Dalam ruang yang
terhad masih ada kekosongan yang perlu dimampatkan untuk diisi dengan impian
tertangguh yang boleh direalitikan. Nampak payah, terasa sukar tetapi apabila
dianyam amat terasa keindahannya dengan akhirnya bergaul harmoni menciptakan
satu kepuasan yang payah diluah....
Aku mengejar
ruang yang sempit dengan mendisiplinkan diri untuk mematuhi setiap aturan yang
ada. Tuntutan pada keluarga, tanggungjawab pada kerjaya dan impian yang masih
belum terlaksana. Biarlah, walaupun sesekali aku harus lewat beransur dari
pejabat tetapi matlamat perlu disempurnakan. Kesibukan kerjaya aku manfaatkan
dalam ruang bekerja sementara selebihnya aku isi dengan agenda melaksanakan
disertasi yang masih tertangguh. Prinsip yang tersemat masih terus terpatri untuk
tidak sesekali mengaplikasikan masa bekerja bagi ruang manfaat diri atau agenda
peribadi, malah sekiranya perlu pun waktu rehat ditengahari aku turut
manfaatkan agar tidak terasa beban tergalas. Sesukar mana sekalipun tugasan
pejabat tetap aku mahu laksanakan tanpa tertangguh apatah lagi aku seringkali
mendapat tugasan dari orang atasan yang aku harus junjung sebagai kepercayaan
tanpa ada calar apatah lagi gagal.


Aku berkesempatan
berjumpa Dr. Saleeh dua kali dan ia memberi peransang kepada aku untuk lebih
ghairah dalam penulisan. Apa yang pasti ruang kerja, penulisan dan keluarga
perlu seiring dengan emosi aku sendiri kerana kejayaan terbaik adalah yang
berlandaskan luahan secara matang, menggunakan akal waras dan pertimbangan
terbaik dalam menentukan masa hadapan. Biarpun aku tidak meletakkan sebarang
target berlandaskan Sarjana yang aku impikan tetapi melalui disertasi ini
sendiri memberikan aku lebih pemahaman terhadap tanggungjawab yang tergalas
dalam kerjaya. Beruntungnya aku kerana kajian aku adalah berkait rapat dengan
tugasan di pejabat maka aku dapat menyelami apa yang tersirat dalam penulisan
dan dalam ruang kerjaya. Sebagaimana tajuk kajianku yang berteraskan amalan etika
dan kajian fungsi aku memahami bahawa banyak ruang yang aku perlu perbaiki
untuk kesinambungan perjuangan kepada wadah utama ‘payung’ bangsa Melayu.
Barangkali itulah sumbangan yang mampu aku berikan....
![]() |
Lukisan hasil karya Datuk Ib (Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2007) di perpustakaan |
No comments:
Post a Comment