Persediaan berdepan peperiksaan ini telah pun dibuat sekitar bulan April atau Mei lalu dengan tumpuan penuh dari gurunya. Jika diikutkan kelasnya hanya sekali seminggu tetapi Ms Ow meminta agar Amira dihantar dua kali seminggu dengan tempoh pengajaran dipanjangkan sehingga satu jam setengah. Kesungguhan dari seorang guru yang dedikasi dan sangat prihatin dengan Amira. Untuk aku mengajarnya sendiri memang jawabnya tidaklah kerana aku buta berkaitan muzik....
Dalam tempoh setahun hanya dua kali peperiksaan ini dibuat dan dilaksanakan berdasarkan silibus yang telah ditetapkan diperingkat antarabangsa. Soalan, tarikh dan tempat peperiksaan juga ditetapkan oleh sekretarian ABRSM Malaysia dan kebetulannya dekat benar dengan rumah kami.
Amira kelihatan teruja, takut pula terlewat ke bilik peperiksaan malah awal pagi lagi telah bersedia. Sambil menunggu aku bersiap dia masih lagi berkesempatan menyelak nota muziknya, juga di dalam kenderaan. Semoga dipermudahkan-Nya dan semoga ilmu yang dipelajarinya ini sentiasa mendapat keberkatan dari-Nya.
Biarpun aku tak menetapkan apa-apa cita-cita untuk Amira jauh sekali untuk serius dalam muzik namun aku
mahu dia berjaya. Mempelajari piano ini adalah impiannya dan mana-mana ibu bapa pun tentunya akan cuba menunaikan impian anak-anak mereka. Malah aku juga, terbuai pula dengan watak Intan Zulaika dalam novel ILUS yang amat pandai bermain piano, bijak memainkan melodi lagu dengan jari-jarinya namun dalam masa yang sama amat tinggi ilmu agamanya dan mempunyai personaliti yang amat menarik. Samalah juga dengan taekwando yang juga adalah dari permintaan Amira sendiri maka alang-alang turut serta biarlah yang terbaik diperoleh... dan tentunya kemudian aku terbawa-bawa watak Iris menerusi novel yang aku baca, seorang gadis yang aktif, hebat dalam ilmu mempertahankan diri taekwando namun penuh santun dengan nilai kemanusiaan dan mengenali tuhannya.
Amira bukanlah watak dalam mana-mana novel bacaanku, juga bukanlah bahan eksperimenku kerana dia lebih istimewa dari itu semua. Apa jua impiannya, selagi aku berkemampuan dan tidak menyalahi hukum agama maka tentunya akan aku cuba tunaikan. Impian kanak-kanak amat indah apatah lagi jika menjadi realiti yang pastinya tidak akan dapat dilupakan hingga ke akhir hayat. Selamat maju jaya Amira, jadikanlah setiap ilmu memberi manfaat dalam kehidupan dan memberi pulangan untuk akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment