Apakah sebab teater ini menjadi pilihan aku? Karya Haji Abdul Malik Amrullah (Hamka) ini aku kenali ketika aku masih berada di sekolah rendah. Aku membaca buku abang Maili. Memang abang Maili banyak buku-buku agama apatah lagi dia dari latar belakang sekolah pondok. Mula-mula membacanya hati terus tertawan kerana bahasa yang penuh santun, ringkas dan terasa ke kalbu. Kehidupan Hamid yang menjadi watak utama penuh dengan kesusahan tetapi terhimpun ketabahan. Rasa bahagian mengulit watak Zainab yang amat halus dan mulus. Berkali-kali aku membaca novel itu sehinggalah kemudiannya aku membesar, remaja dan dewasa maka barulah aku sedari bahawa novel tersebut adalah karya besar yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu nusantara khususnya Indonesia.
Menonton teater ini, aku mendambakan kepuasan dengan para pelakon yang hebat-hebat, yang hampir kesemuanya aku amat minati. Namun, perjalanan ceritanya meleret-leret, terlalu mendayu-dayu dan untuk satu-satu babak seakan keterlaluan pula gambarannya. Aku mencari dimana klimaksnya, adakah semasa Zainab mati atau semasa Hamid sendiri menghembuskan nafasnya kerana aku tidak puas. Dimana kepuasan dalam teater ini apabila ia habis dalam keadaan membosankan? Biarpun begitu, watak yang ada seboleh mungkin menghayati perwatakan yang digambarkan. Syahdunya menahan rasa cinta, pilunya menanggung rindu, sukarnya meluah rasa namun kasih tidak kesampaian.
Aku amat tertarik dengan segala prop yang menghiasi latar tempat dan masa dalam teater ini. Cantinya pemandangan yang diwujudkan, indahnya gedung yang menjadi kediaman Zainab dengan bentuk rumah minangkabaunya, setiap perubahan babak membawa kepada suasana berbeza yang seakan hidup dan berseri. Ditambah pula dengan lagu-lagu yang amat mendamaikan, sesuai dengan konsep Islam yang diterap dan susunan lirik yang amat menarik.
No comments:
Post a Comment