Sunday, 5 October 2014

Berkorban di Kg Mempelam

Meraikan Aidiladha di Kg Mempelam dengan perancangan untuk berkorban bersama-sama bapa mertua dan ipar-duai. Kali ini kami pulang ke Utara lebih awal berikutan hari raya jatuh hari Ahad dan menjelang tengah malam Jumaat kami telah menghuni rumah kelahiran Mr Hubby; itu pun selepas lapan jam meredah lebuh raya yang sesak. Hujan menggamit kepulangan kami dan berlanjutan sehinggalah ke hari raya. Alhamdulillah, rezeki melimpah di pagi Aidiladha dengan titisan hujan membasahi bumi. Syahdu terasa mengerjakan solat subuh berjemaah dan mendengar tazkirah ringkas dari bang Leh. Antara pengisiannya betapa perlunya kita melawan nafsu untuk kepentingan dunia dengan mengutamakan kepentingan akhirat yang teramat nikmatnya kelak.

Kemudian kami menunaikan solat Aidiladha bersama-sama di Masjid Gunung Sali. Hujan makin lebat namun menjelang pukul 10.00 pagi semakin reda membolehkan kerja-kerja untuk melaksanakan ibadah korban lancar. Kali ketika untuk kami sekeluarga melakukan ibadah korban di hadapan rumah sendiri, adik-beradik berkumpul dan bersama-sama bergotong-royong dari proses awal hinggalah siap juadah terhidang. Semua sembilan orang anak-anak pak berkumpul, anak cucu memenuhi ruang dari halaman depan hinggalah ke ceruk dapur, riuh rendah gurau senda dan anak kecil berlarian ke sana sini. Senyum pak meleret menyejukkan hati.

Tentunya yang paling ceria adalah Amira yang akrab bersama kakak-kakak sepupunya, bermotor ke kedai atau berjalan kaki ke Tesco di hadapan rumah. Namun untuk Ameer amat berbeza kerana lepas bebas ke mana sahaja, bermain lecak dan tanah selut tanpa awasan, berbaling kerikil dari batas sawah ke tengah bendang yang melaut airnya, pepohon ranting jadi alat mainan malahan dalam renyai dan titis hujan pun diredahnya bersama-sama anak-anak kak Pah dan anak Mat. Aku dan Mr Hubby membiarkan saja keletahnya yang amat mesra dengan alam. Ini berbeza dengan Nina yang masih penuh kemanjaan, enggan keluar menghadap kotoran, juga amat prihatin pada kebersihan dirinya sendiri.

Selesai solat Asar, majlis tahlil dan doa kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT yang memberikan kesempurnaan kepada keluarga kami melaksanakan ibadah dengan lancar. Semoga silaturrahim yang terjalin memberi manfaat kepada generasi seterusnya untuk menyambung ikatan kekeluargaan.








No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers