Tuesday, 29 March 2016

Ammar Tiga Bulan, Bam-bam

Masa berlalu, Ammar mencecah usia tiga bulan. Tubuhnya makin berisi. Wajahnya bulat dengan senyum sentiasa terukir di bibirnya. Pipi sudah ibarat gebu kuih pau. Sedap digomol dengan bauan bayi yang menenangkan. Memang Ammar anak yang baik. Mudah dijaga, tidak banyak ragam dan tidak mudah menangis. Alhamdulillah.

Sunday, 20 March 2016

Cuaca Panas di Kedah, Piknik di Pengkalan Tok Mas

Fenomena el nino yang melanda negara sememangnya amat dirasai. Kebetulan, cuti sekolah dan perancangan pulang ke Utara dilaksana. Kali pertama untuk baby Ammar merasai udara dan suasana di tanah kelahiran abahnya. Dalam keadaan Kedah dilanda panas yang menyengat, malah Alor Setar dilapor sebagai bandar terpanas dengan suhunya mencecah 39 darjah celsius. Berbahang suasana, di dalam dan di luar rumah terasa habanya. Seakan bermandi peluh berada di mana-mana. Barangkali kerana cuaca yang terlalu panas aku sendiri tidak tahan dan dilanda demam, selsema dan batuk. Biarpun aku sendiri banyak minum air kosong, masih berpantang dengan makanan sejuk dan tidak minum ais namun aku tewas juga. Mujur Ammar kuat, tidak meragam dan mudah benar menjaganya.

Monday, 14 March 2016

Bersama Geng Ke Cherating

Percutian keluarga bersama-sama kawan-kawan pejabat dirancang dalam masa yang singkat tetapi berlangsung dengan lancar. Semua pihak memainkan peranan dari awal perancangan dibuat. Dimana lokasi untuk bercuti, siapa uruskan penginapan, bila, berapa hari, apa makanannya, apa pengisian percutian, kosnya, bertolak pukul berapa, anak-anak macam mana. Semua perkara diperhalusi dengan kos seminimum mungkin diambil kira.

Sudahnya, persetujuan dibuat, ada sepuluh keluarga - bermakna lengkap semuanya. Bercuti di Cherating, penginapan mesti ada kolam renang agar anak-anak dapat berseronok, mesti ada pantai supaya ada aktiviti barbecue di waktu malam dan siangnya ada acara sukaneka untuk keluarga dan anak-anak kecil.

Sunday, 6 March 2016

Kak Long Pergi Mengadap Ilahi


Pagi Ahad, sejurus aku sampai di rumah selepas meluangkan masa berpagian di luar dengan Ameer dan Nina, Mr Hubby memberitahu dia mahu pulang ke kampung. Kenapa? Jawabnya, Along anak kak Chik meninggal, kemalangan di Langkawi. Innalillahiwainnailaihirojiun... Aku terdiam, tanpa kata namun minda pantas terbayangkan wajah kak Long yang sentiasa ceria. Allahuakhbar, betapa janji Allah itu pasti, diambil nyawa bila-bila masa sahaja - bukan mengenal tua atau muda, bukan melihat sakit atau sihat, bukan mengira miskin atau kaya. Aku beristigfar, menginsafi kekerdilan diri yang tiada apa-apa. Allah maha besar!

Along anak buah Mr Hubby, antara yang amat akrab dengannya sejak kecil malah sering menjadi bahan usikannya setiap kali bersua. Along ceria, tertawa, sentiasa senyum, mudah mesra dan amat ringan tulang. Kali terakhir pertemuan aku dengannya juga ditinggalkan dengan sentuhannya yang mengurut belakangku, juga kaki lantaran lelah yang dirasai.

Sambutan Hari Lahir Anak-anak Serentak

Sambutan hari lahir anak-anak dibuat serentak, dalam satu pakej sahaja dari bulan Januari sampai la Mac. Amira yang lahir 7 Januari tak dapat raikan ulang tahun kelahirannya lantaran aku baru sahaja seminggu lepas melahirkan Ammar. Afrina juga yang lahir pada 16 Februari pun begitu, aku masih dalam pantang, sudahnya dibuat pada Mac iaitu bersempena kelahiran Ameer 7 Mac. Sebagaimana kebiasaan diasmbut sekali dengan Puteri yang lahir 4 Mac sementara Acik sama dengan Afrina.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers