Monday 12 May 2014

Mengenali Tokoh Melayu Terbilang 2014

Tugasan bersama tokoh-tokoh hebat tentunya amat aku hargai. Rasa kagum dan bangga akan mekar di hati apabila berdepan dengan mereka, mendengar dengan mata kepala sendiri cerita-cerita lalu yang mereka telah alami lantas tugasan harian yang dilaksanakan tanpa sedar telah menjulang individu terbabit untuk diangkat sebagai Melayu terbilang. Antara ketokohan Ustaz Hassan Azhari dan Dr Salma Ismail... mereka ada keistimewaan tersendiri yang amat simbolik dengan agama, bangsa dan tanah air. Hati teruja dapat berdepan dengan mereka, mengetahui latar belakang tokoh terbabit dan membayangkan zaman-zaman lampau mereka yang tentunya amat perit tetapi dapat terus bangkit dan mewarnai kegemilangan bangsa Melayu.
Ustaz Hassan Azhari adalah individu yang melaungkan azan ketika detik kemerdekaan diisytiharkan dengan rasminya pada 31 Ogos 1957 sementara Dr Salma adalah ikon wanita Melayu apabila berjaya menjadi doktor wanita pertama pada tahun 1947.  
Ulang tahun UMNO ke-68, 11 Mei menyaksikan dua lagi tokoh yang banyak berjasa dan memberi impak besar kepada bangsa Melayu dinobatkan sebagai penerima anugerah Tokoh Melayu terbilang.

Tokoh tersebut ialah Tan Sri Hassan Azhari, 86, yang mempunyai kepakaran dalam bidang keagamaan khususnya dalam soal pendidikan al-Quran sehinggakan memberi sumbangan besar dalam penjurian dan diiktiraf diperingkat antarabangsa.

Bagi penerima kedua anugerah tersebut, UMNO telah mengiktiraf penglibatan wanita yang telah menjadi perintis kepada perjuangan bangsa iaitu Dr. Salma Ismail, 95, iaitu menjadi doktor wanita Melayu pertama di seluruh Tanah Melayu pada tahun 1947.

Anugerah ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada individu yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara. Sebelum ini, UMNO telah memberikan anugerah kepada:

1. Prof. DiRaja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Omar
   Tokoh Pendidikan (2005)

2. YBhg. Tan Sri Shamsudin Abdul Kadir
   Tokoh Korporat (2006)

3. YBhg. Datuk Ibrahim Hussein
    Tokoh Seni (2007)

4. YBhg. Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid
   Tokoh Pentadbir dan Korporat (2008)

5. YBhg. Tan Sri Syed Mokhtar Al- Bukhary
    Tokoh Korporat (2009)

6. YBhg. Tan Sri Zainuddin Maidin
    Tokoh Kewartawanan (2010)

7. Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas
    Tokoh Akademik (2011)

8. Prof.  Datuk Dr. Mazlan Othman
   Tokoh Saintis (2011)

9.  YBhg. Tan Sri Arshad Ayub
    Tokoh Akademik (2012)

10. YBhg. Khalidah Adibah Binti Amin
     Tokoh Persuratan Melayu Negara (2012)

Berikut biodata penerima anugerah Melayu Terbilang 2014:

Latar Belakang Ustaz Hassan Azhari
Beliau dilahirkan di kampung Syu’ib Amir di Mekah pada 18 Ogos 1928. Ayahnya bernama Azhari Abdul Khaliq, tokoh agama terkenal di Selangor manakala ibunya ialah Fatmah Abdul Hakim, berketurunan Arab Mesir al-Shanani dan Padang, Indonesia.

Lahir pad 18 Ogos 1928 adalah seorang rakyat Malaysia berketurunan Melayu merupakan seorang pendidik terkenal dengan rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM. Beliau merupakan orang yang melaungkan azan semasa kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.
 
Keluarga

Beliau mempunyai 22 orang anak dari tiga orang isteri. 13 orang anak yang pertama hasil perkahwinan beliau dengan isteri pertama, Sahara Abdul Samad, yang meninggal pada April 2004, Tiga orang anak lelaki yang pertama amat dikenali ramai iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas ADUN Hulu Klang, Dato' Fuad Hassan yang kini Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas (JASA), dan pelakon terkenal Dato' Jalaluddin Hassan.

Pendidikan
Beliau dibesarkan dalam persekitaran keluarga dan masyarakat yang berilmu dan beragama. Beliau mempelajari al-Quran sejak kecil di Mekah. Di peringkat rendah, mempelajari secara formal di Madrasah Dar al-Ulum, Mekah.

Antara guru beliau di sini ialah Sheikh Yasin al-Fadani dan di Masjidil Haram, gurunya ialah Sheikh Ismail Tamim (salah seorang imam masjid di Mekah)

Ketika berusia lapan tahun, berhijrah ke Malaya (Malaysia) bersama abangnya, Abdul Hakim dengan menaiki kapal laut selama beberapa bulan. Di Malaya, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Marta al-‘Ulum al-Diniyah di Kuala Langat, Selangor seterusnya ke Sekolah Arab al-Hayat al-Mardiyyah di Kampung Jawa, Selangor.

Beliau menyambung pelajaran ke Sekolah al-Junaid, Singapura selama dua tahun untuk meningkatkan penguasaan bahasa Arab. Antara gurunya ialah Sayyid Abu Bakar al-Saqqaf dan Sheikh Abdullah al-Faqih.

Kemudian, beliau menyambung pengajian ke Maahad al-Ulum (kini Sekolah Agama Menengah Hishamuddin, Kelang) dan memperoleh sijil Rabi’ Thanawi. Bagi mendalami pengajian al-Quran, beliau kembali ke Mekah dan menyambung pengajian dengan Sheikh Ismail Tamim.

Beliau kemudiannya mempelajari bidang tarannum dengan beberapa ulama terkenal antaranya Syed Mahmud Lutfi Amir. Guru-guru al-Quran yang lain ialah Sheikh Mahmud al-Bukhari (riwayat Hafs), Sheikh Muhammad Abdul Samad, Dr. Ahmad Nuaina dan Syed Mahmud Amin Tantawi (riwayat Warsy Imam Nafi’).

Pencapaian

Beliau telah memberi sumbangan besar kepada negara dengan melaungkan azan semasa menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Beliau turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Beliau juga merupakan penerima Tokoh Ma’al Hijrah 2002, yang merupakan penghormatan tertinggi bagi individu yang memberikan banyak sumbangan terhadap kemajuan Islam di dalam negara.

Beliau juga telah mengajar al-Quran dalam Radio Malaya dari 1960 hinggalah 2000. Beliau juga turut mengacarakan rancangan agama selama lapan tahun di TV1 yang bertajuk Muqaddam pada 1970-an. Rancangan ini memberi pendedahan yang mudah untuk membaca al-Quran daripada permulaan.

Pada 1997, beliau mendapat Anugerah Khas Seri Angkasa kerana penglibatannya selama 40 tahun bersama RTM.

Merupakan hakim Pertandingan Tilawan al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara. Beliau juga menjadi hakim di Arab Saudi, Mesir, Iran, Dubai, Brunei dan Thailand.

Pemenang tempat pertama Pertandingan Tilawan al-Quran yang diadakan di Malaya pada 1947, anjuran UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) ketika itu.



Latar Belakang Dr Salma Ismail
Beliau dilahirkan di Alor Star, Kedah pada 19 Disember 1918

Pendidikan
Beliau mendapat pendidikan di Kampung Bahru Girls' School dan kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sultanah Asma Alor Star, Kedah. Beliau telah lulus dan memperolehi Junior Cambridge pada tahun 1934 dan Senior Cambridge pada tahun 1935. Beliau merupakan calon murid perempuan Melayu tunggal dan pertama di Kedah yang lulus peperiksaan Senior Cambridge dengan cemerlang. Dengan kelulusan yang amat baik beliau dapat melanjutkan pelajaran ke King Edward VII College of Medicine di Singapura pada tahun 1936 dengan mendapat Biasiswa Kerajaan Negeri Kedah. Beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan pada tahun 1947.

Kerjaya
i.          Doktor Pelatih di Hospital Besar Kuala Lumpur
ii.         Pegawai Perubatan di Negeri Kedah (1950-1960)
iii.        Pegawai Perubatan di Negeri Selangor (1961-1967)
iv.        Pemilik klinik persendirian di Kuala Lumpur dan rangkaian Klinik Salma (1967)
v.         Pengerusi Salma-Bakar Sdn. Bhd.
vi.        Pengarah Specialist Mediklinik Sdn. Bhd

Pencapaian

Menempa sejarah sebagai wanita Melayu pertama yang berjaya memperolehi kelayakan Doktor di seluruh Malaya pada waktu itu. Pencapaian ini dianggap sangat cemerlang dikala masyarakat Melayu masih lagi dibaluti adat resam dan tradisi lama yang melarang anak-anak perempuan belajar hingga ke peringkat yang begitu tinggi.

Berita kejayaan beliau tersiar dalam akhbar The Straits Times pada 24 Disember 1947. 




No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers