Aku sampai awal mendahului yang lain, diikuti Shafarah, Shafizar, Elis dan Enon. Ramai yang saat akhir tak dapat datang namun keseronokan kami bersam-sama bertukar-tukar cerita tidak terbatas. Farah bertugas di Perpustakaan Negara, Fiza menjadi pensyarah di sebuah universiti swasta, Elis pula bekerja di sebuah bank terkemuka sementara Enon menjadi guru. Ya, ramai dalam kalangan batch kami yang menjadi tenaga pengajar.
Kemudian Dr Saleeh, sifu bahasa yang amat santai menyertai kami sehabis kuliahnya. Makin meriah suasana, ditambah pula waktu makan yang menunya ada macam-macam, nasi goreng dan ayam goreng, soto, pulut kuning dan rendang, sate dan pelbagai kuih-muih.

Tak habis di situ kami berjalan ke kawasan sekitar bilik-bilik toturial kami dahulu yang kini telah menjadi bank, kedai buku dan klinik kesihatan pelajar. Terus kami ke Dewan Kuliah F. Dewan kuliah terbesar yang menempatkan ratusan pelajar dalam kelas bahasa ajaran Dr Saleeh pada pelajar tahun satu. Cantik dah dewannya.
Fakulti Sastera terus kami jelajah. Namun sunyi, pelajarnya sudah tak seramai dahulu lagi. Bukan seperti pada zaman kami dahulu. Tiada lagi kelas malam untuk para pelajar sedangkan pada zaman kami banyak kelas yang terpaksa kami lalui waktu malam.
Tak habis di situ, kami terus ke Jabatan Pengajian Media. Di situ kami terjumpa Riza yang singgah selepas acaranya. Dialah satu-satunya yang berjaya menjadi penulis dari puluhan pelajar yang mengikuti kelas penulisan kreatif. Ini pun Riza baru pulang dari mengambil hadiah menulis novel kanak-kanak anjuran BH. Tahniah Riza... rasa bangga dengan kejayaannya.
Kami memasuki bilik Ketua Jabatan Pengajian Media. Tempat yang dihuni oleh Shah kini. Pada zaman kami, Dr Latif yang menjadi ketua jabatan dan kemudiannya Dr Azizah. Sesi bergambar dan saling bercerita... saling berbangga atas kejayaan rakan-rakan yang melakar nama di arena masing-masing.
Selamat maju jaya kawan-kawan sekalian dan semoga kita akan sama-sama melakar kejayaan demi kejayaan dalam kelangsungan hidup. Inilah kami bekas pelajar dari universiti terbaik, Universiti Malaya.
No comments:
Post a Comment