Wednesday, 7 April 2021

Terbanglah Amira... Kibarkan sayapmu


Melepaskan anak untuk berjauhan dari sisi tanpa mata dapat lagi menatap saban hari bukanlah sesuatu yang mudah, tapi beratnya hati akan lebih membebankan jiwa anakanda. Mama akur, sebagai ibu mama perlu sentiasa berlapang dada agar perjalanan harian anakanda juga dipermudahkan Ilahi sebagaimana lapangnya jiwa mama.... Hati yang berat tentunya akan membebankan tugasan seorang anak kerana ikatan jiwa anak dan ibu tak akan mampu dipisahkan biarpun jauhnya ratusan kilometer. 

Ya... demi masa hadapan yang lebih baik, mama lepaskan dalam redha dengan iringan doa agar cemerlang hidupmu kelak. Menuntut ilmu adalah satu jihad yang amat besar, maka mama lepaskan anakanda dalam restu tulus kasih untuk membina laluan demi agama, bangsa dan negara. 

Alhamdulillah... persetujuan Amira untuk tinggal di asrama juga adalah sesuatu yang melegakan kerana aku tahu bahawa sejak dari sekolah rendah dia memang enggan kemana-mana. Keputusan UPSRnya juga amat baik tetapi aku juga tidak bersungguh memujuknya lantaran ketika itu aku sendiri tak tega berjauhan. Namun masa berlalu mematangkan fikiran, dan Amira juga tahu ia adalah satu kelebihan biarpun permohonan dibuat tanpa pengetahuannya. 

Barangkali juga Amira resah dengan rheumatic yang dihidapinya hinggakan saban bulan perlu melakukan suntikan lantas jika di asrama bagaimana caranya. Sungguh, itu semua akan kami sebagai ibu bapa telah fikirkan dan kami akan lakukan segala yang terbaik untuk anak-anak. MRSM adalah satu peluang, satu perjalanan yang lebih mencabar dan satu kelangsungan hidup untuk maju kehadapan dengan berdikari bersama teman-teman. 

Terbanglah anakanda...

lebarkanlah sayapmu, kuakkan dada teruslah mara ke hadapan

dari dirimu dalam kandungan hinggalah wujud dalam dakapan

tidak pernah lelah mama abah panjatkan kesyukuran

lepaslah terbang tinggi ke udara

sapalah bayu gegunung menghembus lembut

rasailah getir panas bahang sang mentari

lihatlah saujana luas alam memukau

warna warni alam pastinya akan menyatu melakari hidupmu

sesekali jika sang ribut dan badai melanda

segeralah cari tempat berteduh

bijaklah berpijak di dahan kukuh

jangan sesekali meniti di ranting rapuh

 

kelak pabila cerah menjelma semula

hiasilah angkasa dengan sayapmu

pasti jua kau akan temui pelangi indah

namun jangan pula alpa kerana pelangi hiasan sementara

 

Terbanglah… sayapmu telah terbuka

lihatlah dunia dari mata burung

jangan jadi katak bawah tempurung

dalam keremajaan, keyakinan juga kami iringkan

paksikan dalam diri, pasakkan dalam hati

utamakan Allah Rabbul Izzati dalam semua segi

ajaran mama abah jadikan bekal setiap hari  

doa kami untukmu kekal abadi.






No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers