Aku 'turun padang' lagi... tentunya bagi insan yang bergelumang dengan dunia kewartawanan 'turun padang' adalah sesuatu yang amat bermakna. Duduk di pejabat dan mendepani komputer sepenuh masa dengan menulis atau menyunting berita bukanlah tidak menarik, tapi 'turun padang' itu memberi satu kepuasan pada mana-mana individu yang bertugas dalam dunia penerbitan.
Kali ini tempoh 'turun padang' aku agak lama... tiga minggu iaitu satu waktu yang sudah lama aku tak lakukan, meninggalkan keluarga dan anak-anak untuk ruang masa yang panjang sudah lama tidak aku laksanakan. Kali terakhir rasanya sekitar enam atau tujuh tahun lalu. Perasaan... tentunya teruja namun ada juga rasa risau... barangkali keadaan sudah tidak sama ditambah pula dengan 'team' yang aku jarang sertai. Apapun... sebagai wartawan sikap profesional adalah kemestian. Hal-hal peribadi menjadi agenda kedua kerana yang pertama adalah tugasan mesti selesai.
Memang... jangan pernah mengeluh pada mana-mana individu yang memilih kewartawanan sebagai kerjaya kerana tugas ini tidak pernah ada noktahnya biarpun sudah selesai pekerjaan atau sudah tamat waktu bertugas sekalipun.
Apa yang paling penting adalah bersedia sebelum turun ke lapangan. Info tentang keadaan lapangan, isu-isu penting yang berkait, senarai individu yang boleh dijadikan subjek pemberitaan dan ruang lingkup kawasan terbabit.
Aku yang bergelumang dalam bidang politik tentunya keseriusan dalam pemberitaan akan memberi kesan yang sangat besar, apatah lagi dalam sistem politik yang mengamalkan demokrasi iaitu media memainkan peranan menyalurkan maklumat. Bezanya aliran idealogi menjadi pegangan dan dunia kewartawanan pula terlalu banyak hal, ada isu dan perkara yang tidak boleh disampaikan kepada umum atas pelbagai sebab tertentu dan paling logik adalah faktor keselamatan, perpaduan dan kehormatan.
Biarpun ada juga sumber pemberitaan yang bersedia menceritakan kejadian sebenar untuk khalayak mengetahui dan memahami perkara yang berlaku namun kematangan khalayak itu sendiri perlulah difahami oleh penulisnya. Dalam hal ini, terpulang kepada pengamal media untuk memikirkan cara yang paling sesuai dalam menulis berita dengan mengambil kira pelbagai akibatnya.
Hal ini demikian kerana, seseorang wartawan atau pengamal media yang berpengalaman dan berintegriti akan tahu menjaga kepercayaan sumbernya dalam mengumpulkan bahan pemberitaan. Perkara ini menjadi prioriti wartawan yang berkredibiliti hampir di seluruh dunia.... juga pada aku sendiri. Aku membina minda masyarakat, memberi kefahaman kepada rakyat, menyuburkan ideologi perjuangan namun semuanya mestilah berlandaskan etika.
Amalan etika ini telah diaplikasi dalam segenap ruang namun hal berkaitannya masih dianggap subjektif dan tidak selaras antara sesebuah negara atau sesebuah kerajaan yang ada. Apa yang pasti etika itu adalah prinsip nilai moral dan aku berpegang teguh bukan hanya kerana aku wartawan tapi juga kerana aku Islam.
Memberi laporan kepada khalayak juga menyerap nilai kemanusiaan dalam diri, mengajar erti insani dan keinsafan dalam tauladan sebuah perjalanan. Kisah duka masyarakat menjemput lara nurani dan nilai tanggungjawab atas hasil tulisan bukanlah kerana penghargaan tetapi ia adalah sebuah kehidupan.
Dunia kewartawanan di Malaysia, pengamal terikat kepada beberapa etika dan garsi panduan namun pematuhannya terlalu subjektif dan masih banyak kelompongan yang boleh dijadikan perbincangan. Ada beberapa kod etika atau akta dan perundangan yang ditentukan oleh kerajaan tetapi dari segi pelaksanaan pun masih ada juga yang menjadi persoalan. Apapun kebanyakan penulis atau pelajar kewartawan di negara ini mempelarai berkaitan Etika Kewartawanan Malaysia yang dibincang, dihalusi dan disepakati pada 20 Mei 1989 dengan diisytiharkan oleh Tokoh Kewartawanan Negara pertama, Tan Sri A. Samad Ismail dengan daya usaha Insititut Akhbar Malaysia. Namun dari segi pematuhannya ada banyak keraguan tetapi ia masih boleh dijadikan pegangan:
Prinsip-prinsip utama dalam Etika Kewartawanan Malaysia ialah:
a. Tugas
utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai
untuk mendapat maklumat yang benar;
b. Dalam
melaksanakan tugas ini dia menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita
secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritik yang saksama;
c. Wartawan
hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita, gambar/filem
dan dokumen;
d. Sebarang
maklumat tersiar yang didapati tidak benar hendaklah dibetulkan;
e. Wartawan
hendaklah menghormati kerahsiaan sumber berita;
f. Wartawan
hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelakkan diri
daripada plagiarisme dan hasutan, tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa
bentuk sekalipun;
g. Wartawan
hendaklah menghindari siaran berita rencana yang bersifat perkauman, melampau
dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia;
h. Wartawan
hendaklah memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara
langsung dengan profesion mereka.
No comments:
Post a Comment