Ya, Ameer perlu pemeriksaan mata. Aku tegaskan pada diri sendiri walaupun aku tahu memang Ameer teringin nak pakai cermin mata, namun apabila aduannya hampir saban hari pasti ada yang tak kena. Tak boleh sambil lewa, jadi perlu buat pemeriksaan segera.
Aku bawa Ameer ke sebuah kedai cermin mata di PUJ 3, pemeriksaan biasa memberi jawapan memang ada silau... boleh buat cermin mata... Itu saja. Aku pun tak bertanya detail dan aku keluar dengan melayan fikiran untuk Ameer. Aku singgah di beberapa kedai lain membeli barang keperluan dan akhir sekali aku melalui Masdi Hazli Optometrist yang juga di PUJ 3. Singgahlah, tak salah untuk dapatkan pendapat kedua.
Masuk saja ke dalam kedai, suasana berbeza dengan kedai cermin mata yang aku pergi tadi. Kali ini aku disambut ramah seolah-olah macam dah kenal lama pula. Ada sofa untuk menunggu dan ada ruangan kecil untuk anak-anak bermain. Walaupun pelanggan ramai tapi aku tak perlu menunggu lama untuk dilayan.
Pemeriksaan biasa untuk Ameer, dan jawapannya pun sama memang silau Ameer tinggi dan disarankan untuk bercermin mata. Lagi-lagi apabila Ameer sendiri selalu mengadu tentang penglihatannya yang tak jelas melihat ke depan waktu dalam kelas. Aku menerima saranan untuk pemeriksaan lebih rapi terhadap Ameer.
Di dalam bilik, pemeriksaan mata kepada Ameer dibuat lebih teliti. Optometris muda, Naufal namanya yang lakukan pemeriksaan. Ujian melihat abjad di dinding dibuat dan nyata memang dia bermasalah walaupun jaraknya tidaklah terlalu jauh. Huruf S bertukar jadi 8 sedang abjad C menjadi D. Memang serius gayanya. Itu pandangan dari mata kasarku sendiri.
Selesai ujian, Naufal memberikan penerangan. Bukan hanya silau yang tinggi hingga mengakibatkan penglihatan kabur untuk pandangan jauh tetapi ada yang lain lagi. Katanya bola mata Ameer tak selari ngan mata kanan, agak lambat dari segi fokus berbanding mata kanan. Otot atau saraf yang menyokong bola mata Ameer agak lemah yang akan menyebabkan Ameer cepat penat.
Katanya, ketika bola besi kecil dilalukan di depan mata Ameer, bola mata kirinya lambat bergerak berbanding dengan bola mata kanan.Tahap penilaian daripada 4, Ameer dapat 1. Kesannya, jika membaca atau menulis dalam tempoh tertentu, matanya akan cepat letih yang akan mengalihkan fokusnya, malah untuk mata kiri mengalihkan pandangan dari satu objek ke satu objek yang lain juga mengambil tempoh beberapa saat lebih lama berbanding mata kanannya.
Terus aku terdetik, inilah jawapan yang aku cari-cari selama ini. Sudah dua tahun sebenarnya aku mencari jawapan kepada persoalan kenapa keputusan peperiksaan Ameer terlalu teruk, bukan keputusan peperiksaan saja tapi pembelajaran, selalu sangat tak siap apa-apa kerja sekolah, malah untuk hal-hal mudah di rumah pun jadi remeh bagi Ameer. Memang tak pernah fokus apatah lagi terhadap pembelajaran. Sebelum aku pernah lakukan beberapa ujian menilai tahap kesihatannya, juga ditanyakan kepada pakar kanak-kanak yang juga kenalanku selain memantau rapi cara pembelajaran tetapi semuanya menemukan jawapan yang negatif. Rupanya kegagalan Ameer untuk fokus adalah dari faktor penglihatannya yang tidak selari, saraf yang lemah dan cepat letih.
Soalku, apa puncanya memandangkan dari segi usia Ameer masih muda dan dia sendiri tak pernah berdepan apa-apa masalah kesihatan, juga bukan yang ada genetik bercermin mata.
Jawabnya, ada macam-macam kemungkinan, mungkin bukan secara tiba-tiba tetapi dalam jangka masa yang panjang, barangkali pernah jatuh waktu kecil-kecil dahulu... walaupun tidak berdarah atau tak mengakibatkan bengkak tetapi ia boleh mengganggu saraf dan otot sekitar mata.
Aduhai... ada terasa sedikit ralat atas kegagalan dalam memahami kelemahan seorang anak. Mama tak nampak masalah Ameer dari segi penglihatan. Inilah rupanya punca... namun syukur, akhirnya ada jawapan atas persoalan yang selama ini dicari-cari.
Bagaimana cara mengatasinya?
Ameer perlukan kanta khas yang secara tidak langsung akan membantu fokus matanya dan juga ada terapi untuk mengurangkan tahap penilaiannya yang rendah. Namun begitu kanta khas itu sangatlah mahal... tak mampu untuk masa terdekat apatah lagi awal tahundengan pelbagai bayaran baru saja dilunaskan selain ada beberapa baki yang masih tertunggak.
Pilihan kedua, Ameer menggunakan kanta biasa berdasarkan tahap penilaian bacaan yang dibuat tadi. Dalam tempoh tertentu, pemantauan dilakukan dengan melihat setakat mana kebolehupayaan Ameer sendiri. Harganya... dalam pakej ... tapi sebab kanta silau yang tinggi kena tambah sedikit, bincang-bincang minta kurang genaplah RM200.
Nak pilih bingkai... rasanya aku perlu bawa Amira yang lebih cerewet. Sudahnya kami tinggalkan dulu dan akan kembali pada sebelah petang.


Untuk cermin mata Ameer, ambil tempoh untuk siap... memandangkan cuti Tahun Baru Cina dah nak dekat, takut pula tak sempat, jadi akan dimaklumkan kemudian... kalau tak lepas raya Cina la jawabnya. Tiga hari kemudian dapat what-apps cermin mata Ameer dah siap. Detail juga penerangan dari Faiz untuk penjagaan cermin mata kepada Ameer. Tak habis di situ, Masdi Hazli Optometris ada follow-up dengan kami, bertanyakan tentang keadaan Ameer dalam 'mata' baru.
Semoga yang baik-baik saja selepas ini dan Ameer akan dapat fokus dengan 'mata empat'.
No comments:
Post a Comment