Wednesday, 13 August 2014

Victoria Station, Ada Nostalgia Di Sini

Berkunjung ke restoran Victoria Station, Jalan Ampang... ada keterujaan, ada rasa ceria dan selebihnya menyelinap nostalgia lampau. Akulah anak hingusan itu yang acapkali melalui jalan Ampang untuk ke Ibu Kota, sedari usia masih anak-anak telah aku melalui jalan tersebut dan entah berapa ratus kali pula aku mengangankan berada di dalam restoran ini.  Menerusi bas mini 34 yang seringkali aku naiki setiap kali ke Ibu Kota maka tentunya jalanan berdepan Victoria Station menjadi santapan mata, maka pastinya perhatian aku akan lebih tertumpu di restoran ini. Kemudiannya menambah rasa ghairah aku untuk bersama sebahagian Victoria Station adalah reka bentuknya yang ditambah dengan gerabak kepala keretapi yang ketika itu aku terbaca di akhbar bahawa ia dibeli dari KTM oleh pemiliknya. Sebagai anak kecil yang wujudnya dari keluarga susah maka tentunya memasuki Victoria Station yang bagiku salah satu ikon mewah adalah antara angan-anganku.

Masa berlalu, dari usia yang terlalu kecil, aku meniti remaja dan jalan Ampang masih aku lalui dengan Victoria Station terus di situ. Masih sama sejak aku melalui jalan tersebut diusia yang masih terlalu muda. Kemudian aku berkesempatan menikmati hidangannya, walaupun bukanlah sesuatu yang terlalu istimewa malah aku pernah merasai makanan lain yang lebih enak dari di sini namun imbauan nostalgia lalu lebih membuatkan aku rasa nikmatnya setiap hirisan daging yang masuk ke mulut. Bak kata Mr Hubby sendiri yang acapkali menolak saranan ke sini, katanya tidak ada apa-apa yang istimewa di Victoria Station lataran dia sendiri sudah acapkali merasai makanan barat yang lebih enak lagi, namun itu semua tidak menumpulkan memori lampau. Akan aku realitikan untuk bersama yang tersayang di Victoria Station suatu hari kelak....

Hari ini, dalam kedewasaanku, tentunya aku boleh bila-bila masa sahaja ke sini namun ini bukanlah keutamaan kerana keberuntungan dalam menikmati setiap rezeki adalah berbeza, bukan nilai tempat dan kedudukannya namun redhanya diri menjamah setiap yang kita miliki. Alhamdulillah. Jika ikon mewah yang aku gambarkan suatu ketika dahulu maka kini anggapanku pada Victoria Station adalah sebagai ikon nostalgia angananku suatu hari dahulu... Anak kecil yang tidak punya apa-apa, sederhana dalam pelajaran, nakal dan manja tapi sentiasa mewah dalam dunia khayalan termasuklah Victoria Station. Sememangnya bukan nilai tempat itu yang jadi keutamaan tetapi nostalgia lampau yang aku rindukan. Aku masih sayangkan khayalan itu...sungguh manis dan indah!!!







No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers