Friday 30 June 2017

Salam Aidilfitri 2017


Salam Aidilfitri. Hari lebaran yang tentunya kemeriahan untuk keluarga dan anak-anak. Tahun kedua bagi kami beraya di rumah sendiri setelah bapak tinggal bersama kami. Tentunya kesibukan kepada persediaan rumah adalah bagi memastikan juadah untuk dinikmati bersama, kerapian rumah dan keselesaan untuk para tetamu. Seperti tahun lalu abang Hakim sekeluarga akan meraikan bersama kami. Meriah rumah kami. Pagi hari raya anak-anak bersiap, kemudian ke surau bersama-sama bagi menunaikan solat Aidilfitri.

Sepulangnya ke rumah kami saling bermaafan, kemudian sesi bergambar dan makan-makan. Hidangan kali ini macam biasa, ada nasi minyak, ayam masak merah, rendang ayam, rendang paru, ketupat hasil air tangan aku sendiri (memenuhi permintaan Amira yang mahukan ketupat daun kelapa), kemudian spaghetti.

Memang, sambil mengayam ketupat terimbas kenangan alam kanak-kanak. Dulu di rumah kami pasti ada ketupat dan lontong dari hasil mak sendiri. Aku sendiri belajar mengayam ketupat bertahun-tahun barulah berhasil, arwah abang Cici yang sabar melayaniku....

Tema kami untuk hari raya tahun ini ialah royal blue. Bapak juga memakai warna ini. Kemudian abang Maili sekeluarga sampai, abang Bullah, Pipah, kakak, kak Zuhra yang masing-masing meluangkan masa bersama-sama dalam suasana penuh kemesraan.

Selepas solat Maghrib, kami bertolak ke kampung halaman Mr Hubby di Utara. Acara rutin setiap kali hari raya. Walaupun sudah tanpa mak dan pak yang menunggu kami di sana, namun tentunya kerinduan tetap mendalam. Juga anak-anak yang amat teruja untuk pulang ke desa abahnya.

Setiap kali pulang kelainan terasa, kalau dulu arwah mak yang akan menunggu, kali ini tiada. Kelibat pak juga dirindu, namun biliknya menjadi tempat kami beradu kini. Biarpun arwah mak dan pak sudah mendahului tetapi masih terasa kasih mereka, meresap masuk ke dalam kalbu dan tersemat di situ. Jika aku sendiri begitu, apatah lagi Mr Hubby.

Kami menyambung berhari raya di Kedah, dari Alor Setar ke Pendang rumah bang Ad, singgah menziarah di rumah Pak Lang, menuju Perlis rumah Pak Su, kemudian ke Yan rumah Bang Leh. Keesokannya, kami ke rumah Kak Pah, kemudian ke Kuala Nerang rumah Mat dan singgah di Bukit Tembaga Rumah Cik Li sebelum berkejar pulang untuk majlis silaturrahim keluarga Ibrahim pada sebelah malam.

Hari berikutnya ke rumah kak Mah dan mengisi rutin hari raya keempat untuk majlis reunion bersama-sama kawan-kawan sekolah Mr Hubby. Kali ini di Kedah Royal Club. Walaupun tiap tahun masih orang yang sama berkumpul tetapi silaturrahim tetap diteruskan. 

Penutup, kami berhari raya ke rumah Chaq dengan anak-anak bersantai sepetang bermotoran ditepian bendang. Sukalah mereka bersama-sama. 

 

 
















No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers