Monday 6 October 2014

Menjelajah Gunung Keriang, Kedah

Tanpa dirancang, aku sekeluarga mendaki Gunung Keriang yang seringkali dilihat dari kejauhan. Gunung Keriang setinggi 217.92 meter dijelajahi setelah kami gagal mencari idea lokasi untuk berekreasi bersama anak-anak. Menariknya, gunung ini terletak di tengah-tengah kawasan jelapang padi yang meluas, dengan diliputi pepohon menghijau serta lakaran batu kapur yang terhakis maka satu kelainan kepada anak-anak dan aku sendiri.


Pembentukan Gunung Keriang dikatakan berlaku akibat air laut yang menyusut sehingga 2-3m yang kemudian melonjakkan Pulau Keriang menjadi gunung... benar atau tidak tiada siapa yang boleh sahkan malah mungkin juga sekadar mitos. Ada juga mitos yang mengatakan bahawa Gunung Keriang ini adalah sebuah kapal yang disumpah oleh Sang Kelembai menjadi batu kerana rasa tidak puas hatinya apabila lamarannya untuk menikahi puteri yang ada dalam kapal tersebut ditolak.

Pendakian ke puncak Gunung Keriang amat mudah kerana laluan yang ada telah sedia menggamit pengunjung. Dari sudut geologi keunikannya amat terserlah malah pada sesiapa yang gemar menikmati alam sekitar maka puncak Gunung Keriang mampu memberi manfaat.

Ameer dan Afrina nampak teruja sementara Amira yang sememangnya tidak gemar aktiviti sedemikan banyak pula omelannya. Aku lebih kepada menikmati keindahan alam sekitar dengan tanganku kerap mengambil foto-foto sekitar laluan.

Menujuk ke puncak menempuh laluan berbatu yang sempit dan curam namun sebagai pusat rekreasi setempat maka trek telah dibuat. Pohon-pohon besar dengan akar kayu yang berlingkar di sana sini. Ada juga gua-gua kecil yang kelam di dalamnya, enggan aku meneroka meninjau ke sana. Dikatakan suatu ketika dahulu gua ini adalah tempat tinggal etnik tertentu yang mempunyai peralatan pinggan mangkuk yang lengkap namun kemudian semuanya hilang akibat ada penduduk yang tidak memulangkannya.

Suara-suara unggas dan kicauan burung mengiringi pendakian malah sesampainya ke puncak, sebuah pondok kecil sedia menunggu. Angin berpuput nyaman menyapu peluh-peluh yang memercik, pandangan mata pula tajam melihat panorama sekitar yang sayup dari atas. Indah! Mensyukuri kurnian-Nya memberi rahmat dan membawa pengalaman baru kepada anak-anak juga. Untuk menuruni Gunung Keriang ini pula, kami diiringi beberapa ekor beruk. Dari atas batuan, melompat ke tempat pemegang dan seakan jinak pula, namun kami enggan mengendahkan kerana bimbang ia akan bertukar liar.

Di kaki Gunung Keriang ada tasik buatan, ada taman permainan dan beberapa gerai yang menjual batuan dan hasil mineral.

Namun, ada sesuatu yang menimbulkan rasa gundah apabila bekas minuman dan plastik pelbagai makanan dibuang bersahaja di sekitar Gunung Keriang. Bukan hanya di kaki bukitnya malah di sepanjang kawasan pendakian pun ada pelbagai sampah sarap yang mengundang kesakitan mata. Lebih dari itu, di puncak Gunung Keriang, pelbagai contengan menghiasi tiang-tiang pondok yang dibina. Sikap pentingkan diri yang patut dikikis dengan diganti semangat cintakan alam sekitar.








No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers