Sunday 6 March 2016

Kak Long Pergi Mengadap Ilahi


Pagi Ahad, sejurus aku sampai di rumah selepas meluangkan masa berpagian di luar dengan Ameer dan Nina, Mr Hubby memberitahu dia mahu pulang ke kampung. Kenapa? Jawabnya, Along anak kak Chik meninggal, kemalangan di Langkawi. Innalillahiwainnailaihirojiun... Aku terdiam, tanpa kata namun minda pantas terbayangkan wajah kak Long yang sentiasa ceria. Allahuakhbar, betapa janji Allah itu pasti, diambil nyawa bila-bila masa sahaja - bukan mengenal tua atau muda, bukan melihat sakit atau sihat, bukan mengira miskin atau kaya. Aku beristigfar, menginsafi kekerdilan diri yang tiada apa-apa. Allah maha besar!

Along anak buah Mr Hubby, antara yang amat akrab dengannya sejak kecil malah sering menjadi bahan usikannya setiap kali bersua. Along ceria, tertawa, sentiasa senyum, mudah mesra dan amat ringan tulang. Kali terakhir pertemuan aku dengannya juga ditinggalkan dengan sentuhannya yang mengurut belakangku, juga kaki lantaran lelah yang dirasai.


Memang Along ringan tulang, mudah membantu dan rajin turun menghulurkan tangan menyudahkan kerja-kerja di dapur. Bukan hanya di rumahnya malah apabila di kampung pun begitu, tidak berat mulut untuk menawarkan diri membantu. Perwatakannya yang jujur, suka berterus terang dan mesra memudahkan sesiapa sahaja berbual dengan dia.

Rezeki Along bekerja di Langkawi, namun belum pun sampai setahun dia telah dijemput Ilahi. Betapa terkesannya hati dengan kehilangan ini, bagaimana pula dengan keluarga kak Chik yang sememangnya amat akrab. Anak-anaknya semua ringan tulang dan sering berkumpul bersama-sama, bercakap penuh santun dan saling mendahului orang lain daripada diri sendiri.

Seluluh mana pun hati, seremuk mana pun rasa, keredhaan kepada-Nya adalah yang utama. Dialah perancang segalanya yang menentukan segala yang terjadi. Semoga kak Chik dan keluarga akan terus tabah atas pemergiannya, apatah lagi dia anak yang baik dan sentiasa memikirkan orang lain. Semoga Allah tempatkan Along di sisi-Nya bersama-sama orang yang beriman - Al-Fatihah...



 





dipetik dari laman fb Laporan Kemalangan,Bencana & Khidmat Masyarakat Di Langkawi


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers