Hari ini berulang kembali dalam temujanji bersama doktor di hospital untuk rawatan susulan Amira. Sesuatu yang bukan lagi asing bagi kami dalam melalui pemeriksaan berkala saban tahun. Rupanya sudah enam tahun kami berulang-alik dalam memastikan rheumatic fever yang ada dalam tubuh Amira tidak kembali aktif.
Kali ini lawatan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pematuhan kepada SOP yang ditetapkan oleh KKM digunapakai oleh kami. Di pintu masuk ke hospital juga ada saringan... melihatkan tubuh Amira yang tinggi mula-mula petugas di situ hanya membenarkan seorang saja masuk namun apabila dimaklumkan usianya baru 15 tahun maka aku dibenarkan bersama menemani.
Penjarakan sosial dimana-mana, semua individu menggunakan topeng dan saling berwaspada pada keadaan sekeliling. Jumlah pelawat tidaklah seramai kebiasaan namun masih ada juga masa menunggu. PKP menjarakkan duduk aku dan Amira lantas masing-masing mempunyai ruang melayan perasaan. Sambil menantikan nombor giliran dipanggil, aku membelek-belek buku perubatan temujanji Amira. Aku kira jumlah temujanji bersama doktor sebaik selepas Amira keluar dari wad pada 22 Februari 2014... ada 23 kali kesemuanya.Aku tak masukkan sekali kiraan untuk sesi echo dan ambil darah yang biasanya akan dilaksana seminggu sebelum tarikh berjumpa doktor. Jumlah 23 kali pertemuan dengan doktor yang memantau kesihatan Amira, memastikan tidak berulang kesakitan dan berterusan sihat dengan masa yang diambil sudah enam tahun berlalu.
Amira disahkan menghidap rheumatic fever pada usia sembilan tahun... satu penyakit radang yang jarang-jarang berlaku akan menyerang kanak-kanak di bawah usia 15 tahun. Sesiapa saja boleh jadi mangsa tanpa melihat kepada sejarah kesihatan atau genetik keluarga sekalipun. Pada Amira radang menyerang sendi-sendi di bahagian kakinya yang mengakibatkan Amira langsung tidak boleh berjalan, berdiri pun gagal malah jika disentuh pun kesakitannya tak tertanggung... mujur tidak di jantung, otak atau organ dalaman yang padahnya lebih rumit.
Rawatan Amira ialah suntikan benzathine penicillin setiap 28 hari tanpa gagal yang dilaksanakan di Klinik Kesihatan Putrajaya. Suntikan ini mesti dibuat sehingga usia Amira 21 tahun sejak dia disahkan reumatic fever sementara susulan pakar bermula sebulan sekali, tiga bulan, enam bulan dan kini setahun sekali.Enam tahun berlalu... bukanlah masa yang singkat dalam membawa usia kanak-kanak Amira ke alam remaja hari ini yang sudahpun melewati 15 tahun. Ada enam tahun lagi untuk dia menjengah ke 21 tahun iaitu alam dewasa yang akan menoktahkan rawatan keseluruhan rheumatic Amira. Bermakna baru separuh perjalanan dalam suasana fasa yang berbeza-beza.
Kami tidak menyalahkannya pelaksana, dia juga manusia biasa yang berusaha untuk menyempurnakan tugasan namun melakukan hal-hal yang tidak menjadi rutin bukanlah sesuatu yang mudah. Hanya Amira yang mengambil suntikan ini sedangkan penggunaannya juga bukan mudah. Jika pelaksana orang baharu, atau orang lama bercuti memang menjadi kebimbangan kami... ada juga yang dah bertukar ke tempat lain, pernah juga Mr Hubby yang memberi panduan agar kegagalan tak berlaku, bersegera menyuntik selepas bancuhan ubat dibuat... dan alhamdulillah berjaya.
Aku dan Amira beriring ke ruang bertemu doktor. Sebelumnya, pemeriksaan tekanan darah, tinggi dan berat badan telah diambil di kaunter hadapan. Kami memasuki bilik rawatan yang sudah tersedia doktor kecil molek cantik manis menunggu. Dr Ezreen... nama yang tergantung pada kad pekerjanya. Nama secantik wajah, tuturnya pula lembut dan penuh santun.
Katanya, berdasarkan kepada rekod rawatan Amira secara purata kesihatan Amira baik dan tidak ada apa-apa yang membimbangkan. Aku hulurkan pula surat discaj rawatan dari Hospital Serdang. Bulan lalu Amira telah melakukan pemeriksaan rapi di Hospital Serdang... dua tahun pemeriksaan di sana setelah dirujuk untuk rawatan rapi dari pakar jantung. Hasilnya juga semuanya normal dan untuk bacaan bagi pesakit rheumatic fever, organ dalaman dan kesihatan Amira dianggap sihat.
Kata Dr Ezreen, memang injap jantung Amira ada terkesan akibat daripada rheumatic fever tetapi ia bukanlah sesuatu yang membimbangkan, malah rutih harian dan aktiviti kebiasaan Amira juga tidak terhalang atau perlu apa-apa pantang akibat hal tersebut.
Namun kebiasaan bagi doktor yang merawat adalah pesanan untuk bersegera ke hospital jika ada simptom sesak nafas, terasa sakit sendi atau sebarang kesakitan lain berkait rheumatic fever sebagaimana awal-awal penyakit ini timbul. Ya... awalnya dahulu ia bukanlah sesuatu yang datang tiba-tiba namun selepas menjalani rawatan kesakitan tersebut tidak pernah beruang lagi... alhamdulillah.
Semuanya lancar... suntikan bulanan perlu diteruskan hingga usia 21 tahun. Pemeriksaan susulan secara rapi tahun hadapan... selepas lapan bulan iaitu bulan Jun tahun 2021. Sebagaimana kebiasaan juga, ada ambil darah dan echo untuk bacaan organ dalaman.
Alhamdulillah... bertabah dan teruslah redha... keyakinan pada Ilahi yang sentiasa permudahkan laluan... syukur atas setiap dugaan ... terlalu banyak nikmat atas sekelumit kesakitan yang ada... pengajaran dan tauladan... saling memberi sokongan demi kelangsungan kehidupan menuju abadi... sentiasa yang terbaik buat Amira juga pada anak-anakku yang lain, Ameer, Nina, Ammar dan Amani....
No comments:
Post a Comment