat – ia bukanlah sesuatu yang menakutkan – sekadar suatu nombor untuk kelangsungan hidup kerana apa yang penting ialah pengisian sepanjang usia tersebut, suka duka mewarnai diri yang secara tidak langsung mematangkan fikiran untuk suatu kronologi hidup yang lengkap....
Dan lagi, yang berkait dengan tahun baru ialah azam baru...sedikit senyum tercalit dibibir memikirkannya... Apa azam baru untuk tahun ini?
Tepuk dada tanya selera... Jawabnya, peningkatan kualiti hidup dengan kesempurnaan akal dan fikiran.... Merialisasikan impian-impian yang telah direncanakan, untuk semua insan tersayang dan juga diri sendiri...
SELAMAT TAHUN BARU!!!

Wednesday, 24 December 2008

Pulang Ke Desa...

Amira di hadapan rumah berlatar bendang dan pasaraya besar... antara imej moden dan tradisi...

Pembangunan tidak pernah ada noktah, termasuklah di Kg. Mempelam Alor Setar juga... tempat kelahiran suami yang telah menjadi sebahagian dari kampungku juga. Memang pembangunannya pesat, jauh berbeza jika dibandingkan dengan suasana lima tahun lalu ketika pertama kali aku menjejakkan kaki ke sini...
Apapun, yang paling gembira sekali apabila mendengar nama kampung ialah Amira... hinggakan tak mahu kembali ke Ibu Kota kerana ligatnya bermain di kampung... anak kota yang hatinya akan tetap bersalut dengan adat dan ciri-ciri kampung serta budaya Melayu – harap abah dan mama!