COVID-19 masih menyelubungi dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana lagi yang kali ini nampaknya lebih parah dari tahun lalu. Jika tahun lalu masih lagi boleh rentas derah namun kali ini... jangankan nak balik kampung Mr Hubby di Utara, nak balik ke Gombak pun tak lepas. Benar, terasa amat sayu rasa hati tapi sebagai ibu aku enggan tenggelam dalam kesyaduan melarut lantaran aku memiliki anak-anak yang masih perlu dicanai. Inilah Aidilfitri mereka yang bakal dirai sebaiknya untuk dijadikan memori di kala usia dewasa kelak.
Untuk kuih hari raya, langsung aku tak buat apa-apa sebagaimana kebiasaan. Mr Hubby ada memesan beberapa kerepek dari kawannya, ada juga aku beli dari beberapa rakan pejabat sebagai tanda sokongan kepada mereka yang menjual. Untuk masak, aku beli rendang Tok dari Atikah untuk makan dengan lemang, kak Hamda ada buat serunding kelapa dan aku hanya memasak nasi minyak serta ayam masak merah. Berapa banyak pun makanan anak-anak tetap kan mencari nasi.
Kali ini Ikwan, anak buah Mr Hubby berhari raya bersama kami lantaran tak dapat balik ke kampung. Alhamdulillah, bertambahlah seorang keluarga kami. Pagi Aidilfitri, pukul 8.00 aku dah siap masak makanan raya, kami bersiap di ruang depan, bertakbir dan bersembahyang Aidilfitri dalam keluarga kami sendiri. Sayu dalam syukur yang sentiasa dipanjatkan pada Ilahi. Allahuakhbar, betapa besar kurnia-Mu sedangkan kami yang kerdil sentiasa alpa menikmati selaut nikmat dalam mendepani sekelumit dugaan.
Kami bersalaman, makan bersama dan sesi bergambar. Masih bersulam ceria dikelilingi keluarga dengan kasih sayang tanpa diluah. Hikmah berhari raya di rumah sendiri, dengan jiran tetangga saling bertukar juadah walaupun kami tak bersua wajah. Hanya anak-anak menjadi pengutus saudara. Berjiran dengan pelbagai kaum namun kebaikan mereka juga amat menyenangkan... ada India dan Cina yang saling mesra berbalas pemberian dan mereka pula amat menghormati budaya serta makanan kami sendiri. Alhamdulillah. Bukankah itu juga nikmat yang amat perlu disyukuri?
Benar, COVID-19 adalah satu cabaran tapi itu bukan alasan untuk tidak meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.
Buat keluarga dan sanak saudara semua, tak apalah kita tak dapat bersua atau berhari raya bersama namun kita saling menghargai dan saling mendoakan kesihatan serta kesejahteraan satu sama lain. InsyaAllah, kelak apabila keadaan pulih kita akan kembali berpegang tangan dan saling berpelukan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.
2 comments:
Selamat Hari Raya. Tahun ni istimewa buat memori yang mendatang.
dalam hati hanya Allah yang tahu... anak2 nak dgn ibu bapa... kita nk berkumpul dlm keluarga besar... moga ada ruang nanti...
Post a Comment