Tugas ialah amanah kerana Allah. Jawatan editor bukan mudah, kerja apapun tetap ada cabaran. Sekiranya kesenangan dan kekayaan yang diimpi maka kerjaya ini bukan idaman sebaliknya jika ilmu dan kepuasan yang jadi pilihan, cabaran adalah taruhan utama untuk didepani.
Editor ini tugasnya sama saja. Membaca dan membetulkan kesilapan. Memahami dan menyempurnakan bahan sebelum terbit. Pengalaman dari editor buku ilmiah suatu ketika dahulu hinggalah kepada editor berita yang saban hari menekuni setiap huruf dan baris ayat untuk jadi sebuah cerita adalah satu tugasan yang bukan mudah.
Editor adalah insan belakang tabir yang nama tak disebut dan wajah amat jarang sekali dikenali. Sedang tugasnya pula amat penting dan bermakna. Merancang, menyusun, memurni malah pastikan bahan terakhir sebelum terbit lengkap dan sempurna untuk tatapan khalayak. Memanglah tak akan ada yang sempurna namun meminumkan kesilapan dan memaksimumkan semua yang cantik, elok, molek dan apa-apa sahaja yang serba baik sebelum dijadikan tatapan massa.
Kerjanya rumit, renyah, harus teliti malah ada seorang pensyarah memaklumkan bahawa editor ini adalah insan istimewa yang dapat melihat secara mendalam segala kekurangan dengan menambahbaik menjadikan hasilnya menarik dan dapat tumpuan umum.
Namun jika cantik penulisan atau cerita bahan terbitan, pujian dan penghargaan adalah hak mutlak penulis sebaliknya jika ada kecacatan atau wujud kesilapan waima satu huruf pun maka ia tergalas pada editor yang menukangnya.
Kegagalan melengkapkan tugasan atau memuatkan halaman juga adalah di pundak editor, hinggakan jika tidak ada sesiapa maka editor sendiri harus siap siaga ‘turun padang’ asal saja tak cacat di mata ‘mereka’.
Biar bersengkang mata tanpa melihat masa, itu bukan alasan kerana apa-apa pun kesalahan malah kelewatan terbitan adalah bermakna kegagalan editor. Pada buku dan artikel pula hanya nama penulis tertera, malah jika ada pun khalayak akan lebih tertumpu pada penulis. Lebih dari itu, sekiranya dapat pujian maka orang atasan pula yang akan mendapat laba sedang editor begitu sahaja. Memang lumrah dalam mana-mana penerbitan dan penyiaran... tak apa. Itulah minda editor yang acapkali diletak di tepi tatkala penulis mencipta nama sedangkan kegagalan pula tentunya nama editor terkait sama....
Editor adalah insan tak dikenali, duduknya diam bersendiri, menyepi mengulit abjad atau angka di mata, namun sesekali lontarnya ‘berapi’. Pujian dan penghargaan bukan idaman para editor kerana kecintaan pada ilmu dan betulkan kesilapan berteras fakta yang benar adalah satu kewajaran.
Sungguh, editor tak gemar dongak ke langit mencari erti sebuah perjuangan untuk mencipta nama, kerana di langit cuma akan terlihat awan berarak tanpa kekal. Jika ada pun pelangi, wujudnya tak pernah lama yang semuanya ibarat sandiwara penuh warna.
Editor ini insan menunduk melihat bumi menekuni pekerti tanpa suara tapi minda sentiasa cakna.
Tundukkan kepala ibarat melihat tabahnya Sang Semut yang tidak pernah henti meneruskan hidup dalam kerukunan perjuangan masyarakatnya. Sang Semut berprinsip dengan tetap bersama tak mundur walau berdepan hentakan kaki manusia atau ketawa canda Sang Penguasa.
Sebenarnya, editor bukan siapa-siapa... dia insan tanpa wajah tak bernama selain hamba yang bertawakal kepada Allah. Wallahuahlam.
No comments:
Post a Comment