Wednesday, 12 December 2018

15 Tahun Berumahtangga... Alhamdulillah

Tarikh 12 Disember 2003, 15 tahun berlalu. Berlangsung ijab dan kabul yang mematrikan ikatan suami isteri antara aku dan Mr Hubby. Dari berdua... sekarang kami sudah bertujuh. Syukur alhamdulillah. Dalam banyaknya dugaan, ujian dan rintangan maka kami dapat bersama seusia ini dan insya-Allah mohon pada Ilahi agar jodoh ke akhir hayat sebelum kemudiannya di alam sana nanti.

Ya, antara aku dan Mr Hubby banyak perbezaan... namun perbezaan itulah yang menyatukan kami. Latar keluarga yang berbeza, budaya tidak sama, bahasa dan loghat antara kami juga berlainan namun itu semua adalah satu pembaharuan dalam kehidupan kami. Saling menerima dan saling memberi, walau adakala saling terasa, ada perselisihan namun kemudiannya penyatuan menyemarakkan hubungan.

Pertemuan pertama antara kami tidak ada memberi makna apa-apa untuk kelangsungan hubungan yang lebih akrab. Hanya bermula sebagai kawan, saling bercerita dan bersenda tanpa ada kata-kata pengikat rasa namun keserasian yang dirasa mengakrabkan hubungan.

Cukup dua tahun saling mengenali maka kesungguhan untuk menjalani kehidupan bersama dimakbulkan Ilahi, dipermudahkan urusan kami. Mr Hubby datang ke rumah berbincang sendiri tentang segala urusan lantaran keluarganya yang jauh di Utara.

Kami bertunang pada 2 Feb 2013, tepat pada cuti Tahun Baru Cina. Arwah mak mertua yang menyarungkan cincin di jari dengan adik-beradik bersama merai... dan hujung tahunnya, kami disatukan di Masjid As-Syakirin. Lancar semua urusan kami dari awal hinggalah ke majlis bertandang di Utara. Meriah kami dirai dalam kalangan keluarga, sanak-saudara dan rakan taulan. Tiga hari majlis berlangsung di rumahku, bernikah dan doa selamat, majlis berinai, bersanding dengan lima helai persalinan dan kemudiannya hari kenduri besar. Minggu berikutnya pula rombongan ke Kedah dengan sebuah bas disewa bagi membawa keluarga besar dari Kuala Lumpur.

Restu keluarga adalah yang utama dan persefahaman tersebut amat penting dalam menzahirkan ikatan menjadikan ia terikat dalam hubungan yang lebih serius. Benar, ikatan rumahtangga amat sukar tanpa adanya kerjasama namun kelangsungan hubungan bersandarkan kepada keyakinan bahawa kasih sayang perlu disemai sentiasa.

Kini, lima cahayamata adalah anugerah yang mewarnakan kehidupan kami. Anak-anak yang berada dalam usia berbeza, remaja, kanak-kanak dan bayi adalah amanah yang perlukan perhatian agar tidak tercicir dalam kehidupan.

Semoga ikatan rumahtangga kami bertambah kukuh dengan limpahan hidayah dan kurnia rezeki dari-Nya. Alhamdulillah. 

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers