Indahnya ikatan perkahwinan diraikan dalam satu keluarga majlis kenduri kendara setelah banyak acara sedemikian tertangguh lantaran penularan COVID-19. Alhamdulillah, majlis perkahwinan anak kak Shida & abang Wan lancar walaupun dalam keadaan yang terhad berikutan situasi semasa dan mematuhi SOP serta syarat dari kerajaan.
Siapa kak Shida dan abang Wan... bagi diriku & Mr Hubby mereka sudah seperti saudara sendiri walaupun antara kami tidak ada sebarang pertalian saudara selain ikatan sesama Islam dan kak Shida adalah orang atasanku di pejabat. Kak Shida geng gegirls, kira kakak sulung antara kami yang sudah belasan tahun kami kenali dengan anak-anak kami sendiri sudah sama-sama akrab. Banyak mereka bantu kami sekeluarga, moga Allah SWT saja yang membalasnya.
Pilihan hati Erin, Hafiz orang Johor, abang frontliner berbaju hijau yang berpengkalan di Sabah. Cukup gentleman dijadikan menantu malah kalau ikut kata Amira 'limited edition' dah....
Majlis resepsi pula diadakan di Bizmilla Insya Hall, Kuala Lumpur pada 4 April. Alhamdulillah, walaupun majlis berlangsung dalam suasana PKPB dengan para tetamu perlu terus mematuhi SOP tetapi syukur kerana semuanya berjalan lancar.
Bagi keluarga gegirls, maka inilah ruang dan peluang kami untuk bersama apatah lagi Erin ini bagai anak sendiri yang kami lihat dan tahu perkembangannya dari dia kecil. Sekarang setelah tamat diploma terus hatinya dilamar Hafiz. Indahnya percaturan Ilahi.
Kami juga antara yang ringan tangan untuk membantu apa-apa yang boleh pada kak Shida. Memanglah, anak nak kahwin kan, apatah lagi kenduri sulung antara kami sedangkan anak-anak kami sendiri masih kecil-kecil.
Malam sebelum pernikahan, Aku bersama Amira ke rumah kak Shida, kira macam malam merewang la kan. Kami membuat bunga telur dan membantu mana yang patut. Adik-beradik kak Shida pun cuma bertiga sementara abang Wan pula cuma dua beradik... Tak banyak pun kerja-kerja yang nak disudahkan. Tolong-tolong sikit-sikit dan memeriahkan suasana saja.
Lebih utama adalah majlis di Bizmilla Insya Hall. Kami semua berbaju biru gelap yang memang telah disiapkan. Masing-masing mengambil peranan dengan hadir awal sebelum majlis bermula. Anak-anak dara menjadi penjaga meja goodies, mak-mak dan golongan bapa menjadi penyambut tetamu sementara aku sendiri cuma duduk tepi... hehehe...Sungguh, seronok dapat membantu dan berkenduri ibarat majlis sendiri malah sehingga ke majlis berakhir kami membantu juga mengemaskan pelbagai barangan yang ada. Mak dan bapa pengantin sendiri tentunya letih tapi yang pasti mereka cukup gembira kerana dapat melaksanakan majlis perkahwinan dengan lancar walaupun dengan pematuhan SOP.
Buat Erin & Hafiz... selamat pengantin baru dan semoga berbahagia sehingga ke jannah. Lancarnya laluan perhubungan kalian dan moga selancar itu jugalah perjalanan bahtera rumahtangga dengan iringan keredhaan Ilahi. Tahniah kak Shida & abang Wan dapat menantu... tahniah family 69 dapat keluarga baru juga... Alhamdulillah!
No comments:
Post a Comment