Saturday, 31 May 2014

Pengakhiran Mei Yang Macam-macam...

Macam-macam. Cerita yang kurang enak banyak tersaji. Enggan dilapah namun tetap terhidang jua. Mahu tidak mahu tetap ada di depan mata dengan macam-macam rencah yang membusukkan. Aku tidak mahu menjamahnya kerana bimbang banyak penyakit akan singgah sekiranya aku alpa. Aku sedar, dalam kehadiran diri dengan ilmu yang sekelumit cuma, bisa benar rasanya badan menanggung akibat. Ada suara-suara yang tidak mahu aku dengar, cuba memekakkan telinga dan membutakan mata. Di sekelilingku ada mereka yang mahu mengambil kesempatan...barangkali. Namun aku lebih banyak bersangka positif kerana mereka adalah rakan-rakanku yang sentiasa memberi harapan, menyemai rasa sayang dan bertunaslah rasa kasih... sandaran atas keyakinan untuk terus memperkukuh diri dalam kerjaya yang dibuat untuk agama, bangsa dan negara. Allahuakhbar... semoga dibersihkan hati ini dan dipermudahkan perjalanan hidupku demi jalan-Mu Ya Allah!!!

Tuesday, 20 May 2014

Teater Di Bawah Lindungan Kaabah

Aku amat teruja sebaik sahaja  mendapat tahu novel Di Bawah Lindungan Kaabah akan diadaptasi kepada persembahan teater. Sebaik sahaja tiket persembahannya mula dijual maka satu permintaan kepada Mr Hubby dibuat untuk menemai aku. Alhamdulillah Mr Hubby setuju dan tarikhnya ialah pada 12 Mei 2014 (Isnin). Aku anggap ini sebagai temu janji kami berdua apatah lagi amat sukar untuk kami dating dalam keadaan anak-anak masih kecil. Terima kasih Mr Hubby yang sudi melayan kerenah dan permintaan ini, satu penghargaan atas masa yang diberi dalam kesibukan yang pelbagai.

Friday, 16 May 2014

Rawatan Susulan Acute Rheumatic Fever

Menangani penyakit acute rheumatic fever bersama-sama anak yang semakin meningkat usianya. Sejak bulan Februari lalu, baru tiga kali Amira mendapat injection  di klinik kesihatan sementara sudah tiga kali juga berulang ke hospital untuk rawatan susulan. Sememangnya aku merasai kesakitan Amira setiap kali menerima cucukan apatah lagi dia bukanlah seorang yang berani untuk berdepan dengan kesakitan sedemikian. Injection perlu diambil setiap 28 hari tanpa gagal dan rawatan susulan di hospital dengan pakar kanak-kanak dibuat selepas 6 minggu. Seminggu sebelum tarikh dia mendapatkan injection dia selalu mengadu sakit-sakitnya di bahagian kaki kembali berulang namun tidaklah sampai melarat sebagaimana sebelum ini. Hari ini sakit di bahagian tumit, esok di bahagian sebelah tapak kaki, lusa pula di bahagian lutut dan berulang-ulang, adakalanya di bahgian pergelangan tangan juga. Hati terasa gundah, meminta dia untuk kuat dan tabah.

Tuesday, 13 May 2014

Hari Ibu 2014

Sambutan Hari Ibu... tidak pernah aku lakukan sepanjang hayat arwah mak malah ianya amat asing dalam budaya kehidupan kami saban tahun. Namun zaman dah berubah dan anak-anak generasi kini amat teruja untuk menjayakan sambutan hari ibu. Setiap minggu kedua dalam bulan Mei maka sambutan tersebut diangkat sebagai hari ibu peringkat antarabangsa yang turut diraikan oleh anak-anak di Malaysia. Memang hari-hari adalah ibu bersama-sama namun apa salahnya menetapkan satu detik keistimewaan untuk seorang ibu kan.... Selagi sambutan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak dan tidak berbentuk pemujaan maka tentunya ia tidak menjadi satu kesalahan, apatah lagi seorang ibu itu sewajarnya diraikan.

Monday, 12 May 2014

Mengenali Tokoh Melayu Terbilang 2014

Tugasan bersama tokoh-tokoh hebat tentunya amat aku hargai. Rasa kagum dan bangga akan mekar di hati apabila berdepan dengan mereka, mendengar dengan mata kepala sendiri cerita-cerita lalu yang mereka telah alami lantas tugasan harian yang dilaksanakan tanpa sedar telah menjulang individu terbabit untuk diangkat sebagai Melayu terbilang. Antara ketokohan Ustaz Hassan Azhari dan Dr Salma Ismail... mereka ada keistimewaan tersendiri yang amat simbolik dengan agama, bangsa dan tanah air. Hati teruja dapat berdepan dengan mereka, mengetahui latar belakang tokoh terbabit dan membayangkan zaman-zaman lampau mereka yang tentunya amat perit tetapi dapat terus bangkit dan mewarnai kegemilangan bangsa Melayu.

Sunday, 11 May 2014

Sukaneka Amer & Afrina 2014

Amer teruja untuk bersama-sama rakan-rakannya dalam acara hari sukan di tadikanya. Amat berbeza dengan Nina yang sangat manja, enggan bergaul dengan rakan-rakan apatah lagi untuk masuk dalam acara sukan yang ada. Melihat sikapnya amat sama dengan kakaknya yang turut bersikap dingin ketika seusia Nina, namun Nina barangkali tidak sesegan Amira. Amer lebih berdikari, gemar bergaul dan mudah mesra sedangkan Nina pula sebaliknya. Tak apalah... Nina masih muda dan masih banyak ruang untuk dia menyerap persekitaran bagi membawa pemikiran matang dalam dirinya sendiri.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers