Saturday 7 January 2017

Selamat Hari Lahir Amira...


Amira genap 12 tahun. Pantasnya masa berlalu, pejam celik.. . pejam celik anak yang dahulunya duduk di atas ribaku sudah memasuki usia remaja. Dengan tubuhnya yang semakin besar dan ketinggian yang sudah jauh melangkauiku.

Perwatakan Amira juga sudah jauh berubah, meninggalkan zaman kanak-kanaknya menjadikan pemikirannya matang melebihi usianya. Dia bukan lagi pendiam sebaliknya cerdas dan sangat tegas, apatah lagi pada adik-adiknya.

Tahun ini Amira akan berdepan dengan peperiksaan besar iaitu UPSR dan PSRA. Tiada paksaan dariku untuk dia dalam membuat apa-apa pilihan malah dia bebas untuk menentukan cara, masa dan ruang pembelajarannya. Biarlah dia 'enjoy' dalam alam persekolahan dengan pemantauan dariku sendiri.

Ya, kematangan Amira membolehkan banyak perbincangan dan pemahaman terutamanya menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung, selain pelbagai jawatan yang dipikulnya di sekolah. Itu belum lagi dalam berdepan kesakitan melawan rheumatic fever yang dihidapinya.

Amira mewarisi perwatakan abahnya, nilai kepimpinan dan kebertanggungjawaban serta keseriusan berdepan tugasan namun turut mengikutku dalam penulisan, pembacaan dan nilai kemanusiaan. Semoga yang baik-baik sahaja yang diturunnya....

Sambutan ulang tahun kelahiran Amira aku penuhi sebagaimana biasa cuma bezanya kali ini dia mahukan kek yang dimasak sendiri, dihias sendiri... aku laksanakan. Sebiji 'red velvet' siap dengan gubahan hiasannya dilaksana bersamanya bertemankan Puteri dan Achik. Alhamdulillah.


Bersyukurlah Amira atas nikmat rezeki dan kesejahteraan yang kita rasai dan jadikanlah nikmat ini sebagai asas kesederhanaan dalam kehidupan berlandaskan ketakwaan kepada-Nya. Selamat hari lahi Amira!



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers