Ramadan dalam tempoh PKP kerana COVID-19. Satu kelainan dalam keluarga yang terperap di rumah setiap masa sedangkan tahun-tahun yang lalu tentunya Ramadan akan disambut dengan berkumpul bersama keluarga besar, berterawih di surau beramai-ramai namun kali ini amat berbeza.
Bagi keluarga kami tentunya sama dengan keluarga yang lain, menyediakan stok makanan di rumah dan secara mental bersedia juga untuk meningkatkan diri dalam ibadah. Ya, kami berterawih, kali ini berimamkan Mr Hubby. Terawih di ruang rumah sendiri dengan anak-anak bersama, kemudiannya kami bertadarus sehinggalah habis satu juzuk setiap malam... ada masa-masa tertentu lebihkan dua-tiga halaman. Paling seronok tentunya masa moreh yang sebagaimana meriahnya waktu berbuka puasa.
Rutin harian adalah sama, bezanya menu berbuka puasa yang perlu bertukar-tukar.... Sungguh, Ramadan kali ini mengajar diri melaksanakan sepenuhnya bersama keluarga, ibadah dari awal sahur hinggalah ke larut malam, makanan semuanya hasil air tangan sendiri dengan Mr Hubby juga gemar meringankan tulang di dapur.
Masuk pertengahan Ramadan, ahli keluarga kami bertambah dengan kehadiran Ikwan anak buah Mr Hubby yang terperangkap di KL akibat pelaksanaan PKP. Dari belajar di Terengganu, berkunjung ke KL terus terperangkap tak boleh kemana-mana, nak balik Kedah pun tak lepas. Seminggu Ikhwan bersama kami dan kemudiannya Angah datang menjemput. Angah yang sudah berkeluarga dari Johor nak balik Kedah, dapat pelepasan pulang maka singgah di KL menjemput Ikhwan.
Minggu terakhir Ramadan, PKP bersyarat mula membenarkan kenderaan persendirian membawa maksimum empat penumpang, dengan syarat mestilah daripada keluarga yang sama. Lantaran itu kami ke Gombak dengan dua kenderaan untuk berbuka puasa beramai-ramai. Sememangnya inilah kali pertama aku berjauhan dengan keluarga Gombak dalam tempoh yang lama sedangkan sebelum ini paling tidak pun hanya sekitar dua minggu.
Alhamdulillah, kami dapat berbuka puasa bersama-sama, anak-anak lagilah suka... tak dapat digambarkan keterujaan mereka untuk bersua melepas rindu setelah sejak Mac lagi tidak bertemu. Kebetulannya, kami disertai Syafik yang bersama-sama. Syukur, dapat kami berbuka, solat berjemaah termasuk terawih dan kemudiannya moreh dalam keluarga besar.
No comments:
Post a Comment