Laman rumah masih dipenuhi dengan tanaman menghijau. Bezanya kali ini Mr Hubby sudah tidak mesra lagi dengan tanaman terbabit biarpun bertahun-tahun lalu dia amat menitikberatkan pandangan di halaman kami. Sememangnya sejak dia bergelar usahawan masanya untuk menyemai tanaman sudah tiada, apatah lagi untuk meninjau arnab yang terkurung di sangkarnya. Tapi itu bukan satu masalah kerana rutinnya berubah sebagaimana menyerlahnya keutamannya untuk memastikan kesihatan tubuh badan.
Satu perubahan juga, aku mula berjinak-jinak dengan tanaman yang barangkali seakan satu kebetulan. Melihat rimbunan tanaman pasu yang tidak terjaga membuatkan aku rimas apatah lagi saban Sabtu aku luangkan masa berada di rumah. Lantas, kebosanan ini aku isi dengan mengatur susun kembali pelbagai tanaman di laman rumah. Tanpa sebarang modal, hanya mengguna pakai kembali apa-apa yang ada, aku menyemai dan menyusun pokok-pokok yang ada. Aku cantas daunan yang menguning, buang dedaun kering yang mengelilingi dan aku tebas pokok-pokok yang meninggi. Pasu-pasu yang ada aku susun kembali dengan laluan kaki yang kecil aku wujudkan sebagai ruang untuk anak-anak bermain.
Ada kepuasan dan rasa nyaman. Seakan mendamaikan apabila melihat ruang landskap yang dihasilkan dengan usaha sendiri. Masa diisi dengan bersantai menggunakan apa-apa sahaja yang ada untuk keselesaan. Semoga kelak apabila menghuni kediaman sendiri maka impian yang tergarap di sanubari dapat direalitikan...Insya-Allah.
1 comment:
bestnya bukak je pintu hijauu mata memandang :)
Post a Comment