Menangani penyakit acute rheumatic fever bersama-sama anak yang semakin meningkat usianya. Sejak bulan Februari lalu, baru tiga kali Amira mendapat injection di klinik kesihatan sementara sudah tiga kali juga berulang ke hospital untuk rawatan susulan. Sememangnya aku merasai kesakitan Amira setiap kali menerima cucukan apatah lagi dia bukanlah seorang yang berani untuk berdepan dengan kesakitan sedemikian. Injection perlu diambil setiap 28 hari tanpa gagal dan rawatan susulan di hospital dengan pakar kanak-kanak dibuat selepas 6 minggu. Seminggu sebelum tarikh dia mendapatkan injection dia selalu mengadu sakit-sakitnya di bahagian kaki kembali berulang namun tidaklah sampai melarat sebagaimana sebelum ini. Hari ini sakit di bahagian tumit, esok di bahagian sebelah tapak kaki, lusa pula di bahagian lutut dan berulang-ulang, adakalanya di bahgian pergelangan tangan juga. Hati terasa gundah, meminta dia untuk kuat dan tabah.
Kemudiannya aku mendapatkan penjelasan dari doktor, katanya kesakitan tersebut bukan akan terus hilang secara tiba-tiba sebaliknya ia akan beransur-ansur. Sakit tersebut barangkali akan berulang-ulang namun dalam kekerapan yang semakin berkurang dan tahap kesakitan yang semakin minimum sehinggalah akhirnya tiada langsung. Amira sepenuhnya masih dalam perawatan, perlukan pemerhatian rapi dan tahap kesihatannya pun perlukan pemantauan. Syukur, sejak Februari lalu sehingga kini Amira tidak diserang demam atau selsema malah tonsilnya juga tidak melarat. Alhamdulillah juga, tahap bacaan darahnya menunjukkan penurunan kuman berkaitan... dari sebelumnya ratusan menjadi puluhan sahaja. Terang doktor lagi, pemeriksaan berkala setiap empat bulan ke atas jantungnya juga akan dilakukan bagi memastikan tiada sebarang radang di bahagian terbabit.
Jelasnya, ada kemungkinan untuk penyakit tersebut berulang namun dengan penjagaan rapi ia akan dapat dielakkan. Penyakit tersebut tidak menghalang dia untuk aktif namun diingatkan sekiranya dalam keadaan tertentu terasa sakit dada, sesak nafas, dada berdebar-debar dalam tempoh yang panjang dan kesakitan di bahagian sendi dalam tempoh yang lama maka segeralah datang ke hospital.
Syukur... dalam kesakitan masih ada penawarnya, selagi ada usaha tidak pernah ada jalan mati kerana keyakinan kepada Allah SWT adalah segalanya. Hanya Dia segala-galanya...alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment