Sunday, 20 March 2016

Cuaca Panas di Kedah, Piknik di Pengkalan Tok Mas

Fenomena el nino yang melanda negara sememangnya amat dirasai. Kebetulan, cuti sekolah dan perancangan pulang ke Utara dilaksana. Kali pertama untuk baby Ammar merasai udara dan suasana di tanah kelahiran abahnya. Dalam keadaan Kedah dilanda panas yang menyengat, malah Alor Setar dilapor sebagai bandar terpanas dengan suhunya mencecah 39 darjah celsius. Berbahang suasana, di dalam dan di luar rumah terasa habanya. Seakan bermandi peluh berada di mana-mana. Barangkali kerana cuaca yang terlalu panas aku sendiri tidak tahan dan dilanda demam, selsema dan batuk. Biarpun aku sendiri banyak minum air kosong, masih berpantang dengan makanan sejuk dan tidak minum ais namun aku tewas juga. Mujur Ammar kuat, tidak meragam dan mudah benar menjaganya.

Hari kedua di kampung, kak Chik mengadakan kenduri arwah kak long. Semua adik-beradik berkampung di Sungai Petani, bergotong-royong bersama-sama untuk tahlil arwah kak Long. Semoga Allah menempatkan rohnya bersama-sama orang-orang yang beriman di sisi-Nya.


Syukur, demam aku tak melarat. Aku perlu rehat, makan ubat dan tidur secukupnya dengan botol air masak sentiasa di sisi. Ammar memang baby yang mudah dijaga, seakan memahami mamanya yang luluh lantaran keadaan cuaca yang amat terik.

Kemudiannya kami ke Kuala Nerang, ke rumah Mat. Kali ini bukan berkumpul di rumahnya sebaliknya terus berpiknik di tepi sungai belakang rumahnya. Cantik kawasannya, air sungai yang jernih menjadi perhatian oarng ramai untuk berkampung di pesisirannya. Makanan telah disediakan oleh Tok Timah dan Pah. Bersungguh mereka meraikan kami yang sememangnya rindukan suasana begini. Siap bawa buaian untuk Ammar tidur di bawah wakaf yang tersedia. Terima kasih Tok Timah, Mat dan Pah yang sentiasa mesra dan melayani kerenah kami anak-beranak. 


 

  




No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers