Sunday, 31 July 2016

Raya Lagi... Eratkan Silaturrahim

Hari raya terus diraikan. Syawal sebulan maka ruang yang ada dimanfaatkan untuk bersama-sama mengeratkan jalinan silaturrahim. Indahnya jalinan yang dibuat apabila yang jauh dapat didekatkan, yang dekat terus diraikan dan kemesraan sedia berlanjutan.

Syawal ini, paling menyentuh hati apabila dapat bersua dengan anak-anak arwah abang Daili. Memang saban tahun mereka akan menziarahi bapak tetapi aku tidak pernah berkesempatan bersua dengan mereka. Tahun ini, bapak ada dirumahku jadi aku meraikan kehadiran mereka dengan penuh rasa ceria. Dengan Fizi aku pernah bersua dengannya tahun lalu ketika dia melawat bapak di hospital. Dengan Uun pun ada juga dalam lima enam tahun lalu rasanya, tetapi dengan Zura, barangkali telah lebih 10 tahun.

Friday, 29 July 2016

Aidilfitri Anak-anak di Sekolah

Ceria anak-anak menyambut Aidilfitri dalam jamuan yang diadakan di sekolah. Sekolah Kafa Al-Itqan mengadakan inisiatif untuk majlis yang meriah dengan juadah dibawa oleh anak-anak ini. Ammer bersekolah di sesi pagi manakala Amira di sesi petang. Kebersamaan yang akrab dengan anak-anak ini berbaju raya berwarna-warni dan kemudian membuat persembahan lagu-lagu hari raya. Amira yang semakin meningkat remaja sudah terbiasa untuk tampil secara sukarela dan kemudiannya bernyanyi bersama kawan-kawannya. Bagi Ameer, dia masih anak kecil yang perlukan banyak bimbingan dan masih mengikut sahaja. 

Monday, 18 July 2016

Ke Hospital Untuk Rheumatic Fever Lagi

Rawatan susulan untuk Amira ke hospital berkaitan penyakitnya. Sejak dia disahkan mendapat rheumatic fever sekitar lebih 29 bulan yang lalu memang ada banyak perbezaan. Barangkali orang luar tidak perasan lantaran rutin harian yang masih tetap sama namun keutamaan kami terhadap kesihatan menjadi perhatian. Jika lebih dua tahun lalu Amira masih kanak-kanak, namun kini dia semakin besar malah melihat kepada tingkah, fizikal dan pemikirannya, Amira sudah memasuki usia remaja. Matang dan rasional. Namun untuk rawatan di hospital, dia masih lagi di bawah seliaan pediatrik lantaran usianya yang baru 11 tahun.

Sunday, 10 July 2016

Aidilfitri di Kedah 2016

Rutin biasa sejak hidup berpasangan, malam hari raya pertama balik ke Kedah. Kebiasaannya kami berkumpul pada Hari Raya kedua. Kami berkonvoi beramai-ramai bersama-sama keluarga kak Jah, keluarga kak Chik, keluarga bang Leh dan keluarga bang Ad. Bermula dengan rumah kak Pah, terus berkampung di rumah kak Mah di Air Hitam, kemudian kami makan tengahari di Tunjang, rumah Chaq dan  menyambung perjalanan ke Kuala Nerang rumah Mat dan melawat baby yang baru berusia sekitar 17 hari. Pah melahirkan Nur Aiman Shazwani sewaktu Ramadan lalu. Tak habis di situ, kami ke Pendang, rumah abang Ad, maka lengkaplah untuk hari tersebut.

Wednesday, 6 July 2016

Warna-warni Aidilfitri 2016

Aidilfitri 2016, amat berbeza dengan sebelum-sebelumnya. Pertama kali untuk kami berhari raya di rumah sendiri. Sejak mendirikan rumahtangga dan tinggal berasingan maka inilah kali pertama sejak lebih 13 tahun berlalu. Lantaran bapak tinggal bersamaku maka rumah kami menjadi lokasi utama berkumpulnya semua adik-beradik dan sanak-saudara yang lain. Kelainannya amat dirasai, berkemas di rumah sendiri, membuat kuih raya, memasak di malam raya dan pagi raya yang ceria. Abang Hakim sekeluarga berhari raya di sini, juga disertai dengan Hosri dan Lia yang berhari-raya dengan kak Hamda. Meriahnya rumah kami, dengan tema baju raya merah hati.

Tuesday, 5 July 2016

Salam Aidilfitri 1437H / 2016

Salam Aidilfitri
Pengikat kasih  untuk terus bersemi
tanda kemenangan sebulan berpuasa disiang hari
betapa beruntungnya diri
mensyukuri nikmat yang dikurniai
dengan ketulusan budi dan kerendahan hati
marilah bersama kita terus menginsafi
atas kesejahteraan dan kebahagiaan hidup yang menyulami
semoga terus rukun harmoni hingga akhir nanti
Tangan dihulur menggamit mesra jari jemari
kemaafan dipohon dengan restu dari Ilahi
ampunkan zahir batin dengan mengakui kekhilafan sendiri
bersihkan jiwa hati nurani
Inilah Aidilfitri yang akan melengkapkan silaturrahim terus terpatri

Sunday, 3 July 2016

Buat Kuih Raya dan Nostalgia lalu...

Dah lama tak buat kuih raya. Pada zaman remaja tentunya ia adalah rutin apabila menjelangnya Aidilfitri. Begitu juga ketika alam kanak-kanak dahulu. Kini Amira amat teruja untuk membuat kuih raya. Permintaannya untuk buat kuih raya sendiri. Bolehkan mama... Mana mampu aku menolak permintaan anak apatah lagi ia sememangnya sesuatu yang aku juga rindui. Momen indah bersama-sama arwah mak pastinya bermain di mata. Betapa aku rindukan arwah pada setiap saat, lagi-lagi di penghujung Ramadan ini.

Saturday, 2 July 2016

Penghujung 30-an Usiaku

Hari lahirku. Sememangnya aku tidaklah terlalu mengingati hari tersebut sebagaimana di zaman remajaku. Apatah lagi aku sedang sibuk berkemas dan bersiap untuk hari raya yang bakal menjelang. Ada ucapan hari lahir dari yang tersayang... itu sudah memadai bagiku. Keutamaan lebih kepada anak-anak yang amat perlukan perhatian.

                            Selamat hari ulang tahun kelahiran. Semoga diberkati umur, 
                            dimurahkan rezeki dan dipelihara kebahagiaan di samping 
                            keluarga tersayang. Terima kasih kerana banyak membantu 
                            dalam kehidupan berumahtangga. Hanya Allah yang mampu
                            membalasnya. Salam sayang. I love you so much.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers