Ramadan yang keenam, sementara menunggu waktu berbuka puasa
aku melayan anak-anak dalam keadaan yang lelah setelah seharian bekerja. Ketika
itu jam menghampiri pukul 7.00 malam. Telefon bimbitku berbunyi… sekali bunyi
tak sempat ku angkat. Kemudian berbunyi lagi dan dihujung talian suara Zack
cemas…, katanya ayah dah tak bergerak tolong cepat datang. Aku turut cemas,
segera memberitahu Mr. Hubby yang sedang bertadarus. Tetapi Mr. Hubby tenang
saja dan menyarankan agar berbuka puasa terlebih dahulu ditambah lagi dengan
kesesakan jalan. Aku enggan menggesa tetapi hati meronta. Aku hubungi abang
Hakim dan sarannya agar aku tidak cemas sebaliknya menguruskan keluarga dan
anak-anak terlebih dahulu dengan dia sendiri yang akan berkejar ke sana bersama
bapa. Aku lega sedikit.
Selepas sahaja solat maghrib aku dan Mr. Hubby bersegera ke
Ampang, dan kemudian abang Hakim menghubungiku. Katanya, abang Cici dah tak ada….
Innalillahiwainnailaihirajiun. Dari Dia kita datang dan kepada-Nya juga kita
kembali. Airmataku mengalir dalam keredaan hati dengan pemergian abang Cici
apatah lagi setelah melihat sendiri penderitaannya yang berpanjangan.
Sekujur tubuh abang Cici telah tertutup kaku dengan dikelilingi anak-anaknya yang membacakan surah Yassin. Suasana hening, tenang dan syahdu tanpa ada rintihan dan kekesalan. Semua redha dengan pemergian abang Cici ditambah lagi apabila kak Zura dan kelima-lima anaknya, Zack, Zul, Radzi, Aiman dan Amy turut ada ketika nafas terakhir abang Cici dihembuskan. Lebih dari itu, rupanya bapa juga sempat berjumpa abang Cici di saat-saat terakhirnya dan memimpin bacaan syahadah. Abang Cici membuka mata sekali memandang bapa dan kemudian terus pejam selama-lamanya. Ada air mata yang mengalir di wajah abang Cici ketika itu.
Indahnya pemergian abang Cici setelah bertarung dalam penderitaan
yang panjang akibat kanser. Malam Jumaat di bulan Ramadhan yang barakah. Dikelilingi
isteri dan anak-anak termasuk bapa walaupun siangnya isteri bekerja dan anak-anak
bersekolah sementara bapa tinggal jauh tetapi abang Cici sempat bersama di
saat-saat akhir. Seakan tiada keperitan berdepan sakaratul maut sedangkan di
waktu siangnya sikapnya seperti biasa malah seleranya semasa makan tengahari
juga tidak tumpul. Di awal pagi, satu-satu anak-anaknya dipanggil dan ditatap
wajahnya. Kebetulan ketika itu giliran Zul yang menjaga bapanya, tetapi tidak
ada sebarang kelainan dengan hari-hari sebelumnya. Lebih beruntung, abang Cici
dapat menikmati makanan yang diidamkan sebelum itu iaitu rendang daging. Mujur
kak Zura mendapatkannya dan tiada rasa terkilan kerana apa yang diminta dapat
diberi.
Cerita kak Zura, malam sebelum abang Cici pergi dia sempat
meminta maaf pada kak Zura kalau sepanjang dia sakit banyak menyusahkan, tapi
kak Zura kata dia sentiasa ikhlas biarpun memang amat perit, malah mereka
saling bermafan ketika itu. Doa kak Zura sentiasa mohon jika abang Cici pergi
biarlah di rumah sendiri dan dikelilingi semua keluarga, dan alhamdulillah
Allah SWT memakbulkan doa ini.
Alhamdulillah juga, Allah SWT memudahkan segala urusan yang
dilakukan. Bermula dengan laporan polis, urusan tempat pengkebumian, mandi, van
jenazah hinggalah ke liang lahad. Ramainya saudara mara, rakan taulan dan jiran
tetangga abang Cici yang datang. Biarpun abang Cici meninggal selepas maghrib
tetapi urusan pengkebumian abang Cici sempurna malam itu juga tanpa perlu
bertangguh ke esok pagi. Bukan saja di rumah orang ramai menziarah tetapi
mereka mengiringi hingga ke tanah perkuburan walaupun ketika itu sudah tengah
malam.
Kali terakhir aku bersua abang Cici ketika aku menjemputnya
dari HKL sehari sebelum Ramdhan. Aku memandu kereta sedang ketika itu abang
Cici duduk disebelahku. Ketika itu pula hujan lebat turun dan jalan amat sesak
yang menjadikan perjalanan dari HKL ke Ampang hampir dua jam. Aku tahu ketika
itu abang Cici merasai kepayahan tetapi kami masih boleh jadikan ia sebagai
gurauan.
Dalam syahdu aku menyusuri kenangan bersama abang Cici….
Pilunya hati kerana aku sedar inilah abang yang selalu ‘memenangkan’ aku dalam
apa jua keadaan malah ketika aku kecil abang inilah yang selalu mendukung dan
menyisir rambutku, itu semua cerita dari arwah mak. Sekarang abang Cici dalam
usia 51 tahun dah menyusul mak sebagaimana abang Daili dan abang Solo juga.
No comments:
Post a Comment