Monday, 10 December 2018

Menjengah Big Bad Wolf Book Fair 2018

Cuti hujung tahun meluangkan masa di rumah, dan tanpa perancangan aku membawa anak-anak menjengah 'Big Bad Wolf Book Fair' yang sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC). Ini kali pertama aku ke sini biarpun saban tahun diadakan dan jaraknya dari rumah pun hanya sekitar 20 minit perjalanan.

Mr Hubby bekerja, aku memandu bertemankan Amira, Nina dan Ammar. Ameer tak bersama kerana ada di Gombak sementara Amani tidak sesuai dibawa ke tempat sebegini lagi pula kami keluar rumah dalam waktu tidurnya.

Jalan sedikit sesak di Pekan Cina menjadikan Amira sedikit emosi (sama macam abahnya kot....☺). Namun emosi Amira bertukar ceria dan teruja sebaik menemui novel-novel kesayangannya. Daripada tidak ada apa yang nak dibelinya, sudahnya Amira memilih 12 buah novel sebagai bahan bacaan sepanjang cuti sekolah... melangkau bajet yang dikahskan untuknya namun soal buku tak perlulah nak berkira sangat. Dipilih juga lima novel penyiasatan untuk Ameer sementara Nina lebih kepada komik.

Banyaknya buku-buku yang terhampar di depan mata... dari satu seksyen ke satu seksyen... ada pelbagai genre, juga bahan-bahan pendidikan anak-anak. Mujur Ammar tak tertarik pun sebaliknya dia teruja dengan buku bomba yang bersaiz besar.

Hampir empat jam kami menghabiskan masa di sini dengan Amira yang mengambil masa lebih lama memilih buku-buku tambatan hatinya. Anak dara bila dah jadi ulat buku payah nak dipisahkan. Terimbau juga kisah lampauku dulu. Nak kata apa kalau inilah juga habitku suatu waktu dulu cuma bezanya aku tidak mempunyai peruntukan untuk membeli buku-buku cerita apatah lagi pelbagai novel. Jadi ruang dan peluang yang ada ini tentunya aku ingin realisasikan impian melalui keinginan anak-anakku. Lagipun untuk buku, yang setiap baris ayatnya ada ilmu... tak salah berhabis sedikit sebanyak.

Membaca boleh menambah ilmu, memperbaiki bahasa, tatabahasa, menambah kosa kata dan menjadikan pemikiran lebih matang biarpun adakalanya yang tersurat dalam novel tidak sama dengan yang tersirat dalam realiti. Jika bukan aku yang menyokong usaha untuk pembacaan anak-anak siapa lagi sedangkan dulu pun aku macam tu jaga kan...

Semoga ilmu yang diraih akan memberikan manfaat kepada anak-anakku.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers