Friday, 20 July 2012

Cerpen: Buntu

TERBIT DLM DEWAN SASTERA JUN 2007
______________________________________________________________________
APABILA yang berlaku tidak sama dengan apa yang dirancang, semuanya hancur berderai. Pilunya rasa. Bukan hanya jatuh terduduk tetapi telah tersungkur mencium tanah dan luka.
            Bagaimana untuk bangkit semula? Bagaimana untuk meneruskan langkah jika tidak bangun?        Tetapi, jika bangun sekalipun kemana langkahnya hendak dihalakan? Tidak tahu arah yang akan dituju, tidak pasti haluan yang akan dibawa dan entah ke mana kaki akan dilangkahkan.

            Alangkah dasyatnya bencana yang timbul sehingga putus asa yang menimpa kini. Putus asalah, kecewa dan sakit hati. Semuanya telah meracun dan bersemi, bercambah di dalam hatinya lalu membentuk perkebunan subur menghijau yang penuh dengan kebencian. Berdaun segar dan berbunga mekar. Harum yang membusukkan! Memang benar-benar membahayakan.
            Merayap tanpa rela dan menjelajah tanpa kebenaran di seluruh sendinya, di segenap ruang tubuhnya tanpa ada yang tertinggal walau sedikit sekalipun. Meninggalkan sisa-sisa yang beracun dan mencambahkan benih busuk di ruang tubuhnya yang telah dijelajah.
            Penyakit yang mengakibatkan kalbunya begitu mati, mati untuk berfikir dan menelaah kebenaran setiap perkara yang telah terjadi, perkara yang telah menimpanya dan semuanya memang membebankan. Sarat dengan kebuntuan yang menghimpit dan menghimpit!
            Memang kecewa adalah penyakit yang maha hebat dan lebih hebat dari penyakit tubuh. Mengenai soal kelumpuhan, kebekuan serta kemunduran yang disebabkan oleh kekecewaan, maka di sebaliknya akan datanglah pelbagai juga penyakit-penyakit yang singgah menyapa, bukan tubuhnya sebenarnya tetapi tangkai hatinya, ruang fikirnya dan juga rasa seluruh jiwanya juga.
            Benar-benar aneh dan ajaib penangan kecewa yang datang secara tiba-tiba, menghentam setiap inci tubuhnya. Lumat! Hancur! Hilang!
            Sungguh tidak patut jadi begini. Datangnya tidak dijemput, tidak diundang malah langsung tidak diharapkan tetapi masih juga bertandang dan cuba memesrai dirinya dan tanpa rela juga dia menerima takdir yang telah diberikan kepadanya.
       “Bukan takdir mungkin...!”
     
 Kebencian yang meneroka, menjelajah dan menjajah setiap urat yang berselirat halus di dalam tubuhnya. Dari hujung kepalanya hinggalah ke hujung kaki. Tidak terkecuali walau hanya sekelumit sekalipun daripada rasa yang membinasahancurkan hidupnya.
            Konon, mahu menjadi sekuat konkrit yang gagal untuk dihancurlumatkan, dipecahderaikan. Konon mahukan cita-cita menjadi nyata tanpa ada sesiapa yang dapat membinasa. Mengandaikan dirinya sebagai manusia gagah, berurat dawai, bertulang besi tetapi yang nyata kini bahawa semuanya konon cuma!
            Kecewa semakin menghimpit lalu resah juga bertandang. Malah kebencian semakin menjadi-jadi. Perasaan yang tidak diingini semakin mesra mengulit lembut dan secara perlahan juga berubah tingkah menjadi ganas. Meruap-ruap naik ke hujung ubun-ubunnya dan menyerbu meminta dibebaskan.
            Wajahnya telah merona merah. Menahan segala getaran yang beraja. Membantutkan segala akal fikir yang kononnya selama ini telah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.  Konon cuma! Ah, konon lagi!
