Hari ini aku dan Mr Hubby menemani Amira yang melakukan pemeriksaan susulan di hospital untuk Acute Rheumatic Fever yang dihidapinya. Rawatan susulan kali keempat di hospital sejak dia didiagnos mendapat rheumatic. Bermula dari pemeriksaan setiap bulan selepas discaj dari hospital bulan Februari lalu, kemudian dua bulan sekali, empat bulan sekali dan syukur hasil perkembangan kesihatan Amira yang amat positif, pertemuan bakal menyusul enam bulan sekali.
Kali ini pemeriksaan dilakukan selengkapnya termasuklah melakukan echocardiogram atau 'echo' iaitu pemeriksaan jantung dengan alat ultrasonografi. Secara mudah aku melihatnya bagaikan ultrasound kepada bayi dalam kandungan dengan alatan yang lebih kecil daripada scan ibu hamil. Ada jeli digunakan sebagaimana scan ibu hamil. Aku menemani Amira sepenuhnya dan melihat sendiri bagaimana echo dibuat. Degupan jantung Amira jelas kelihatan dengan petugas melakukan penilaian struktur jantung dan sekelilingnya. Echo ini dapat memastikan bagaimana gerakan jantung, aliran cairan dan ruangan di dalamnya. Ia juga bagi memastikan kewujudan bendasing atau kelainan di dalamnya. Syukur, keadaan organ penting Amira normal dan petugas yang ada melaksanakan kerjanya dengan penuh budi bahasa. Echo yang seterusnya Amira perlu lalui tahun hadapan.
Kemudian rawatan bersama doktor bertugas. Sekali lagi bertemu pakar pediatrik, Dr Bazlin yang sangat ramah dan ceria. Tuturnya kuman rheumatic tiada dalam organ dalaman Amira namun suntikan bulanan tetap diperlukan sebagaimana jadual asal sehinggalah usinya 21 tahun kelak. Sejak Februari lalu, sudah 10 kali Amira mengambil suntikan dan bermakna dia ada sekitar 130 suntikan lagi yang bakal dilalui.
Info terbaru yang aku ketahui, penyakit ini kini tidak lagi wujud di negara-negara maju termasuklah di UK sendiri lantaran kemodenan perubatan yang ada. Antaranya ialah tambahan imunisasi yang diambil semasa bayi khususnya suntikan vaksin pneumococcal. Buat masa ini, di Malaysia iaitu sebagai sebuah negara yang sedang membangun, suntikan ini adalah pilihan kepada ibu bapa lantaran kosnya yang bernilai ratusan ringgit, sekitar RM200 - RM500 malah tidak semua hospital atau klinik kesihatan menyediakannya kerana kebiasaannya hanya di hospital swasta sahaja lantaran harganya yang tinggi. Lebih dari itu, vaksin tersebut masih dianggap baru di negara ini kerana kemungkinan semasa Amira masih bayi pneumococcal ini masih belum diperkenalkan. Namun begitu, Ameer dan Afrina ada mengambil suntikan tersebut sebagaimana saranan doktor pakar kanak-kanak yang merawatnya di hospital swasta kelahiran mereka.
Jelas Doktor Bazlin lagi, keupayaan Amira berdepan dengan rheumatic ini menyerlah kerana rawatan diberikan segera dan kesakitannya masih diperingkat awal sedangkan ada di kawasan pedalaman, pesakit mendapat rawatan yang tidak sempurna lantaran kekurangan pakar dan info berkaitan sehinggakan mengganggu pembesaran dan menyebabkan pesakit mengalami kecacatan seumur hidup. Ini berlaku apabila kuman yang ada dalam badan mula menyerang organ dalaman khususnya jantung dan otak yang menjadi fungsi utama dalam badan.
Alhamdulillah, dalam berdepan kesukaran masih ada laluan, dalam kesakitan masih ada rawatan, kedukaan yang datang telah diganti dengan kegembiraan, kesakitan Amira mencambah pelbagai ilmu kesihatan dan dalam masa yang sama keutamaan kepada Allah SWT yang melimpahkan kami nikmat kesihatan yang tidak ternilai. Syukur pada-Mu Ilahi. Amira juga semakin tabah, semakin kuat berdepan rawatan saban bulan yang perlu dilaluinya dengan suntikan di klinik kesihatan. Tiada lagi jerit pekik dan rontaan badan walaupun rasa gelisah masih menyelinap. Dia semakin matang melalui setiap detik yang ada dan pastinya gengaman erat jemarinya sentiasa kejap dalam tanganku dan sesekali dia akan menyandarkan badannya longlai kepada Mr Hubby. Semoga Amira terus kuat bersama iringan doa mama dan abah...!
No comments:
Post a Comment