Kami sampai sekitar pukul 7.00 pagi. Masih awal. Pagar ke hutan rekreasi masih bertutup rapat. Ada pondok untuk kaunter bayaran disediakan. RM1 untuk setiap pengunjung. Memandangkan hari bekerja, tak ramai yang datang. Kami agak buntu nak memulakan dimana.
Sedang kami menunggu santai tanpa apa-apa perancangan seorang pelawat yang berjalan sendirian untuk memulakan pendakian menegur kami. Katanya, "tak yah tunggu kaunter buka, naik sahaja dan bayar kemudian apabila turun sebab kaunter buka pukul 8.00 pagi."
Kami masuk melalui lauan pejalan kaki. Kemudian dia mempelawa kami untuk off road di hutan rekreasi ini. Katanya, jika jalan naik ikut laluan bertar terus ke rumah api tapi jika nak yang adventure masuk hutanlah. Ibarat orang mengantuk disorong bantal... rezeki kami, dapat hiking di tempat baru.
Berjalan merentas hutan dan mendaki bukit dengan orang yang berpengalaman jauh berbeza dengan kami yang masih 'anak-anak'. Ibaratnya kami ada guide yang membawa ke laluan berbeza, keluar dari trek bertar masuk ke dalam hutan berdenai. Dia pula seorang anggota polis yang datang bercuti ke Port Dickson juga, maka waktu pagi diisi dengan riadah menjengah alam.
Kami mengikuti denai landai, sedikit mencabar, ada banyak akar-akar pokok, tunggul kayu dan laluan yang sedikit curam. Nak berpegang pun perlu berhati-hati kerana banyak pokok yang berduri. Laju langkah mengikut kaum Adam sedangkan di tanganku ada telefon yang memang aku sediakan bagi merakan persekitaran dan mengabadikan memori di depan mata.
Sekitar 20 minit perjalanan, kami tembus ke pesisir pantai yang airnya semakin surut. Jika air pasang, hanya tinggal gigi pantai yang menyentuh pepohon bakau di tepian. Bergambar seketika dan meneruskan perjalanan di pesisir pantai. Sampah sarap memenuhi, menyakitkan pandangan mata. Ada pelbagai botol minuman, bekas makanan, tin dan macam-macam lagi. Barangkali dihayutkan ombak dari kawasan perkelahan yang dibuang oleh pengunjung ke sini.
Kemudian, bermulalah laluan yang mencabar. Mendaki... tingginya bukit ini bertangga dengan akar-akar pokok menjadi laluan naik ke atas. Adalah kot dalam 100 meter mendaki, sayup pandangan ke bawah, terasa gayat melihat cerun curam yang telah dilalui. Untuk sampai ke puncak, ada laluan berbatu yang juga agak mencabar. Sempit, tinggi, licin dan berbatu-batu. Mujur disediakan tali bagi berpaut. Sampai juga ke puncak... indahnya melihat persekitaran. Meninjau suasana di sekeliling yang mengadap laut. Nafas dihela lega, kesegaran dimana-mana. Lelah dilepaskan. Duduk sebentar dibatuan menyapa pandangan ke hadapan. Betapa luasnya lautan yang hujungnya hanya diselimuti kekabus. Melihat kebelakang, menghijau rimba alam menyejukkan pandangan. Bergambar seketika dan kemudian turun melalui laluan berbeza.
Kami tidak melalui jalan yang sama. Kali ini jalannya banyak menurun bukit, tetapi ada juga mendaki, cuma tidaklah semencabar yang tadi. Terus tembus di kaki Rumah Api Tanjung Tuan. Kami berpisah di situ dengan abang polis yang ramah menyantuni kami sepanjang pendakian.
Rasa lelahku semakin memuncak. Tekak terasa loya. Berhenti seketika melepaskan angin yang bersesak di dada. Kemudian mendaki tangga rumah api yang pertama kali aku jejaki. Pengunjung tidak dibenarkan masuk ke dalamnya. Kami berkeliling rumah api ini. Di belakangnya pandangan ke lautan amat mendamaikan. Ada trek laluan untuk jalan ke pantai. Juga ada banyak binaan dan papan tanda berkaitan yang boleh menjadi pentunjuk dan memberi ilmu baharu kepada pengunjung.
No comments:
Post a Comment