            Banyaknya impian yang gagal dilaksanakan hanya kerana kegagalan yang memukim dihatinya lantas menyiramkan kecewa dan mengusir bahagia secara langsung. Memang dirinya gagal, gagal menjadi penglipurelara moden, kononnya untuk memikat dan membuktikan bahawa dirinya mampu untuk menongkah arus dan meniti setiap liku kehidupan tanpa ada keluhan walau hanya sepatah cuma.
            Percumakah satu perasaan halus yang memang selama ini diharapkan hadir untuk menjadi baja dalam menyemai dan memupuk cinta serta kasih sayangnya terhadap.... Terhadap siapa?
            Jika kekasih yang diharapkan dapat membawa kebahagiaan tapi kenapa sebelum ini disia-siakan hinggakan kekasih yang berjanji untuk membina mahligai bersamanya pergi begitu sahaja, meninggalkan dirinya tanpa kata-kata malah kekasih yang kononnya amat menyayanginya lebih bahagia bersama insan lain. Jelaslah bahawa dia gagal untuk memberikan kasih sayang kepada kekasihnya.
            Kekasih tidak setia, gagal mengawal naluri dan memahami maksud hatinya sendiri sedangakan jangka waktu perkenalan mereka bukanlah singkat, bukan hanya sedetik atau seminit tetapi bertahun-tahun.       Kasih sayang juga kontang, kering dan seperti juga kemarau yang dating. Kasih konon? Sayang konon?
Tetapi mengapa kasih dan sayang yang telah disemaibenihkan, diharapkan subur mekar mewangi tidak terjaga. Langsung tidak disiram dan dibaja malah dibiarkan kering sahaja.
            Memang dia tidak tahu menghargai nilai kasih dan sayang yang diberikan oleh kekasihnya. Bukan percuma rupanya kasih sayang yang diperoleh sebaliknya ia meminta balasan yang serupa dengan apa yang diberikan. Jika tidak mampu untuk memberikan lebih dari apa yang diharapkan mungkin boleh sama dengan apa yang diterima. Tetapi gagal juga.
            Memang hatinya kaku dan beku, gagal mengungkap kasih yang tandus. Gagal menyelami kelesuan kasih yang telah lemah dimesrai. Dirinya memang telah gagal untuk membawa kebahagiaan kepada kekasihnya yang kini telah menjadi hanya sebagai bekas kekasihnya sahaja. 
            Sakit!   Pedih!  Perit!
            Lalai menilai perasaan, lalu pada siapa dilontarkan rasa hati yang ada jika bukan kasih sayang yang diberikan? Ah! Persoalan yang memang mencengkam hidup datang selalu.
            Jika harta yang didambakan mengapa tidak pernah dia merasa kesejahteraan yang sebenar apabila melakukan tugas dalam proses untuk melonggokkan hartanya setinggi gunung, jika mampu memang dia ingin berbuat begitu.
            Bekerja siang dan malam. Sedapat mungkin dia memperuntukkan segala masanya untuk berfikir cara bagaimana ingin menguasai pasaran, memikat hati para pelabur, mematahkan hujah-hujah lawan korporatnya, memenangi kes merebut tender-tender yang bernilai mahal. Beribu-ribu, berpuluh ribu, beratus ribu dan mungkin juga juta. Bertegang leher, memerah minda memikirkan cara-cara munasabah menghadapi musuh dan memenangi perlawanan
            Memang dia selalu berfikir, sentiasa berfikir..., kononnya jika dia yang memenangi kes itu, mendapat tender ini, memasuki arena baru, memecah kebuntuan peribumi dan membawa nama ke mercu kecemerlangan lantas menaikkan nama ahli-ahli yang tersenarai bersama dengannya dalam menerajui syarikat bumiputera itu. Satu-satunya bumiputera sedangkan dialah yang termuda.
            “Bijak, dia bijak,” kata mereka.
            Konon!
            “You memang hebat!” lagi puji mereka.
            Konon!
            “You matang, keputusan you memang di luar sangkaan tetapi hebat,” satu lagi pujian malah datang bersama pelukan mesra, erat memegang bahunya.
            Sememangnya pujian begitulah yang diidamkannya. Adalah menjadi kebiasaannya untuk mencari kepuasan hati dalam melaksanakan tugas yang penuh mencabar.
            Dia sering memikirkan cara yang terbaik. Sering mencari formula yang baru di samping menggunakan teori-teori yang sememangnya telah sebati dengan jiwanya sendiri. Bukankah telah terbukti bahawa dirinya memang mampu untuk melaksanakan kerja yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Sifatnya sendiri, bertungkus-lumus memerah tenaga dan otak, siang dan malam belajar berperang dalam memajukan perniagaan yang dianggap serba canggih dan serba rumit.
            Konon! Mengapa?
            Dalam berfikir pelbagai persoalan cara bagaimana untuk melonggokkan harta kenapa tidak pernah terfikir malah terlintas sedikit pun untuk memikirkan sama soal kasih dan sayangnya yang dianggap dingin, tidak ada tindak balas dan tidak ada perasaan langsung.
            Mengapa?
            Pujian demi pujian yang menggunung datang bertandang bersama dengan kejayaan demi kejayaan yang dilaluinya dalam dunia kerjaya ternyata telah meninggalkan kesan yang bukan sedikit malah terlalu amat banyak. Kejayaan yang menuntut satu pengorbanan, minta satu pertukaran. Bukan percuma seperti yang disangkanya tetapi menuntut kasih sayang dikeringbekukan.
            Mengapa?
            Bukan hanya pada kekasihnya sahaja dia bersikap demikian malah kepada sesiapa sahaja juga demikian. Langsung tidak pernah diperuntukkan masa walau hanya sedikit sekali pun. Sayangnya memang ada tetapi tidak pernah kelihatan, pada kekasihnya juga. Semuanya dihabiskan bagi memikirkan dunia kerjaya, meningkatkan kedudukannya dan mengintai peluang daripada kelemahan-kelemahan yang ditonjolkan oleh musuhnya. Cuba menerobos setiap peluang yang tersedia.
            Siapa?
            Kekasih yang berjanji mahu membahagiakannya. Tetapi siapa kekasih yang benar-benar abadi dalam hidup ini? Tuhan! Dia sendiri tidak pernah memperuntukkan masa untuk benar-benar menyayangi kekasih abadinya itu.
            Lalai lagikah?
            Bingung yang semakin menjadi-jadi. Persoalan demi persoalan yang semakin mendesak meminta jawapan segera. Memang enggan lagi dipermainkan. Semuanya mahukan jawapan pasti dan menuntut satu kemerdekaan agar kebencian yang wujud, yang menceroboh tanpa rela dapat segera diusir dari dalam diri. Tidak mahu lagi tertipu dan tidak mahu lagi dipermainkan.
            Memang sudah letih, letih memikirkan kebingungan yang datang secara bertimpa-timpa. Dari wujudnya rasa kecewa membawa kepada putus asa yang akhirnya menjadi punca kepada segala kebosanan yang bermahajalela lantas mencantas segala impian dan perancangannya untuk meneruskan kehidupan dengan penuh bersemangat tanpa ada gangguan dari sesiapa. 
            Tidak mahu prinsip hilang begitu sahaja dan fikiran jadi tandus tanpa ada pengisian. Semuanya perlu perancangan dan setiap perancangan perlu dilaksanakan mengikut jaduak dan masa yang telah difikirkan perlu. Tetapi masalahnya, apabila perancangan semuanya hilang tanpa dapat dihidu punca dan arah menghilangnya malah masa seakan juga terbiar lagi.
            Ah! Apakah sebenarnya dia sudah terperangkap?
            Mungkin juga. Terperangkap kerana kesetiaannya kepada kerjayanya sendiri. Kewajarannya bertindak demi untuk kesejahteraannya sendiri pada masa akan datang sedangkan rasa cinta di hati terus saja dibiarkan. 
            Memang kalau sudah takdir!  Tadirkah? Mungkin ya...!
            Ini semua takdir, yang telah menjadikan haluannya jauh berbeza dengan apa yang pernah dirancangnya. Takdir yang telah mengakibatkan hati dan jiwanya terlalu tersayat, kecewa yang amat sangat dan memerlukan masa yang cukup lama untuk menyembuhkannya.
            Takdir jugalah yang telah melontarkan dirinya jauh terpinggir dari dunia yang lumrah dilaluinya. Dari kehidupan yang telah lali dengan rutin hariannya dan merampas segala-galanya berlalu pergi begitu sahaja.
            Takdir jugalah yang mengakibatkan rasa yang terbenam di sanubarinya terlalu amat parah hinggakan tidak ada lagi perasaan yang tertinggal di dalamnya. Semuanya akibat takdir!
            Tetapi, benarkah kerana takdir? Mungkin tidak.... Bukan! Ini satu kebetulan cuma.            Ya, kebetulan. Kebetulan yang membawa keterasingan dalam dirinya. Melahirkan rasa gundah yang bercambah dan terus bercambah dari semasa ke semasa. Lantas mekar mengembang membawa haruman kegundahan itu terus meresap ke dalam tubuh badannya. Tapi itu semua hanya jika satu kebetulan saja.
            Terhempas bagaikan buih-buih ombak yang terdampar dan terus pecah di pantai. Terbiar sahaja dengan kekontangan yang amat parah, amat menyakitkan tanpa ada ubat atau penawar yang mampu untuk menyembuhkan luka-luka yang tersirat di dalam tubuhnya.
            Dan..., darah merah pekat hanyir masih terus mengalir. Menitis laju tanpa ada sesiapa yang cuba untuk membalutnya dan tidak mungkin akan ada insan yang mampu untuk mengubatinya.           Lukanya amat dalam.            Sakitnya sangat terasa. 
            Apa lagi yang mampu untuk dikatakan, segalanya telah cuba digambarkan tetapi nyata bahawa perit yang lahir hasil daripada penangan rasa kecewa itu tidak pernah lenyap. Makin lama masih terus-terusan makin sakit dan sakit yang mendatang itu bukanlah satu sengaja atau permainan cuma tetapi ia memang benar dan nyata.
            Alangkah! Alangkah apa?
            Aduhai!
            Apa?
            Aduh!
            Kenapa?
            Segalanya bagaikan telah luntur dan hilang, langsung tidak bersisa harapan yang dahulunya teguh. Kononnya akan setia untuk mendukung dan menjadi tiang sekiranya diri tidak mampu untuk bertahan lagi daripada serangan ribut perasaan dan kekecewaan yang melanda tetapi nyata benar..., nyata benar bahawa semuanya hanyalah lelocon cuma.
            Harapan memang tidak boleh dijadikan sandaran secara percuma apalagi jika hati yang luka dibiarkan terus luka tetapi mengapa perasaan langsung tidak mempunyai perasaan pada ketika ini. Sekurang-kurangnya untuk memujuk rayu dan memberikan simpati. Apakah? Di mana? Bagaimana?
            Sakit, perit dan pedih masih lagi terasa. Memang telah dicuba, cuba mencari penawar bagi sebuah hati, bukan sebuah sebenarnya tetapi hanya tinggal secebis itu pun telah lunyai, layu dan sudah tidak bermaya lagi.
            Yang lain telah hilang, belot kerana dilapah dan disiat-siat kemudian dicincang lumat. Habis hilang segala-galanya dan mujur masih ada secebis lagi yang tertinggal di celah-celah rantai kehidupan yang menjerat hatinya.
            Mujur juga masih ada yang secebis ini. Jika tidak apa lagi yang tinggal untuknya. Tidak ada apa-apa. Hasil daripada rasa kecewanya.... Kerana apa kecewa ini datang?
            Cuba diselidiki, diintai dengan sepasang matanya yang layu. Dirabanya dengan sepasang tangannya yang kurus melidi. Didengarnya dengan telinganya yang kononnya juga tajam.
            Cuba dirasanya tetapi, cukup pahit. Sangat-sangat. Terlalu amat! Kecewa yang datang bertandang tiba-tiba....
            Bukan kerana bekas tunangnya
            Bukan kerana hancur keretanya
            Bukan kerana kebingitan di sekelilingnya
            Tapi kerana apa? Bosan!
            Kekosongan hatinya yang tidak pernah senang dengan segala sumber yang diperolehnya. Harapan yang disandarkan cuma sekadar tiang yang ditegakkan di dalam selut tanpa ada pacak kukuh yang akan memakukan segala kepedihan yang terjunam jatuh ke dasarnya. Tiang hilang dan semuanya telah tiada.
            Bukan ribut yang datang, bukan taufan yang menjelma dan bukan juga angin kuat yang melanda tetapi semuanya roboh hanya kerana dengus nafasnya sendiri. Baru sahaja dia melepaskan keluhan dan dengusan nafasnya yang keluar meranapkan segala usahanya dan kecewa yang mampir ke sisinya.
            Lalu? Ternyata bahawa kekecewaan semakin menekan. Setiap inci tubuhnya merasa demikian juga. Tidak ada anggota yang terlepas dari perasaan ini. Segenap sudut telah dipenuhi dan kekecewaan itu menari-nari, terkinja-kinja dan melompat-lompat di atas kemenangannya kerana dapat menakluk hati manusia yang cuma masih tinggal secebis saja itu. Memang hanya secebis yang masih berbaki.
            Semakin menjadi-jadi tariannya, semakin rancak dan semakin tinggi lompatan yang dilakukan. Menunjukkan kemenangan. Kemenangan dalam menumbangkan ego hero yang malang itu. Menewaskan keangkuhan yang telah lama bermastautin di lubuk hatinya.
            Perlunya satu pembaharuan dalam hidupnya, satu pemberontakan yang pastinya akan mengubah segala-galanya dan paling nyata ialah satu revolusi yang akan menentang ketidakadilan yang berlaku di dalam tubuhnya.
            “Sesuatu umat itu apabila dihinggapi oleh penyakit masyarakat, maka umat itu benar-benar memerlukan akan adanya pembaikan atau penyembuhan dari penyakitnya itu. Penyakit yang sedang menghinggapi diri umat itu tiada lain adalah penyakit kerosakan akhlak, kerosakan budi pekerti serta kemerosotan moral.
            Untuk mengubati sampai sembuhnya penyakit ini jauh lebih sulit daripada mengubati sampai sembuh seorang pesakit dari penyakit yang dideritainya. Keperluan mereka itu melebihi keperluan pesakit kepada ubat untuk menyembuhkan penyakitnya.
            Bagaimanakah jika bukan seorang sahaja yang sakit sebaliknya seluruh umat masyarakat kecuali beberapa orang yang memperoleh kasih sayang tuhan sahaja yang tidaka akan terkena penyakit. Apakah akan dipanggil doktor untuk mengubati penyakit tersebut dan dapatkah penyakit tersebut diubati agar tidak terus tersebar di dalam masyarakat?
            Dapatkah doktor pakar itu meringankan atau menyembuhkan sama sekali penyakit tadi lalu melepaskan umat tersebut dari penyakit yang dideritainya? Adanya doktor pakar itu benar-benar merupakan hal yang maha mustahil dan sampai hari kiamat pun tidak mungkin ada kerana yang pertama,umat itu tidak mengerti perihal penyakit masyarakat, jadi tidak menyedari bahawa mereka sedang menderita sakit.
            Mereka mengira tetap sihat walafiat, tiada suatu penyakit apapun yang menghinggapinya atau ia mengira tidak ada suatu kelainan apa pun di dalam tubuhnya. Pada hal kalau mereka menginsafi dan menyedari serta mengetahui bentuk penyakit yang menghinggapi mereka, sudah pasti mereka akan segera mencari ubatnya, sebab sudah hampir dalam keadaan mati dan binasa, disebabkan penyakit yang dideritai itu sungguh-sungguh berbahaya dan akan membawa bencana yang besar sekali.
            Ah!
            Semakin lama hati yang hanya tinggal secebis semakin luka, berdarah merah pekat hanyir mengalir laju hinggakan hati yang merah menjadi pucat warnanya, kebiruan, kehijauan dan kehitaman. Semakin dibiarkan semakin sakit dan semakin membengkak, bernanah dan bau hanyir semakin menekup hidung. Segalanya amat..., terlalu amat sakitnya. Dibiarkan juga.
            Bukan tidak mahu diubati tetapi tidak tahu bagaimana punca untuk mengubati hati yang memang telah lunyai, hancur, berdarah melumat merah bercampur nanah yang kekuningan. Likat, pekat sealiran dengan bau yang keluar bersama pancutan darah nanah yang seakan tidak mahu berhenti mengalir.
            Hati cuma secebis tetapi darah yang pekat mengalir seakan seluruh tubuhnya.
            Isy!
            Kering-kontang semua lorong-lorong yang telah dilalui sejak zaman berzaman, sejak selepas dirinya meninggalkan alam remaja.
            Konon! Memang kononnya....
            Ah! Seakan satu mitos cuma.
            Semuanya sangkaan meleset dan jauh lari meninggalkan landasan yang telah disediakan, menyimpang dari laluan yang telah direncanakan.
            Kalaulah...!
            Isy!
            Kalau apa?     
            Kalaulah, kecewa boleh diubatkan hanya dengan meminum seteguk air suam, atau air kosong atau air apa-apa sahaja.
            Tetapi memang, memang kecewanya bukan satu mainan juga bukanlah satu alasan yang sengaja ingin disandarkan pada kenyataan yang telah terbentang dihadapannya.
            Mencari punca?
            Punca apa?
            Ke mana?
            Berapakah harga sebuah kegembiraan?
            Kegembiraankah yang dicarinya selama ini? Kalau hanya setakat kegembiraan yang seketika lama sudah pernah dikecapinya. Berkali-kali malah secara mudah apabila duduk bersama rakan-rakan sekerjaya, kononnya membincangkan business, tetapi yang dibincangkan cuma sesaat sedangkan yang selebihnya bercakap soal dunia, harta dunia, keseronokan dunia, hiburan dunia atau apa-apa lagi
            Sekadar duduk sahaja di coffee house, bersantai seketika sebelum kembali menyambung kerja, berbual-bual kosong, kemudian ketawa dengan kuat, sekuat-kuatnya hinggakan orang sekeliling juga turut menoleh kepada kumpulan mereka. Itu juga sudah menggembirakan.
            Gembira dengan ego yang melangit. Jauh meninggi tetapi sekadar kosong. Tanpa ada apa-apa.
            Nyata bahawa bukan kegembiraan sebenarnya yang dicari.
            Mungkin inginkan nilai sebuah kesejahteraan?
            Apa sebenarnya kesejahteraan yang? Adakah kesejahteraan itu akan hadir sekiranya mempunyai wang beribu, boleh membeli apa sahaja yang diinginkannya, seperti yang selama ini sering dilakukannya, mengumpul wang sebanyak yang mungkin dan mengenepikan kehendak rohaninya sendiri?
            Itukah kesejahteraan?
             Atau sebenarnya kesejahteraan itu hadir secara tak sengaja, ibarat terserempak saja lagaknya? Berjumpa tanpa dirancang dan kemudian akan mesra menguliti dirinya dan setiap impian serta keinginan yang dimahukan olehnya?
            Atau mungkin juga, sebenarnya kesejahteraan itu adalah satu perasaan yang apabila kita inginkan ia akan muncul menyapa?
            Buntu!
            Mungkinkah wang yang dimilikinya dapat membeli ketenangan dan mengupah seseorang jika mungkin dapat untuk menghindarkan, mengusir pergi tanpa kembali lagi semua kekecewaan dan sakit hati yang menjelma dalam dirinya. Dapatkah wang memberi nilai sedemikian?

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers