Sunday, 29 March 2015

Berkelah ke Kg Janda Baik

Hujung minggu ini tidak ada apa-apa perancangan maka aku dan Mr Hubby merancang membawa anak-anak untuk mandi sungai di Kg Janda Baik, Pahang. Kami minta bantuan Iwan untuk mencari lokasi yang menarik, maklumlah Iwan orang situ jadi tahulah tempat mana yang nak pergi. Dia bawa ke tempat berkelah di kawasan abang iparnya dan turut menyertai kami bersama anak comelnya, Fatini.

Kami menjemput anak-anak abang Hakim bersama dan kemudian bertolak ke sana. Cuaca cerah, pemandangan menarik dengan kawasan perkelahan dikelilingi pohon-pohon menghijau. Ditambah pula dengan bunyian unggas dan cengkerik yang mendamaikan, seolah-olah berada jauh di dalam hutan sedangkan cuma di pinggir desa.

Anak-anak ceria bermandian, bermain pelampung getah. Biarlah mereka merasai dinginnya air rimba yang mengalir lesu, tiupan angin mendamaikan dengan panorama sekeliling yang menghijau, jauh dari keriuhan Ibu Kota, derua kereta dan bunyian hon pelbagai kenderaan lain. Semoga keindahan alam sekeliling akan meresap masuk ke sanubari mereka dan mencambahkan benih kedamaian untuk kehidupan seterusnya.


 


 














 




No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers