Monday, 23 March 2015

Bapak....

Bapak... berapa usia sebenarnya aku tak tahu. Tapi yang pasti usianya sudah melewati lebih 85 tahun. Yang tercatat dalam kad pengenalannya tidak sama dengan angka sebenar. Segalanya berlalu seakan mudah kerana suatu waktu dahulu dokumen asalkan ada, bukan ketepatan pada isinya.

Katanya, bapak lahir di Setapak, juga sebagaimana adik-beradiknya yang lain. Tapi kemudian bapak di bawa merantau hingga ke Indonesia yang akhirnya orang tuanya meninggal di sana. Adik-beradik bapak pula ada yang menetap di Singapura dan di Kuala Lumpur. Obek Amanah dan Obek Mohammad di Singapura manakala mamang Dollah dan bibik Wadiya di KL. Hanya bapak yang tertinggal dan menjalani kehidupan yang sukar jika dibandingkan dengan adik-beradiknya yang lain. Tapi bapak rajin berusaha dan anak-anak bapak ramai yang kemudian membela kehidupan seterusnya. Itu cuma cerita lama yang aku rasa tentunya ada kekesalan pada bapak berkaitan dokumentasi kelahirannya dikalangan adik beradiknya hingga membawa dirinya seebagai pendatang di tanah kelahiran sendiri...

Bapak dah makin tua... Ramai rakan-rakan bapak yang dulu aku kenali, yang selalu datang bersembang di depan rumah dengan bapak sudah tidak ada. Dulu ada juga Pak Mawar, Haji Mawasi, Rama, Abah Karim dan beberapa nama lain yang datang bercerita menghilangkan kebosanan bapak, sesekali mereka ke kedai mamak minum teh tarik atau makan roti canai, tapi kini mereka semua sudah dipanggil Allah, menyahut seruan Ilahi.

Kedut di wajah bapak bertambah banyak. Bongkok badan bapak pun semakin nampak. Kekuatan bapak sudah menyusut. Tubuhnya yang dulu tampak tegak namun kini semakin merendang, pergerakannya juga semakin perlahan.

Bapak dah mengadu badannya selalu sakit-sakit, pandangan matanya semakin kabur dengan kekadang sekadar bayangan yang ada, seleranya juga seakan tidak ada namun tidak tahu apa pula kemahuannya. Tapi bapak perlu makan dan mesti tepat pada masanya, jangan lambat kerana bapak ada ulser perut. Kalau lambat makan nanti bapak sakit perut. Makan pun tak boleh banyak sebab kalau lebih makan pun perut bapak akan sakit.

Bapak juga perlu berhati-hati dalam makanan. Tak boleh makan sembarangan macam dulu sebab bapak ada gout. Silap makan nanti kaki bapak sakit dan gout berulang sampaikan bapak tak mampu nak berjalan pun.

Saban malam bapak perlu makan ubat. Macam-macam ubat bapak perlu telan. Ada pelbagai warna. Ada ubat untuk perut, bagi mengelakkan ulsernya berulang. Ada ubat untuk jantung, bagi menguatkan jantungnya. Ada vitamin dan macam-macam lagi. Sudah jadi kebiasaan pada bapak, dan bapak tak kisah pun kena makan ubat.

Mata bapak juga perlu rawatan. Bapak selalu rasa sakit mata. Doktor kata mata bapak kering jadi ada ubat yang perlu dititiskan pada mata bapak. Bapak kata nak mengaji Al-Quran pun bapak dah tak nampak jelas.

Ada juga bapak bercerita tentang arwah mak, juga abang-abangku yang lain. Barangkali ketika itu kerinduan pada mereka semua terbit. Cerita tentang zaman kenakalan anak-anak bapak yang tentunya amat mencabar apatah lagi dikelilingi jumlah yang ramai hingga belasan orang.

Aku cuba selami hati bapak, bagaimana rasanya kehilangan anak-anak sedangkan usia semakin lanjut. Tanpa arwah mak yang menjadi pasangannya hampir 60 tahun... Ada anak-anak bapak yang meninggal semasa kecil, sewaktu bayi termasuklah kembar lelaki. Arwah abang Daili pula meninggal kemalangan dalam usianya melewati 40 tahun. Bapak hanya dapat melihat tubuh kakunya di hospital dan kemudian telah siap dikapankan di tengah rumah. Selepas itu arwah abang Solo menyusul yang bapak tak dapat tatap pun wajah terakhirnya lantaran jarak memisahkan. Kemudian arwah abang Cici namun syukur kerana bapak sempat iringi kalimah terahirnya hingga terpejam mata.  

Bapak ada juga mengadu perihal anak-anak bapak yang masih ada. Macam-macam ragamnya dengan ada kalanya lebih gemar menyibukkan diri daripada menatap wajah bapak. Hati orang tua tentunya mudah tersentuh. Sakitnya yang sedikit akan membuat berjauh hati pada yang lain. Katanya, yang bapak jaga tapi tidak pun membela bapak...

Aku cuba pujuk bapak... meminta dia memahami perihal anak-anak yang tentunya sibuk bergelumang pelbagai urusan seharian yang menyulitkan. Tapi bagaimana mungkin kerana bapak minta anak-anak menjenguknya.... Aku katakan pada bapak, aku ada bersama. Apa-apa perkara adukan sahaja pada aku. Mereka tiada di depan mata tapi mohon doakanlah mereka setiap masa.

Aku sedar, akulah anak bongsu bapak - satu-satunya anak perempuan bersama arwah mak dalam jumlah 12 beradik - yang tentunya sangat diharapkannya untuk menjaganya hingga akhir usia, dan aku dengan rela hati, sepenuh kasih aku juga ingin bersama bapak walaupun realitinya masa amat terbatas, dalam dunia kerjaya dengan anak-anak yang masih menuntut perhatian. Sokongan Mr Hubby pula amat menyenangkan yang tentunya memahami setiap rutin bapak saban hari.

Mohon pada-Mu Ilahi, kurniakanlah kesihatan dan kekuatan kepada bapak agar terus dapat beribadat kepada-Mu dalam penghujung usianya, dan tambahkanlah belas kasih sayangku untuk aku terus berbakti padanya hingga akhir usia antara kami - Amin!



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers