Friday, 3 October 2014

Sekali Lagi Hati Terguris...

Aduh... sakitnya rasa apabila yang sampai ke pendengaran kisah-kisah yang tidak sewajarnya dijadikan bahan sandaran. Masih ada lagikah persoalan itu dalam keterujaan aku mengatur pelbagai tugas tanpa mengambil kira soal orang lain. Dalam apa yang aku lakukan, ada yang memerhati lantas iri hati dan mencari kelemahan diri untuk dijadikan sebagai satu pertikaian.


Benar, sememangnya aku pernah menyangka perkara ini akan berlaku, akan ada yang tidak berpuas hati dan aku seakan bersedia untuk berdepan dengan hakikat ini namun apabila benar-benar menjadi realiti, sakitnya amat menyucuk diri. Dalam wajah tenang aku berdepan dengan insan yang menyampaikannya, masih tebal rasa sebak dalam dada. Aku senyum menutup rasa nyilu yang menghiris kalbu. Tergamaknya mereka berkata sedemikian, membezakan latar belakang sebagai satu persoalan untuk menidakkan apa yang aku miliki.

Persoalan, bagus sangatkah aku dalam kerjaya sehinggakan aku ada dalam keadaan aku hari ini? Allahuakhbar... tidak aku mampu menghalang segala penilaian insan lain di hadapan apatah lagi di belakangku. Malahan sebelum ini pun aku tidak pernah ambil kisah pandangan mata atau penilaian hati mereka terhadap tingkah aku. Soal kerjaya aku berpegang teguh pada nasihat Mr Hubby yang sering mengingatkan agar aku berdiri atas kebolehan sendiri, laksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab untuk menyempurnakan amanah, jangan ambil apa-apa kesempatan dan jangan mempertikaikan rezeki orang lain kerana kita ada rezeki sendiri.

Lumrah manusia, telah menjadi sebahagian sifat Melayu yang akan ada nilai iri hati. Barangkali kerana aku insan terpilih namun aku gagal menyembunyikan kesakitan yang teramat sangat apabila keluarga dan sanak-saudara turut menjadi alasan untuk satu penolakan. Betapa mereka ini mengambil kesempatan atas apa yang berlaku ke atas diriku, ziarah pada kematian dijadikan alasan menilai persekitaran lantas diingat walau telah lebih enam tahun berlalu. Hati aku tambah luka.... Perlukah aku meragui keikhlasan mereka melawat keluargaku yang kematian suatu ketika dahulu sedangkan hari ini apa-apa yang mereka lihat menjadi bahan percakapan?

Sungguh aku amat terasa. Biarpun tidak disebut nama yang berbicara namun aku dapat mengagak orangnya. Betapa luluh rasanya jiwa ini kerana mereka adalah insan yang sentiasa berwajah manis dalam setiap pertemuan denganku namun rupanya terselindung rasa tidak berpuas hati atas apa yang aku peroleh. Salahkah aku apabila menyempurnakan kerja yang ada dengan sebaiknya lantas mendapat kepercayaan dan menerima amanah yang lebih besar?

Dalam kesakitan aku bermuhasabah... mungkinkah ada rasa angkuh dalam diri... barangkali wujud keegoan tanpa rasa sedar yang mana membuat mereka terasa dengan apa yang berlaku. Dan aku... mohon pada Ilahi agar mereka ini dibukakan pintu ketakwaan dan dibersihkan dari sebarang kerosakan fikiran.

Aku ingin menangis... namun bukan sekarang atau dalam keadaan amarahku kepada pencerita namun aku ingin sujud kepada-Nya lantas bersyukur atas segala pemberian yang mana ini menjadi ketidakpuasan mereka di sekelilingku. Aku tidak ada musuh, juga aku tidak mahu bermusuh. Tapi dalam keadaan ini aku sematkan tekad yang lebih kukuh dengan memperteguh cita-cita untuk terus mara ke hadapan, kerana aku lakukan demi agama dan harga diri sendiri. Biar terluka...aku enggan mengalah!!!

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers