Menyalami tangan bapak lebih mengharukan, saban tahun aku mengira waktu andai usia setakat ini... bukan hanya bapak tapi juga aku, kerana janji Allah SWT adalah pasti maka ajal akan tetap menjelma tanpa mengira usia tua ataupun yang muda. Kesyukuran dipanjatkan buat kesekian kali aku dapat mencium kedut tangan bapak di pagi Aidilfitri.
Sebagaimana biasa, selesai solat hari raya dan menjamu selera, seusai bersalaman dan bergambar sekadar yang perlu maka pusara bonda menjadi tempat kunjungan pertama. Sekembalinya ke rumah, kami berkumpul adik-beradik. Ada kakak Yeye sekeluarga - Zura, Din dan Ria, ada kak Piah dan anak-anaknya juga, kemudian abang Bullah, dan di sebelah petangnya ada abang Maili dan kak Zura anak-beranak berkumpul bersama-sama. Alhamdulillah jalinan bersama-sama adik-beradik terpateri dan bapak juga ceria meraikan kedatangan anak, cucu dan cicitnya ke rumah. Semoga silaturrahim ini akan berkekalan hingga ke hujung usia antara kami semua dan tersambung di anak-cucu berikutnya.
No comments:
Post a Comment