Prop dan rekaan set yang dibuat amat ringkas namun menyerlahkan keseluruhan mereka yang menghuni pentas. Ibarat satu pulau ke satu pulau yang menempatkan para pemuzik dan penyanyi latar sedang mereka berempat termasuklah Zul, adik M.Nasir yang menjadi ahli baru Kembara turut mendendangkan lagu. Persembahan dibuka dengan lagu 'Ekspres Rakyat' yang sememangnya amat sinonim dengan kembara. Perjalanan berkeretapi sekitar awal tahun 1980-an akrab dengan mereka yang datang dari Singapura ke Kuala Lumpur. Aku membayangkan diriku juga kerana aku dari Singapura ke Kuala Lumpur berkeretapi, cerita emak. Aku masih masih dalam dukungan arwah mak ketika menjejak kaki di Kota Kuala Lumpur, dengan Pipah dan diiringi arwah abang Solo, barangkali juga dengan Ekspres Rakyat... entah.
Kemudiannya dalam ingatan alam kanak-kanakku, aku kerap ke stesen keretapi di Kuala Lumpur yang selalunya hadir kerana menghantar obek Muhammad dan obek Esah serta obek Manah untuk kembali pulang ke Singapura. Hanya mereka yang kerap berkunjung ke sini sedangkan untuk bapak dan keluarga di sini untuk ke sana, tidak pula. Dulu, kami dapat naik ke koc keretapi sebelum mereka memulakan perjalanan, dapat merasai duduk di kerusinya dan berbual-bual di dalamnya, lantas apabila loceng nyaring berbunyi barulah kami akan keluar dari keretapi.
S. Sahlan nyanyikan lagu 'Senandung Buruh Kasar' maka aku teringat juga pada bapak yang juga buruh kasar. Baitnya buat aku terasa syahdu mengenangkan keperitan hidup lalu dengan bapak dan juga abang-abang yang pernah bekerja sebagai buruh kasar:
Pandanglah aku yang bermandi keringat
Di bawah terik mentari
Bekerja dengan menghempas tulang
Mencari nafkah sehari
Aku hanyalah seorang buruh kasar
Zul juga nyanyikan lagu secara solo iaitu lagu M. Nasir 'Bas No. 13' yang mengingatkan aku kehidupan kami yang dahulunya bergantung sepenuhnya kepada bas mini untuk bergerak kemana-mana. M. Nasir kata lagu ini diciptanya kerana kehidupannya dahulu menggunakan bas no 13 untuk bergerak dari Orchid Road ke Geylang Serai yang menempatkan kelompok orang-orang Melayu di Singapura.
Kemudian lagu 'Impian Seorang Nelayan' yang amat puitis turut menyentuh hati, menyelami kehidupan seorang nelayan yang adakalanya tidak tentu haluan, kisah yang berkisar dari kebenaran nelayan di Terengganu untuk dijadikan lirik dalam lagu sebagaimana baitnya:
Wahai anak yang sedang menangis
Mungkin kini engkau tak mengerti
Bila kau dewasa dan pandai nanti
Pengorbanan ayahmu sayang jangan kau lupakan
Satu persatu lagu-lagunya semakin membawa aku mengenali diri sendiri, betapa lagu ' Kepada-Mu Kekasih' mengajak aku kembali ke jalan-Nya, mengakui betapa banyak dosa noda yang selama ini aku lakukan lantas, pantaskah untuk aku kembali mengadap-Mu setelah ada nikmat yang aku lalai syukuri...
Kepada-Mu kekasih
Aku serahkan, jiwa dan raga
Jua segalanya
Apakah Kau akan menerima penyerahan ini
Apakah Kau akan menerimaku, dalam keadaan begini...
Bermula dengan lagu rakyat yang rancak, kemudian membawa kepada lagu-lagu yang mendayu kesayuan, kepiluan dalam 'Keroncong Untuk Ana', ada 'Sekuntum Bunga Plastik', keasyikan lagu 'Malam', juga lagu realisme 'Rupa Tanpa Wajah' dan beberapa lagi lagu-lagu yang amat membuai hati seterusnya kembali kepada lagu-lagu rancak mereka yang amat popular sebagaimana 'Gerhana', 'Duit' dan Hati Emas.
Bayangkan, sepanjang tiga jam persembahan mereka tanpa rehat malah berterusan tanpa penyanyi undangan, tiada bertukar-tukar pakaian, semua penyanyi dan pemuzik langsung tidak meninggalkan pentas yang menjadikan penonton juga tidak bergerak. Ada satu lagu bonus kemudiannya apabila penonton masih tidak berganjak untuk pulang.
Sememangnya persembahan kumpulan Kembara hebat, gagal ditandingi mana-mana artis yang ada sekarang malahan aku bagi aku inilah yang terbaik pernah aku lihat dalam konsert secara langsung yang berterusan hampir 30 buah lagu. Lagu-lagu kehidupan, berlatar rakyat dan masyarakat yang menjadikan diri lebih banyak berfikir serta sedar diri. Akulah itu....
No comments:
Post a Comment