Tuesday 17 July 2012

Kondisi Terkini Abang Cici...


Pagi tadi aku berkunjung lagi ke HKL di Institut Radioterapi & Onkologi yang menempatkan abang Cici di  sini. Sudah lebih sebulan abang Cici menghuni wad 4B yang menempatkan para pesakit kanser dan aku adalah pengunjung setianya. Biarpun tidak banyak yang dapat aku lakukan tetapi sekurang-kurangnya aku dapat bercakap dengan abang Cici.

Alhamdulillah, keuzuran abang Cici tidak separah sebelum ini. Aku melihat perubahannya biarpun aku akui tubuhnya yang kurus semakin melidi. Tulang tubuhnya tampak tersembul tanpa disaluti isi menggebu.

Aku berkesempatan berjumpa dengan Dr. Alagu yang merawat abang Cici. Katanya, tak banyak yang mereka dapat lakukan. Dua tiub yang ditebuk dibelakang tubuh abang Cici sudah dicabut. Sebelum ini tiub tersebut dipasang untuk mengeluarkan nanah dan mengurangkan bengkak di saluran pundi kencingnya. 

Sekarang dikedua-dua saluran tersebut telah dipasang ‘spring’ sementara ketumbuhan di dalam pundi kencingnya tidak dapat dirawat. Apa yang boleh dilakukan adalah memberikan semangat dan makanan berkhasiat yang mengandungi lebih protien untuk memastikan tubuh abang Cici kembali bersemangat. Dalam masa yang sama, setiap pagi sesi fisioterapi akan diadakan bagi memastikan abang Cici menggerakkan setiap anggota tubuhnya. Abang Cici akan diajar untuk membangunkan tubuhnya sendiri, duduk dan melakukan beberapa latihan kecil. Seakan anak kecil yang diajar untuk menggunakan anggota tubuhnya, begitulah abang Cici melakukan gerakan-gerakan mudah.

Aku melihat kepayahan abang Cici melunaskan semua gerakan. Sedaya upaya dia melaksanakan arahan pakar fisioterapi yang dipanggil Anne. Keramahan dan keceriaan Anne menenggelamkan kerumitan yang aku rasai. Hanya 10-15 minit diperlukan tetapi kelelahan abang Cici menenggelamkan segala yang nampak mudah pada pandanganku. Mujur lengan kanan abang Cici tidak lagi bengkak tetapi kaki kanannya masih belum surut. Penerangan dari doktor sebelum ini memberikan aku kefahaman bahawa bengkak kakinya adalah berpunca dari kegagalan buah pinggangnya berfungsi dengan baik. Aku fahami keadaan abang Cici dalam keadaan kansernya yang berada di tahap 4, namun aku juga percaya pada keajaiban Ilahi.

Sikap abang Cici memang aku nampak positif, tapi barangkali kerana aku walhal pada anak-anaknya tidak sedemikian. Saban hari yang menemani abang Cici adalah anak-anaknya yang saling bergilir selang dua hari antara tiga beradik. Apa pilihan yang ada apabila kak Zura terpaksa memikul beban sebagai ketua keluarga untuk mencari nafkah sedangkan anak-anak terpaksa berkorban alam persekolahan yang indah demi seorang bapa. Dalam usia 17, 16 dan 15 tahun, Zack, Zul dan Radzi perlu berdepan dengan dugaan yang besar selain berperang dengan pelajaran bagi menghadapi peperiksaan SPM dan PMR. Berat mata memandang maka berat lagi bahu yang memikul....

Beberapa kali lawatanku yang terakhir abang Cici bercerita tentang arwah mak. Katanya mak seringkali datang melihat keadaannya malah pernah dalam lenanya dia memanggil nama mak sehinggakan terpaksa dikejutkan oleh anaknya yang berjaga. Kata abang Cici, wajah mak bersih dan ceria.

Kesakitan abang Cici berpanjangan dan tentunya pelawat yang mengunjunginya juga semakin berkurangan. Semoga aku dan adik beradikku serta seluruh keluargaku diberi kekuatan dan tidak jemu merawat abangku ini....

Aku turut berbual dengan anak-anaknya, mereka amat mengharapkan agar kesihatan abang Cici bertambah pulih atau setidak-tidaknya dapat menyambut Ramadan hujung minggu ini di rumah. Sekali lagi, aku cuba memahami jiwa remaja mereka... kasihan mereka terpaksa berdepan penderitaan sedemikian sedangkan rakan-rakan lain duilit pelbagai pengalaman manis. Doaku sentiasa, mohon dipermudahkan segala kesulitan dan digantikan dengan kesejahteraan berpanjangan....



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers