Friday, 15 March 2013

Baha Zain – Sasterawan Negara



Hari ini, Baharuddin Bin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-12 dengan pengumumannya dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Aku ada kisah peribadi dengan Baha Zain. Tahun 1996, ketika di alam persekolahan dalam tingkatan 6A1, SMHK, aku telah mengenali siapa dirinya. Kertas sastera menempatkan teks puisi Baha Zain ‘Tiga Catatan Perjalanan’ adalah antara teks kajianku bersama dengan karya Usman Awang dan Amir Hamzah. Kemudian, Cikgu Sastera Puan Shamsul Mardiyah berjaya membawa Baha Zain dalam diskusi dalam kelas kami. Sangat menarik. Orangnya sangat sederhana. Penampilannya juga tidak nampak seperti orang ‘besar’ biarpun sudah punya nama. Tubuhnya kurus, kemas dan bersahaja. Tuturnya juga kemas, tidak canggung dan terserlah banyak pengalaman.


Sebelum ini, tokoh penyair, penulis dan pemikir sastera negara ini telah , menerima Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) yang julung kali diperkenalkan bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan Baha Zain semasa menerajui Pena sehingga menjadi sebuah persatuan penulis yang konsisten dalam memartabatkan bahasa dan persuratan di negara ini.

Baha Zain mula melibatkan diri dengan Pena sejak awal tahun 60-an dan memegang pelbagai jawatan termasuk menjadi Presiden Pena pada 2008 hingga 2010.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak yang berusia 73 tahun itu berkarya sejak di sekolah menengah dan mula dikenali menerusi karyanya yang berjudul Perempuan dan Bayang-Bayang yang dihasilkan pada 1974.

Antara kejayaan peribadi beliau dalam dunia sastera adalah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) pada 1980 selain Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa (Persatuan Linguistik Malaysia) pada 2004 dan Anugerah Budaya Gapena pada 2008.



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers