Memang perawatan untuk sesi petang lebih lancar berbanding waktu pagi yang lebih ramai pesakit dari pelbagai peringkat usia melakukan pemeriksaan. Ambil nombor, duduk seketika untuk pendaftaran kemudian terus ke bahagian farmasi bagi mendapatkan ubat berbentuk serbuk di dalam botol kecil yang dinamakan benzathine penicillin. Seterusnya ke bilik prosedur, ubat dibancuh dan suntikan dibuat dengan segera kerana ubat tersebut akan beku jika lambat dicucuk. Dua kali sebelum ini Amira pernah terpaksa mengulang untuk dicucuk lantaran kegagalan petugas untuk bertindak pantas namun sekarang tidak lagi. Petugas yang ada pun telah maklum berkaitan perawatan Amira dan akur dengan sikap gadis ini yang begitu takut dengan suntikan.

Amira masih lagi mahu memeluk erat dalam berdepan suntikan di pembaringan namun kali ini bukan tubuhku sebaliknya pinggang Mr Hubby yang dirangkul kemas. Erat tangannya berpaut kejap menahan suntikan yang menyakitkan. Diakui sendiri oleh petugas dan juga doktor yang merawatnya kerana ubat tersebut memang amat sakit. Amira kuat, seraplah kekuatan tubuh abah dalam dirinya agar dapat terus tabah menempuh dugaan. Genggaman erat tangan Amira dan abah bersatu, enggan dilepas seakan ngalirkan rasa perit untuk dikongsi bersama. Betapa besarnya dugaan untuk gadis seusia ini bagi mengharungi kesakitan untuk satu suntikan setiap 28 hari tanpa gagal. Namun bagi aku dan Mr Hubby, antara kami tidak pernah mengeluh bagi merawat Amira, juga memastikan keselesaannya.
Sesungguhnya kebimbangan untuk penyakitnya berulang sebagaimana serangan yang berlaku Februari dua tahun lalu tetap ada. Untuk bulan ini sahaja, sudah dua kali Amira mengadu sakit. Sekali sakit di belikat belakangnya dan kali kedua di bahagian kakinya. Aku tenangkan Amira dengan perhatian diberikan kepadanya, barangkali dia banyak berjalan selepas berkunjung ke Pesta Buku bersama rombongan sekolahnya atau mungkin tersalah tidur. Aku picit-picit tempat yang sakit, sapu minyak angin dan gososk perlahan. Semoga kesakitan lalu tidak berulang kembali dan Allah SWT terus kurniakan kesejahteraan untuk anak-anakku dan keluargaku.
No comments:
Post a Comment