Berhari raya di tanah kelahiran Mr. Hubby tidak pernah terasa canggung. Semuanya sudah dirancang dengan jadual yang tersusun dibuat oleh Mr. Hubby. Menjadi kebiasaan kepada kami saban tahun, bermula hari raya kedua maka kami akan berkunjung ke rumah kak Pah kemudian ke rumah kak Mah di Ayer Itam namun kali ini kami memulakan ke rumah bang Ad di Pendang dengan disertai kak Jah dan keluarga bang Leh. Mat juga ada. Seterusnya kami ke Perlis menziarahi rumah Pak Su pula.
Hari raya ketiga kami ke Bukit Tembaga, ke rumah sahabat Mr Hubby dan terus ke rumah Mat di Kuala Nerang dan pada sebelah malamnya adalah masa untuk ahli keluarga besar berkumpul di kampung. Ada makan-makan sambil berbabercue, dengan mengadakan majlis bacaan Yassin dan doa selamat sebagai pendahulu. Turut serta jiran tetangga. Sebelum itu kami masih sempat menjelajah Pekan Rabu, membeli dodol dan kuih-kuih tardisional untuk dibawa sebagai oleh-oleh di Kuala Lumpur. Barangkali ini kali terakhir kami menjejakkan kaki di sini lantaran bangunan ini akan diruntuhkan dan akan dibangunkan Pekan Rabu yang lebih moden.
Hari raya keempat adalah masa Mr Hubby bersama-sama rakan-rakan sekolahnya. Majlis reunion STAR diadakan malah acara ini telah menjadi kebiasaan untuk aku turut serta sejak hampir 11 tahun menjadi isteri Mr Hubby. Kali ini majlis diadakan di Hotel TH dan sebagaimana tahun lalu, Amira enggan turut serta sebaliknya lebih ceria bersama-sama sepupunya di kampung sahaja. Sementara pada sebelah malamnya pula Mr Hubby akan menghabiskan masa bersama-sama rakan-rakannya dalam acara badminton atau futsal dan kemudian berlarutan sehingga lewat malam malah untuk kali ini menjangkau pukul 3.00 pagi. Bagi aku, ruang yang ada inilah masa untuk aku menghabiskan bacaan novel kegemaran dan anak-anak pula lebih banyak meluangkan masa bermain dengan riuh rendah dan gurau senda bersama para sepupu mereka.
Hari raya kelima, kami ke Taiping berkunjung ke rumah bang Leh dengan disertai kak Mah, kak Chik, kak Jah, bang Li mewakili kak Pah yang tidak sihat dan bersama-sama duduk bersembang. Suasana ceria dengan pelbagai cerita, sementara pulangnya singgah di Sungai Petani rumah kak Chik. Sampai ke rumah sudah sekitar pukul 10.00 malam. Aku perlu berkemas untuk memastikan segala barangan rapi kerana awal pagi esok kami akan kembali ke Ibu Kota Kuala Lumpur.
Setiap ruang masa digunakan sepenuhnya namun masih ada juga yang belum terisi. Kami tak dapat mencari ruang berkunjung ke rumah Chaq, adik bongsu Mr Hubby di Tunjang. Tak apalah...dapat juga bersua dengan dia dalam keramaian di kampung namun tidak dapat berbual panjang. Insya-Allah lain kali kami bertandang lagi dan bertemu sanak-saudara rakan taulan dalam masa yang lebih sempurna. Alhamdulillah semua sihat dan semoga kesihatan dan kebahagiaan berpanjangan.
No comments:
Post a Comment