Memang Sajat bukanlah sesuatu yang asing, namanya cukup dikenali bukan saja di negara ini malah merentasi sempadan tanah air... Singapura, Brunai dan Indonesia. Sajat melangkau dunia peragaan, ahli perniagaan berasaskan kosmetik yang sangat dikenali dan berkecimpung pula dalam penjualan emas ... malah juga artis bergelar penyanyi dengan memiliki single lagu sendiri selain duet dengan sahabat baiknya yang juga jutawan kosmetik Datuk Aliff Syukri. Kontroversi bukanlah sesuatu yang asing dengan Sajat kerana sebelum ini juga banyak hal-halnya yang menimbulkan kontroversi telah melingkari kehidupannya.
Tentunya masyarakat bukanlah mempersoalkan Sajat berumrah kerana sebagai insan beragama Islam pastinya cita-cita menunaikan umrah akan ada dalam diri. Namun begitu, persoalan yang ditimbulkan adalah tatacara pemakaian Sajat yang dianggap 'tidak kena'. Kalau lelaki maka berpakaianlah lelaki dan sebaliknya kerana impaknya bukan hanya kepada Sajat, ia membabitkan soal imej negara dalam pematuhan kepada peraturan yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi, malah kebarangkalian untuk dikenakan sekatan atau kesukaran terhadap Jemaah Malaysia lantaran pelanggaran yang dibuat amat dibimbangi.
Lebih teruk lagi apabila isu tersebut mendapat perhatian antarabangsa yang boleh memberikan kesan buruk juga kepada agama Islam. Dilaporkan seorang Sarjana Turki juga telah memberi maklum balas berkaitan isu Sajat ini. Katanya yang datang dari negara berlandaskan Syiah, umat Islam perlu menerima transgender sebagai sebahagian daripada ummah. Kerana itu beliau telah mengambil analogi dengan situasi di Turki yang memberi hak kepada transgender untuk memilih identiti mereka sendiri malah pembedahan pertukaran jantina juga sah di sisi undang-undang dan digalakkan (di sini). Dengan ini tentulah ia bertentangan dengan pegangan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berlandaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Belum lagi soal hukum-hakam yang telah disebutkan oleh pelbagai alim ulama. Bukan hanya PU, para ustaz dan alim ulama yang memberi pencerahan, tetapi mufti-mufti turut memberi penjelasan termasuklah Menteri Agama sendiri.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata perbuatan golongan transgender menunaikan umrah secara tidak mengikut jantina asal mereka adalah haram dan dikira berdosa malah biarpun memenuhi rukun namun perlu membayar dam kerana melanggar wajib umrah.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad pula berkata biarpun umrah yang dilakukan Sajat dianggap sah jika mencukup syarat namun ia telah melanggar tiga perkara asas iaitu tidak patuh dan taat kepada Allah, tidak taat kepada peraturan yang ditetapkan dan tidak mengikut fitrah sebenar.
Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa juga melahirkan rasa kesal dengan isu ini dan mendakwa bahawa tindakan Sajat ini mencemarkan imej Islam kerana secara biologinya Sajat ialah Muhammad Sajjad Kamaruzzaman sebagaimana tertera dalam kad pengenalannya.
Dilaporkan juga bahawa Sajat tidak pernah memaklumkan kepada agensi pengurusan umrahnya iaitu Albayt Travel (M) sebagai seorang khunsa kerana mengaku sebagai lelaki ketika mendaftar mengerjakan umrah. Namun begitu apabila tiba di tanah suci Mekah Sajat memberitahu kepada Mutawif di sana bahawa dia adalah khunsa.
Ya, isu berkaitan transgender bukan perkara mainan. Sajat pernah mengakui bahawa dia adalah seorang khunsa namun pengesahannya masih samar. Persoalan berkaitan dengan jantinanya sudah seringkali diangkat menjadi tajuk-tajuk perbualan. Pernah juga menjadi isu hangat dengan penelitian daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam sendiri yang melibatkan ibu dan bapanya. Ini kerana isu berkenaan telah menjadi kepentingan sejagat yang perlu dijaga demi kemaslahatan Islam.
Lebih dari itu, jika benar Sajat sendiri tidak mempunyai niat lain selain ibadah kerana Allah SWT, maka apa perluanya dia memuat naik pelbagai foto dalam instagramnya dengan pakaian wanita bermula dari dalam penerbangan yang sudah bertudung, dan kemudian sepanjang berada di Tanah Suci. Sajat bukan saja memuat naik gambar-gambarnya di sana tetapi juga videonya menangis dengan mencium Kaabah. Bukanlah penampilan Sajat yang berubah dengan bertelekung seakan sengaja mengundang kontroversi sedangkan Sajat sendiri sedia maklum dengan keadaan dirinya.
Ada juga yang membuat perbandingan sebagaimana arwah Haji Abdul Jalil Salleh atau lebih dikenali dengan nama Mama Juwie yang ke Tanah Suci suatu waktu dulu. Syahril A.Kadir menulis berdasarkan pengalamannya sendiri bahawa:
Juwie ni masa hidupnya apa yang orang tak kata kat dia...bapoklah, pondanlah etc. Dia redha je sebab dia dia mengaku dia memang seorang khunsa (ada dua alat kelamin).
Namun, Juwie yang kuat beribadat ni kalau pergi ke Makkah, dia tetap berusaha kelihatan seperti lelaki walaupun kita semua tahu perwatakannya seolah-olah dia lebih kepada seorang wanita.
Takde pulak dia terhegeh-hegeh nak bertelekung bagai depan Kaabah!
Ada pula yang mula memuat naik kisah-kisah lama Sajat termasuk keadaannya sebelum ini sebagaimana yang didedahkan oleh Azmah Mohammed melalui Facebooknya. Katanya Sajat memang seorang lelaki dan dia adalah antara insan yang sangat rapat dengan Sajat sebelum berjaya menjadi usahawan sebagaimana hari ini.
Dan hari ini... sekembaliya Sajat dari menunaikan umrah dia telah tampil memohon maaf dari seluruh rakyat Malaysia. Untuk apa? Dengan imej bertudung hitam dan linangan airmata Sajat memohon maaf pada semua atas kontroversi yang berlaku sepanjang dia melakukan umrah.
Sesungguhnya hanya Allah SWT yang maha mengetahui akan kebenaran dan kebatilan. Sikap ambil berat yang dilahirkan oleh masyarakat Islam berkaitan isu Sajat ini bukanlah berkenaan diri Sajat semata-mata namun tindakan dan tingkah yang secara nyata bertentangan dengan fitrah sebenar yang dibuat secara terbuka tanpa ada yang mencegahnya dibimbangi akan memberi mudarat kepada seluruh masyarakat di negara ini. Lebih dari itu laknat Allah SWT amat ditakuti... Wallahuahlam!
No comments:
Post a Comment