Pokok mangga yang ditanam Mr Hubby enam tahun lalu membuahkan hasil. Kali ini buahnya memang lebat, dari dahan atas sampailah ke tangkai bawah yang sememangnya menyerlahkan buah-buahnya bergayutan. Kali pertama bebuah sebelum ini pun tak sebanyak seperti sekarang. Bak kata orang... buah-buahnya tak putus makan... berganti saban hari, habis belah sini berbuah, belah sana pula berbunga yang bakal menggantikan buah baru untuk dipetik kelak.
Buahnya pula memang sedap, kalau mangga muda tidak terlalu masam, rangup dan segar terasa dan kalau dah masak pula buahnya sangat manis... tapi amat jarang Mr Hubby biarkan buah masak di dahan, buah mangga yang besar tak tertanggung tangkainya lantas gugur apabila angin kencang bertiup. Sayang kannn...
Buah-buah mangga ini menjadi buah tangan kami juga, berkunjung ke rumah adik-beradik dan juga mengeratkan silaturrahim dengan jiran tetangga. Ada juga jiran berbangsa India di hadapan rumah yang sudah beberapa kali meminta izin memetik daun-daunnya untuk dijadikan antara hiasan dalam kepercayaan agama mereka - biasanya memetik daun mangga yang pohonnya sedang berbuah.Inilah pohon mangga kami - eh Mr Hubby - yang menghasilkan buah tanpa henti sejak berbulan-bulan lalu dan menjadi penghubung dalam mengeratkan ikatan bukan saja dengan jiran tetangga tetapi juga dengan para saudara, pengunjung rumah kami dan juga melangkau masyarakat pelbagai bangsa.
Kalau setakat abang Bullah dan abang Hakim, sudah jadi kebiasaan kepada mereka memetiknya sendiri tiap kali datang ke sini.
Buahnya yang terbaharu ini aku kumpulkan dan jadikan jeruk yang menjadi buah tangan kepada mana-mana yang datang ke rumah atau aku berkunjung ke mana-mana.
Resepi Jeruk Mangga MudahBahan: Mangga, asamboi, air kapur, cili padi, gula
Cara:
Dah tentulah mangga akan dipetik dahulu dari pohonnya...
Kupas kulit mangga dan basuh bersih
Potong dengan saiz yang dikehendaki (jangan nipis sangat)
Rendam mangga yang telah dipotong dengan air kapur selama 1 jam (untuk pastikan sentiasa rangup dan segar). Sesudu kapur yang dibancuh dengan air untuk sekitar 6-7 biji mangga. Selepas sejam toskan mangga.
Potong cili padi mengikut saiz yang disukai, ada yang potong bulat dan ada yang menyeget. Jumlah mengikut kepedasan yang diinginkan, kalau suka yang tak berapa pedas kurangkanlah jumlahnya.Masak air gula dan biarkan sejuk. - kuantiti gula agak-agak manis untuk jumlah mangga...
Campurkan semua bahan-bahan - mangga, cili, air gula, asamboi (ikut jumlah yang disukai)... boleh juga jika nak masukkan sedikit garam.
Gaulkan semua bahan dan perap dalam sejam sebelum masukkan ke dalam bekas dan simpan di dalam peti sejuk.
Mudah saja dan selamat mencuba...
No comments:
Post a Comment