Thursday, 26 March 2020
PKP.... Normal Baharu, Suatu Hikmah Tersembunyi
COVID-19 membawa suasana baru dalam kehidupan manusia, bukan hanya di Malaysia tetapi juga seluruh dunia. MasyaAllah... hanya Allah yang tahu apa-apa yang tersembunyi hinggakan segalanya berubah 360 darjah... sekelip mata semua manusia perlu patuh untuk tetap berada di rumah, penularan virus COVID-19 bukan satu mainan.
Kerajaan telah mengambil tindakan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula 18 - 31 Mac. Kebetulan tarikh ini cuti sesi persekolahan, dan pada tarikh inilah kami merancang untuk pulang ke Utara. Dah lama benar kami tak balik menziarahi sanak-saudara di Kedah, aku sendiri kali terakhir adalah pada Aidilfitri tahun lalu sementara Mr Hubby ketika Bang Ad pulang dari mengerjakan haji.
Tiga buah beg besar sudah sedia terkemas, hanya menunggu untuk memasuki bonet kereta, dengan perancangan akan bertolak seusai solat subuh 19 Mac. Aku sendiri sudah memohon cuti bekerja selama seminggu... anak-anak juga amat teruja untuk balik ke kampung setelah sekian lama di Ibu Kota. Namun begitu, Mr Hubby menukar fikiran apabila kerajaan mengumumkan tempoh PKP bermula malam 18 Mac. Katanya, tak perlulah balik kampung, kita duduk di rumah saja sebab kita tak tahu masa akan datang. Kami akur... di wajah anak-anak tergambar riak kecewa namun keselamatan perlu diutamakan.
Sudahnya, bajet untuk balik kampung kami gunakan untuk memenuhkan barang-barang keperluan dapur memandangkan memang stok makanan tiada... kan kononnya balik kampung seminggu.... Lebih dari itu, semua kedai-kedai dan pasaraya berduyun-duyun orang membeli barang. Terkejut juga, tapi mujur kami memilih pasar borong yang ketika itu tak la diserbu sebagaimana supermarket.
Perubahan besar berlaku. 24 jam masa adalah di rumah sepenuhnya. Lengkap satu keluarga... maka tentunya penyesuaian perlu dilakukan. Mula-mula memang anak-anak seronok tak bersekolah tapi lama-lama mereka juga mahukan bertemu dengan kawan-kawan.
Jadual kami sekeluarga juga berubah, masa makan tentunya lengkap bersama termasuklah masa-masa solat. Ada ruang mengaji antara anak-anak yang ditangani sendiri oleh Mr Hubby, satu pembaharuan dari kebiasaan kerana sebelum ini kesibukan dalam urusan kerja membataskan ruang yang ada.
Untuk aku sendiri, ruang dapur sepenuhnya aku kuasai... cewahhh, menu macam-macam siap ada hidangan munum petang dan makan-makan waktu santai. Bahagian ni anak-anak memang suka, macam-macam pula permintaan mereka, sudahlah selera anak-anak dan Mr Hubby selalu saja bertentangan. Tekak Melayu dan tekak orang putih, tekak kampung dan tekak orang bandar... layankan sajalah.
Sememangnya, PKP ini mengeratkan hubungan kekeluargaan... memenuhi setiap ruang yang ada bersama anak-anak sepenuhnya, dari celik mata hinggalah mereka lena semuanya diawasi.... Sungguh, terasa murninya diri dapat melayani keperluan keluarga dengan tangan sendiri, walaupun ternyata perwatakan dalam melayan anak-anak yang berbeza usia adalah berbeza tetapi ia juga adalah sesuatu terapi untuk diri sendiri. Betapa selama ini diri seharian tertumpu pada tugasan di pejabat yang adakalanya terbawa-bawa hingga ke rumah dan anak-anak sekadarnya dalam baki masa yang tersisa antara keletihan dan waktu senggang yang ada. Betapa... bertuahnya diri dalam keadaan PKP terkurung di rumah bersama keluarga sedangkan aku tahu ada juga insan lain yang terpisah.
Mujur juga, soal kerjaya tidak terjejas dengan tugasan boleh dilaksana secara bergilir di rumah dan soal gajiku tidak terjejas. Bagaimana dengan mereka yang bekerja sendiri, terperangkap dalam kemelut kewangan dan ekonomi yang amat rumit... sungguh aku bersimpati dan semoga Allah permudahkan semua urusan kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment